50 tahun lagi masih merdeka kah kita?

50 tahun lagi masih merdeka kah kita?

merdeka
Suasana pengunjung yang membanjiri ruang Dataran Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada 31 Ogos lalu. – mingguan/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu yang sering kali menjadi persoalan utama ketika ini, ketika diambang meraikan Hari Malaysia yang ke 59. masihkah ada kemerdekaan untuk Malaysia pada masa 50 tahun yang akan datang?

Hal ini kerana kian hari kita disajikan dengan perilaku anak bangsa yang semakin jauh atau melupai untuk mendalami erti sebenar semangat patriotisme ini. Anak muda sekarang lebih mudah terpengaruh dengan perilaku negatif sehingga leka dalam menghayati semangat patriotik.

Contohnya, anak muda lebih mudah terpengaruh untuk turut serta dalam “penentangan jalanan” tanpa mengetahui dengan lebih mendalam akan maksud atau faedah sebenar bantahan itu. Bagi mereka keinginan untuk turut serta dalam kekacauan itu sudah menjadi seperti trend yang dapat mereka banggakan. Walhal, jika situasi ini berterusan, tidak hairanlah andai suatu hari kelak, emosi bertemu emosi, perbalahan atau pergaduhan sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini akan tercetus yang mengakibatkan perpecahan kaum.

Mungkin juga keadaan ini akan menyebabkan berlakunya pertelingkahan dalaman antara rakyat dan kerajaan yang akan menghancurkan kestabilan negara kita, dan meranapkan ekonomi yang sememangnya sudah tenat kini.

Saya bukannya seorang yang rasis, namun sebagai rakyat bumi tercinta ini tertanya-tanya juga akan sejauh manakah orang bukan Bumiputera menerapkan nilai patriotisme? Apatah lagi selepas 65 tahun mencapai kemerdekaan, mengapakah wujudnya penterjemah dalam mahkamah sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia? Keadaan ini membuktikan betapa tahap patriotisme yang telah berkurangan dalam generasi kini.

Hilangnya jati diri sebagai anak Malaysia menjadikan mereka lupa pada kewujudan Malaysia pada masa lalu. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan tidak lagi menjadi kebanggaan kepada sesetengah anak-anak Malaysia terutamanya mereka yang berbangsa bukan Bumiputera. Lebih menyedihkan, media sosial menjadi medium kebebasan untuk mereka bersuara tanpa batasan.

Malah, ada juga yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran negara, mempersoalkan hak Bumiputera serta merendahkan kekuasaan Raja-raja di Malaysia. Ternyata mereka tidak memahami rukun negara kita, apatah lagi peruntukan Perlembagaan yang membataskan perkara tertentu dalam dibincangkan secara umum.

Bukan kita menuding jari kepada sesiapa atau tidak juga mahu menangkan bangsa Melayu. Umum dapat melihat bangsa lain seperti mengambil mudah isu patriotisme ini.

Sebagai contoh, andai orang bukan Bumiputera diajukan soalan seperti “”Saya sangat menghargai pahlawan yang berkorban untuk mempertahankan Malaysia”, “Saya sedia berbakti jiwa dan raga kepada negara” serta soalan lain yang berunsur patriotisme seperti ini, kebanyakan mereka sama ada memberikan jawapan yang negatif atau terus menolak untuk menjawab akan persoalan itu.

Sudah jelas menunjukkan bahawa sesetengah dari mereka tidak mendalami semangat patriotisme terhadap negara sendiri? Mungkin “Ya” atau juga mungkin “Tidak”. Oleh sebab itu, patriotisme bukan saja harus dipupuk oleh bangsa Melayu saja, malahan oleh bangsa lain kerana topik ini harus dititik beratkan bagi memastikan Malaysia masih terus merdeka.

Hal ini kerana Malaysia adalah sebuah negara unik kerana terdiri dari berbilang bangsa.

Tuntasnya di sini, seluruh rakyat Malaysia pada masa kini adalah tonggak utama dalam memastikan Malaysia agar terus merdeka walau 50 tahun mahupun 100 tahun yang akan datang.

Hal ini kerana kemerdekaan yang dicapai adalah daripada kaum yang bersatu padu dalam memastikan Malaysia terus aman dan menepis segala ancaman dari dunia luar agar Malaysia tidak akan dijajah semula. Bak kata punjangga: “Mereka yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya”.

Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum dan berbeza agama, tentunya tidak mampu menunggu sehingga tahap kritikal. Tentulah kita mengetahui pentingnya patriotisme sebagai rakyat Malaysia seperti perumpamaan “sudah terhantuk, barulah tergadah”. Rentetan itu, nilai patriotisme haruslah diterapkan kepada anak muda kita sejak awal pembelajaran lagi agar menjadi pegangan hidup kelak.

Perbaiki masalah perpaduan

Masih belum lagi terlambat untuk memperbaiki masalah perpaduan negara. Yang penting adalah keikhlasan. Barulah semangat patriotik di kalangan rakyat akan dapat disemai. Penggunaan bahasa kebangsaan harus digalakkan secara menyeluruh. Apa yang dilakukan sekarang bagus, tetapi masih belum mencukupi.

Ironinya, apa erti Jalur Gemilang berkibar megah, jika nilai sejarah tidak dihormati? Apa gunanya setiap rumah mengibarkan bendera jika masih ada rakyat yang tidak boleh berbahasa kebangsaan?

Apa ertinya negara akan menyambut Ulang Tahun penubuhan Malaysia, jika rakyat yang berbilang bangsa masih lagi syak wasangka sesama sendiri. Semua ini masalah pokok yang harus diselesaikan. Jika tidak sambutan tidak ada erti dan tiada bezanya dengan perayaan lain yang dirayakan di negara ini.

Mungkin pantun klasik karya tokoh pejuang kemerdekaan, Dr Burhanudin al-Helmi dapat memberikan erti kemerdekaan.

Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka

Merdekakah kita sebenarnya? Mungkin benar kita telah merdeka dari jajahan, sebaliknya, kita dijajah oleh pemikiran kita sendiri. Terpenjara dalam ruang ciptaan prasangka dusta. Mari kita bebaskan diri kita ini dengan menghayati erti sebenar perit mencapai kemerdekaan. Hanya dengan itu, kita akan berusaha mengekalkannya.

Semoga teriakan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Kali ini penuh dengan getaran daripada jiwa yang benar-benar ingin merdeka.

Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Sabri adalah pemerhati politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×