HAMPIR tiga tahun lamanya penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa menanggung beban rindu. Menunggu pandemik yang melanda dunia perlahan-lahan melepaskan cengkamannya untuk dia segera terbang ke sini.
Pentas Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bakal menjadi medan dia melampiaskan rindu menerusi konsert 25 Shining Years Rossa yang akan berlangsung 2 November depan. Tidak sabar dan teruja, itu yang kerap diulang Rossa.
“Saya sangat teruja. Perjalanan seni selama 25 tahun akhirnya dapat dicerminkan di atas pentas di sini. Ketika 2017 dan 2019, saya tidak sempat mengadakan konsert di sini. Jadi, inilah peluang untuk membalas rindu.
“Kalau hendak cerita tentang kelainan, pastinya ada sesuatu yang berbeza bakal dipersembahkan. Terutama, dari segi pemilihan lagu, susunan muzik dan penampilan artis jemputan.
“Sudah hampir lima tahun saya tidak mengadakan konsert berskala besar di sini, pastinya itu menambah lagi keterujaan saya untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Konsert yang bakal menampilkan empat maestro muzik terkenal Indonesia, Dandy Lasahido, Risyanda, Eka Gustiwana, Andi Rianto dan Magenta Orchestra ini membariskan lebih 25 lagu hits Rossa.
Malah, 25 Shining Years Rossa yang dianjurkan Inspire Production, Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin), MyVitaLab dan Koperasi Prihatin Nasional (Kopena) ini tidak hanya memberi hiburan, tetapi turut mengumpul dana.
Sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Pendidikan Anak Bangsa (TAB) dan Tabung Kasih Prihatin bagi kegunaan dan manfaat pendidikan anak-anak Keluarga Malaysia.
Menariknya, Rossa turut mengundang rakan penyanyi Indonesia, Judika dan seorang penyanyi tempatan yang pastinya bakal mengejutkan ramai peminat.
“Judika juga antara nama besar di Malaysia. Dia mempunyai kelompok peminat tersendiri. Malah, ini kali pertama kami bakal bergandingan di atas pentas berskala besar. Konsert jelajah saya di Indonesia juga tidak pernah menampilkan Judika.
“Itu antara keistimewaan dan ‘hadiah’ untuk peminat di sini. Saya juga menjemput rakan penyanyi dari Malaysia. Mahu tahu siapa? Nantikan!” ujar penyanyi yang popular dengan lagu Hati Yang Kau Sakiti dan Pudar ini.
BERHIBUR SAMBIL MENDERMA
Terpalit dengan isu harga tiket mahal, bagi Rossa, perkara itu sebenarnya ditentukan penganjur. Malah, dia yakin setiap perancangan dan keputusan sudah dibincangkan terlebih dahulu.
“Konsert ini bukan sahaja memberi peluang untuk kita berhibur, pada masa sama, membantu orang lain. Alhamdulillah, saya dimaklumkan, tiket sudah hampir habis dijual.
“Lagipun, kategori tiket berbeza. Peminat mempunyai pilihan untuk memilih kategori yang sesuai kemampuan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, penganjur bersama konsert itu, Datuk Aizuddin menambah, fokus sebenar mereka adalah untuk mengumpul dana dan kategori tiket yang dikatakan mahal itu dibuka terlebih dahulu kepada syarikat korporat.
“Tiket kategori satu dan tiga sudah habis dijual. Itulah keistimewaan Rossa. Dia mempunyai kelompok peminat yang sentiasa menyokong. Pada masa sama, dapat membantu mereka yang memerlukan.
“Kami juga berhasrat untuk membawa konsert ini ke lokasi lebih besar, tetapi itu memerlukan perancangan hampir setahun. Insya-Allah, perancangan itu akan direalisasikan nanti,” katanya.











