TARIKH 16 September begitu istimewa bagi rakyat Malaysia yang berbilang etnik, agama dan budaya.
Hari yang memberi makna besar apabila menyatukan masyarakat tidak kira di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk hidup sebagai bangsa Malaysia yang dihormati serta disegani.
Penyatuan yang dipupuk sejak sekian lama itu menyemai semangat dalam diri masyarakat supaya sentiasa menghargai keharmonian dan keamanan yang dinikmati. Aisha Retno, Kael, Vanessa Reynauld dan Amanda Tan berkongsi pandangan tentang nikmat perpaduan dan keharmonian yang dikecapi hasil perjuangan wira negara untuk melahirkan bangsa Malaysia yang bermaruah.
Kawan pelbagai bangsa
Penyanyi, Aisha Retno berkata, sambutan Hari Malaysia membawa makna yang cukup signifikan buat dirinya.
Kata Aisha, sejak kecil, dia diasuh supaya berkawan dengan pelbagai bangsa dan tidak melihat perbezaan sebagai jurang yang menjarakkan mereka. “Saya berkawan dengan pelajar berlainan bangsa. Kami makan dan belajar bersama-sama. Disebabkan pendedahan sejak usia muda, saya mudah mesra dan senang bergaul dengan bangsa lain.
“Itu keistimewaan negara kita yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa. Semuanya hidup aman dan harmoni, malah bersama-sama membangunkan negara ini.
“Kelebihan ini harus kita kekalkan kerana tidak banyak negara di dunia mempunyai keistimewaan seperti kita,” katanya.
Empunya nama sebenar Aisha Retno Sayed Sipulijam ini juga berharap, keharmonian negara dapat dipelihara generasi akan datang.
“Kita kena buang anasir yang memecah-belahkan kaum. Ia tidak boleh dibiarkan menyelinap masuk dalam masyarakat.
“Saya harap generasi akan datang tahu betapa pentingnya hidup bermasyarakat supaya dapat meneruskan usaha memupuk keharmonian di negara kita,” katanya.
Bertuah jadi anak Malaysia
Peserta program Fit For Action, Amanda Tan berkata, ibu dan bapanya yang bekerja sebagai guru di Ipoh, Perak sudah lama menyemai semangat cintakan perpaduan dan keharmonian dalam dirnya dan adik-beradik.
“Membesar di Ipoh, ibu dan bapa menghantar saya bersekolah di sekolah kebangsaan. Kami tinggal di kawasan perumahan yang turut didiami bangsa lain.
“Pada mata saya, kita semua sama meskipun berbeza rupa, warna kulit dan budaya serta agama,” katanya.
Kongsi Amanda lagi, dia bertuah dilahirkan sebagai anak Malaysia. Perasaan bangga itu lebih dirasai ketika dia menyambung pelajaran di luar negara, tidak lama dahulu.
“Ketika menyambung pelajaran di Australia, saya bertemu lebih ramai orang, termasuk warga Malaysia.
“Bila menetap di negara orang, saya nampak kelebihan negara sendiri. Kita ada semangat perpaduan yang tidak terlalu dititikberatkan di negara lain.
“Biarpun berbilang bangsa, kita mampu bersatu dan hidup aman damai. Itu yang membuatkan saya begitu bangga dilahirkan di Malaysia,” kongsinya.
Perhimpunan medium perpaduan
Pelakon dan penyanyi, Michael Lean Chien Er atau Kael mengakui pengalaman ketika menuntut di sekolah kebangsaan banyak mendidik dan menerapkan semangat cintakan keharmonian.
Kongsi pelakon drama Suamiku Lelaki Pendosa ini, setiap kali perhimpunan, dia melihat ia sebagai medan penyatuan pelajar pelbagai kaum.
“Semua pelajar tanpa mengira bangsa akan berpanas duduk dan berdiri bersama. Momen paling istimewa apabila menyanyikan lagu Negaraku. Saya dapat rasakan nilai perpaduan sedang meresap dalam diri.
“Memori itu membuatkan saya bersyukur dengan kelebihan negara kita yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa,” katanya.
Ujar penyanyi lagu Sentuhan ini, sebagai anak Malaysia, dia perlu menjalankan tanggungjawab memastikan perpaduan dapat dikekalkan pada masa akan datang.
“Kita kena bertanggungjawab memelihara perpaduan yang ada. Kalau bukan kita siapa lagi?
“Kita dilahirkan di sini. Tidak kira apa latar belakang pendidikan, kemahiran atau bidang yang kita ceburi, setiap kita berperanan untuk memajukan negara. Kita kena pastikan negara kita menyerlah di mata dunia,” jelasnya.
Vanessa fasih berbahasa Melayu, Hokkien
Berdarah kacukan India dan Cina, penyanyi bersuara lantang, Vanessa Reynauld mengakui, bertuah kerana dapat menguasai pelbagai bahasa yang memberinya sedikit kelebihan.
“Ketika ke Korea Selatan, saya sukar untuk berkomunikasi dengan orang tempatan kerana mereka kurang mahir berbahasa Inggeris.
“Pengalaman itu membuatkan saya terfikir, betapa beruntungnya menjadi rakyat Malaysia. Saya boleh berbahasa Melayu, Hokkien, selain Inggeris. Itu kelebihan yang mungkin tidak dimiliki rakyat negara lain.
“Saya bangga menjadi anak Malaysia yang saling menghargai perbezaan,” katanya.
Vanessa berkata, sambutan Hari Malaysia juga signifikan untuk mengingatkan rakyat supaya menghormati dan menghargai nikmat perpaduan.
“Ini keistimewaan yang perlu kita pupuk dan tanamkan kepada generasi muda supaya ia berkekalan,” tambahnya.











