MENGIKUT Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, sebanyak 71,833 kes jenayah komersial dilapor membabitkan nilai kerugian berjumlah RM5.2 bilion sepanjang 2020 hingga Mei 2022.
Daripada jumlah itu, sebanyak 48,850 kes atau 68 peratus merupakan jenayah penipuan dalam talian dan bagi tempoh sama, sejumlah 26,213 kes yang dilapor telah didakwa di mahkamah.
Angka yang besar ini perlu diberi perhatian untuk memastikan ia dapat dikawal supaya orang awam tidak lagi terjebak atau terpedaya dengan jenayah penipuan dalam talian, tegas beliau.
Menurut e-majalah keselamatan siber, Cybercrime Magazine, jumlah kerugian di seluruh dunia akibat jenayah penipuan dalam talian dijangkakan bernilai lebih USD10 trillion setiap tahun pada tahun 2025.
Pendapatan jenayah yang lumayan ini telah menyemarakkan kegiatan di pasaran gelap siber terutama dari kumpulan jenayah terancang untuk merekrut pengaturcara (programmer) bagi menghasilkan aplikasi yang lebih canggih dan sukar dikesan oleh anti virus ataupun sistem keselamatan aplikasi.
Jenayah penipuan ini merangkumi beberapa kategori utama. Antaranya ialah penipuan jual beli di atas talian dengan penipuan ini lebih terarah kepada pembeli yang langsung tidak menerima barang yang dibeli ataupun menerima barang yang tidak serupa pesanan.
Seterusnya ialah pencerobohan siber dengan kebanyakan mangsa yang terjerat apabila aplikasi tersebut dimuat turun dari fail yang dihantar menerusi aplikasi mesej seperti Telegram.
Satu kategori lain ialah sindiket Macau Scam yang mencetuskan panik kepada pihak yang dihubungi yang kononnya membabitkan kes kecurian identiti, mahkamah, penipuan kad kredit, penipuan parcel penghantaran dan sebagainya.Jika panggilan yang diterima itu ialah penipuan, langkah yang akan diambil oleh pemanggil ialah memindahkan panggilan ‘pegawai’ atau meminta agar penerima panggilan mendedahkan maklumat perbankan atau memuat turun aplikasi seperti Telegram.
Satu lagi jenis jenayah dalam talian ialah ransomware, iaitu meminta duit tebusan untuk mendapatkan kembali data yang dicuri merupakan satu industri lumayan yang semakin berkembang di peringkat global.
Dari kaji selidik yang dijalankan pada 2022 mendedahkan sebanyak 79 peratus peserta kajian dari Malaysia mengakui mereka diserang ransomware dan dari jumlah tersebut sebanyak 39 peratus organisasi bersetuju untuk membayar pihak penceroboh untuk mendapatkan kembali data yang dicuri.
Organisasi-organisasi dari Malaysia yang menjadi tebusan juga secara purata merupakan antara pembayar tebusan di kelompok 10 tertinggi di dunia, selain Singapura dan Filipina dari rantau Asia Tenggara.
Majoriti aktiviti jenayah di alam siber berpunca dari salah guna anonymity atau ghaib tanpa nama. Anggapan bahawa pelaku jenayah dapat menyembunyikan diri dari dikesan oleh pihak berkuasa menjadikan alam siber sebagai medium pilihan pelaku jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan.
Complete anonymity juga bersifat anti-tesis kepada norma perniagaan yang biasanya lebih menjurus untuk menonjolkan organisasi atau aktiviti mereka sebagai hebahan untuk menarik lebih ramai pelanggan.
Beberapa negara di dunia yang menyedari ancaman tersebut telah menyediakan undang-undang yang memerlukan pihak pengendali perkhidmatan agar menyimpan rekod-rekod pengguna yang boleh diserahkan kepada pihak berkuasa apabila laporan jenayah difailkan untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.
SEKATAN
Jiran kita, Indonesia pernah menutup akses kepada aplikasi Telegram pada tahun 2017 kerana terlalu banyak mesej yang bersifat ancaman kepada keselamatan negara itu. Brazil pula pada bulan Mac tahun ini pernah menutup akses kepada Telegram kerana mengingkari perintah mahkamah yang memerintahkan Telegram memadamkan mesej sulit negara dari akaun pihak pemerintah tertinggi di Brazil.
Di Malaysia pula, Telegram banyak digunapakai oleh penipu alam siber untuk menawarkan pelbagai penipuan skim pelaburan atau pinjaman. Telegram juga merupakan antara pentas utama untuk penipu-penipu alam siber mengedarkan fail aplikasi bagi tujuan penggodaman telefon pintar.
Complete anonymity di alam siber juga tidak harus disamakan dengan kebebasan berekspresi. Kebebasan berekspresi ialah ruang untuk menyatakan pendapat tanpa implikasi undang-undang yang disalah guna untuk menutup mulut pembicara, tetapi kebebasan berekspresi tidak menidakkan akauntabiliti kepada pembicara.
Jika sekiranya pembicara melanggar undang-undang, maka mahkamahlah yang berhak menentukan sama ada telah berlaku pelanggaran keadilan oleh pembicara ataupun tidak.
Dengan mewajibkan pihak yang ingin berniaga di atas talian agar butiran peribadi dan organisasi mereka direkodkan oleh penyedia perkhidmatan, konsep akauntabiliti dapat membantu untuk membezakan antara peniaga yang tulen ataupun golongan penipu yang menyamar sebagai peniaga.
Saya bersetuju dengan saranan Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syed Agil Alsagoff, baru-baru ini supaya kerajaan menutup sementara aplikasi Telegram bagi memaksa pemiliknya mewujudkan prosedur ketat bagi menghalang Telegram disalahgunakan.
Jika Telegram mahu beroperasi di Malaysia, ia haruslah menghormati undang-undang kita. Ia perlu meletakkan server yang boleh diakses oleh pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan pelanggar undang-undang dicari dan dikenakan tindakan secara terus.
Jika Indonesia dan Brazil boleh melakukannya mengapa tidak kita?-UTUSAN
PENULIS ialah seorang pembangun perisian bebas.










