Tanda-tanda besar PRU15 sudah hampir

Tanda-tanda besar PRU15 sudah hampir

Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) yakin anak muda akan bersama mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN raya kali ini adalah medan ujian sistem demokrasi paling ditunggu-tunggu keputusannya. Sebanyak 7.8 juta pengundi baharu dijangka bertambah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Daripada jumlah itu, 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun, mewakili 34 peratus daripada keseluruhan pengundi. Kepada pengundi muda ini, mereka perlu mengenali tanda-tanda besar PRU15 akan diadakan pada masa terdekat. Ini bagi membolehkan mereka membuat pilihan terbaik bukan sahaja untuk masa depan ibu bapa malahan masa depan sendiri.

Sesungguhnya tanda besar PRU15 sudah hampir tiba, apabila jalan-jalan berlubang mula ditampal, dipercayai atas arahan wakil rakyat. Tanda besar kedua, bakal calon sudah pasang badan dan mula selalu turun padang ke warung-warung di kawasan bakal mereka tandingi.

SUKANEKA
Tanda besar ketiga, wakil rakyat yang masih memegang jawatan selalu balik kawasan untuk merasmikan sukaneka, pertandingan memasak malahan berjemaah solat lima waktu di surau atau masjid.
Tanda besar keempat, wakil rakyat yang kurang disukai pucuk pimpinan sedang kepanasan mencari kerusi baharu untuk menyambung nyawa politik.

Kesimpulannya, pengundi kali pertama perlu menilai perwatakan individu yang akan mewakili mereka ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak kira mereka muka baharu atau lama.

Sebaiknya tanyalah ibu bapa tentang rekod seseorang wakil rakyat sama ada banyak rekod hitam daripada yang putih.

Fikirlah masak-masak sama ada hendak memilih calon bijak, berpengalaman atau hebat berkata-kata kerana ia melibatkan masa depan negara dan keluarga mereka sendiri. Tepuk dada tanya iman, kita hendak memilih pemimpin untuk membela atau sekadar menjadi setem getah kepada sistem demokrasi melibatkan pilihan raya penuh dengan janji dan manifesto yang hanya sedap didengar tetapi akhirnya semua ke laut.

Justeru, pengundi muda perlu membuat penilaian tepat sebelum mengundi buat kali pertama. Fikirlah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×