Animasi Robozeta bakal difilemkan

Animasi Robozeta bakal difilemkan

MUSIM kedua animasi Robozeta bakal ditayangkan akhir tahun ini,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dari bawah dengan bertatih, kini syarikat penerbitan animasi 3D tempatan, Red Circle Studio Sdn. Bhd. mampu berbangga dengan hasil buah tangan mereka iaitu siri animasi adiwira, Robozeta.

Walaupun pada peringkat permulaan mereka hanya bekerja dalam satu kumpulan kecil, ia sama sekali tidak menjadi batu penghalang untuk Robozeta mencipta fenomena dan berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Berkonsepkan mecha robot, Robozeta mengetengahkan lima adiwira iaitu Rico, Jango, Bepop, Ely dan Rexx yang membentuk sebuah pasukan untuk melindungi keamanan di Bandar Zetania dan satu punca kuasa dari anasir jahat.

Selain menyelitkan unsur teladan serta pengajaran, kecomelan dan warna robot menjadi antara daya tarikan utama Robozeta dalam kalangan penonton kanak-kanak.

Pengarah Urusan Red Circle Studio, Ahmad Firdaus Abdul Razif berkata, sejak ditubuhkan pada Jun 2013, Red Circle Studio tertumpu dalam menghasilkan video korporat, iklan serta kempen sebagai perniagaan teras sebelum terjun ke dalam dunia animasi sekitar tahun 2016.

Studio terletak di Kajang, Selangor itu bermula dengan hanya tiga rakan kongsi dan sehingga kini, sudah mempunyai lebih 20 kakitangan.

Selain Ahmad Firdaus, Red Circle Studio turut dikemudi Muhammad Dzahiruddin Ahmad Zabidi dan Muhd Hafifi Johari.

“Kira-kira lima tahun lalu, kami sudah merancang untuk hasilkan produk animasi sendiri. Semua orang tahu, pembikinan animasi memang memerlukan kos yang sangat tinggi.

“Musim pertama Robozeta menemui penonton pada penghujung 2020 melalui saluran Astro Ceria dan kita sudah menyiapkan musim kedua untuk tayangan di sebuah stesen televisyen ketika cuti persekolahan, hujung tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, terutama daripada segi dana pembiayaan sejak musim pertama, tiada istilah putus asa untuk terus menghasilkan produk animasi berkenaan.

Mengenai pemilihan Robozeta, Ahmad Firdaus berkata, siri tersebut mendapat inspirasi daripada Super Sentai yang merupakan siri adiwira berasal dari Jepun.

“Belum ada yang gunakan format seperti Super Sentai di Malaysia. Ia seperti Power Rangers dan Maskman iaitu superhero bertopeng kerana kita mahukan kelainan.

“Robozeta ada empat jari dan tidak berurusan di bumi, tetapi di sebuah planet yang lain. Kita cuba untuk mengetengahkan kelainan supaya ia boleh menembusi pasaran antarabangsa dan lari daripada kebiasaan kebanyakan animasi di negara ini,” ujarnya.

Ahmad Firdaus berkata, pada masa akan datang, Red Circle Studio berhasrat menghasilkan Robozeta dalam versi filem setelah berjaya melengkapkan kesemua siri tersebut.

“Mereka yang masuk ke Red Circle Studio ini akan mempunyai perkembangan kerjaya kerana bukan setakat bekerja, tetapi kita juga dibantu sehingga ke peringkat seterusnya.

“Cita-cita kami adalah untuk menempa nama dalam industri animasi melalui Robozeta. Dalam tempoh masa lima tahun akan datang, Red Circle Studio ingin menjadi teraju visual terbaik negara, bukan sekadar animasi sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×