Ke mana hilang parti orang miskin?

Ke mana hilang parti orang miskin?

KEPIMPINAN Parti Rakyat Malaysia melancarkan maskot parti pada 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA masih teringat lagi waktu kecil dahulu, iaitu sekitar lewat 1990-an. Keluar sahaja dari rumah, mesti kelihatan banyak bendera berwarna merah dengan simbol kepala seekor haiwan.

Sekali tengok macam kepala lembu, saya pun tak pasti.

Yang pastinya, setiap kali saya perhatikan bendera tersebut, terasa cukup bersemangat, entah mengapa? Saya diberitahu ayah, bendera tersebut milik sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Katanya, PRM pada waktu itu agak terkenal dan sentiasa memberi saingan sengit kepada parti lawan. Saya yakin, geng 1990-an, terutama yang seusia saya pasti masih ingat bendera ini.

Malangnya pada hari ini, bendera merah hitam itu tidak lagi kelihatan. Saya tertanya-tanya, ke manalah parti itu menghilang? Perasaan nak tahu itu membuatkan saya nekad untuk menjalankan beberapa siri kajian.

Apa yang mengejutkan saya, rupa-rupanya PRM bukanlah parti serpihan atau parti kecil. PRM adalah salah sebuah parti terlama di tanah air kita. Ia ditubuhkan pada 1955, dua tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Logo PRM juga bukan biasa-biasa. Ia mempunyai makna yang cukup mendalam. Menurut laman rasmi PRM di Facebook, lambang kepala haiwan itu sebenarnya adalah seladang, iaitu sejenis haiwan natif Nusantara yang memelihara haiwan-haiwan kecil di hutan belantara. Menurut laman itu lagi, ia (Seladang) tidak pernah dicucuk hidungnya. Ini membawa makna yang perjuangan PRM adalah berasaskan iklim sosiopolitik, sosioekonomi serta sosiobudaya tempatan.

Dari sini, jelaslah PRM adalah parti yang menjaga golongan rakyat kelas bawahan, masyarakat lemah, kaum kelas pekerja serta mereka yang tertindas. Prinsip PRM adalah daripada rakyat kepada rakyat. Dalam erti kata lain, PRM adalah parti orang miskin yang mengimpikan perubahan dan dipimpin oleh orang-orang miskin yang sedar dan faham nasib mereka. Bukan dipimpin oleh ahli-ahli politik berlatarbelakangkan golongan elitis atau bangsawan yang kononnya faham dengan keperitan hidup rakyat. Asal jumpa orang miskin sahaja, mesti pakai kain pelikat, selipar jepun, kopiah dan berjalan kaki.

Nak berjuang untuk orang miskin, tapi tak pernah rasa keperitan kemiskinan, dikelilingi pula para pegawai yang kaya-kaya. Akhirnya, mereka pun sangka orang miskin di Malaysia sekadar minum Capuccino. Inilah realiti ahli politik kita pada hari ini.

Sekilas tentang sejarah kewujudan PRM, sebelum Perang Dunia Kedua berlaku, banyak negeri mula bergerak menyuarakan penentangan terhadap penjajah British. Pada ketika itu juga, orang Melayu, Cina dan India terpengaruh dengan pelbagai ideologi dan gerakan berbeza, sesuai dengan apa yang mereka inginkan. Banyak sosok pejuang tempatan lahir untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air dengan pelbagai cara.

TAKUT

Aktivis berhaluan kiri, Ahmad Boestaman yang pernah dipenjarakan British sebanyak tiga kali mengasaskan sekali gus dipilih sebagai Ketua PRM. PRM bersama Parti Buruh Malaya (PBM) bergabung tenaga membentuk Front Sosialis Rakyat Malaya (FSRM) pada 1957.

Sejak penubuhan PRM sehingga kini, majoriti ahli dan para pendukung mereka adalah daripada golongan masyarakat kelas bawahan dan menengah rendah dalam kalangan orang Melayu, Cina dan India. Parti ini juga berasaskan fahaman marhaenisme ataupun sosio-nasional-demokrasi.

Kerajaan Perikatan waktu itu memang cukup takut dengan pengaruh PRM yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Oleh itu, kerajaan mengambil tiga pendekatan untuk menyekat dan menghancurkan parti orang miskin ini.

Pertama, mereka menangkap semua pemimpin pembangkang termasuklah dari PRM. Kedua, menghapuskan majlis bandaran dan tempatan dipilih rakyat yang kemudiannya digantikan dengan majlis yang anggotanya dilantik terus oleh kerajaan. Ketiga, mengharamkan cawangan-cawangan PRM dan PBM sehinggalah akhirnya parti-parti ini terpaksa mengambil keputusan untuk menutup jendela.

OTAI

Tindakan-tindakan kerajaan yang cukup tegas dan menekan ini ternyata berkesan untuk melemahkan FSRM yang akhirnya dibubarkan. Perjuangan untuk mengangkat orang-orang miskin dan kelas bawahan bukanlah perkara mudah, namun disebabkan kecekalan dan sikap ingin membantu itu membuatkan parti ini terus wujud dan terus bersuara demi rakyat.

Beberapa otai PRM yang saya sempat bertemu baru-baru ini mengatakan bahawa masih ramai orang mengenali parti itu dan mereka juga berharap agar PRM kembali bangkit dan bersuara di pentas politik. Lebih lucunya, seperti kita sedia maklum, masyarakat kita cukup menyampah tengok bendera parti-parti politik yang berkibaran di premis-premis, tepi jalan, jambatan dan di setiap pelusuk kawasan sampai ke tahap mereka terpaksa membuangnya ke dalam longkang atau paling tidak dikoyakkan.

Tapi yang anehnya, ia tidak berlaku pada bendera PRM. Kata mereka, bendera-bendera mereka hilang disebabkan orang suka dengan lambang kepala seladang tersebut. Bila nampak bendera PRM, mereka akan mencurinya dan menghiasnya di rumah.

Pernah suatu ketika, mereka melihat seseorang mengibarkan bendera PRM. Disangkanya salah seorang ahli PRM tapi apabila ditanya, rupa-rupanya individu tersebut sekadar menyukai bendera PRM dan bertindak untuk dijadikan sebagai hiasan. Golongan yang paling suka bendera PRM sudah pasti anak-anak muda.

Saya berharap PRM dapat kembali menunjukkan taring mereka. Kembali masuk ke kancah politik dan ‘mengajar’ parti-parti politik yang wujud di negara ini tentang erti perjuangan. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×