Doakan Azi selamat - Ibu

Doakan Azi selamat – Ibu

ZAHASNAH Mohd Zain (kiri) menunjukkan gambar Rosnazirah Mohd. Naim ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Ibu kepada ejen kosmetik yang dipercayai diculik di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini, merayu orang ramai mendoakan anaknya itu, Rosnazirah Mohd. Naim, 36, atau Azi berada dalam keadaan selamat.

Zahasnah Mohd. Zain, 61, berkata, setakat ini seluruh ahli keluarga tidak putus-putus berdoa dan mengadakan solat hajat supaya Rosnazirah ditemukan dalam keadaan selamat.

“Ada penduduk mendakwa melihat seorang wanita dibawa sekumpulan lelaki menaiki bot menuju ke negara jiran. Pada masa sama kereta dipercayai digunakan untuk membawa Azi turut ditemukan di kawasan pangkalan haram.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika benar Azi dibawa ke Thailand , memang saya risau keselamatannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Terdahulu, Rosnazirah dilapor `dilarikan’ tiga lelaki dalam kejadian di Kampung Semat Jal, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 5.10 petang itu, Rosnazirah didakwa dilarikan oleh tiga lelaki dengan menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.

Zahasnah berkata, setakat ini pihak keluarga tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada mana-mana pihak yang meminta wang tebusan bagi membebaskan
Rosnazirah.

Katanya, keluarga turut menafikan Rosnazirah diculik disebabkan masalah hutang suami.

“Keluarga menyerahkan perkara itu untuk siasatan pihak polis untuk membuat siasatan. Saya sedih apabila baca komen di media sosial yang mengatakan disebabkan oleh hutang menantu anak Azi jadi mangsa.

“Ada juga mengatakan anak saya ada lelaki lain. Ya Allah beratnya tuduhan itu sedangkan kami sekeluarga dalam kesedihan sekarang ini,” ujarnya.

Sementara itu, perselisihan faham ahli sindiket dadah dipercayai menjadi punca berlakunya kejadian penculikan ejen kosmetik itu.

Pemangku Ketua Polis negeri, Muhamad Zaki Harun berkata, hasil siasatan mendapati suami kepada wanita berkenaan mempunyai hubung kait dengan sindiket bahan terlarang itu.

Menurutnya, susulan itu polis menahan suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan bersama dua individu termasuk seorang wanita di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat semalam bagi membantu siasatan.

“Pada masa yang sama, kita menjumpai kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai digunakan suspek semasa melarikan mangsa di pangkalan haram Kuala Jambu.

“Kita sudah bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam usaha untuk menyelamatkan dan membawa pulang mangsa. Setakat ini, mereka (pihak berkuasa Thailand) memberi kerjasama yang baik dalam kes ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini