Mai-lah melancong ke Perlis

Mai-lah melancong ke Perlis

BALBUK Haus adalah sebuah kafe berkonsepkan kesenian, alam dan budaya terletak di tengah sawah di Kampung Balik Bukit, Chuping, Padang Besar antara yang menjadi tumpuan pelancong ke Perlis. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERLIS dengan keluasan 821 kilometer persegi merangkumi sekitar 200,000 penduduk, tiada bangunan tinggi dan pusat beli-belah yang besar. Pawagam juga tidak ada.

Bagaimanapun, Perlis kaya dengan keindahan alam semula jadi yang tidak pernah diterokai selain sawah padi menghijau dan bukit batu kapur berusia jutaan tahun yang penuh keunikan.

Tanpa terlalu banyak pembangunan, kami rakyat Perlis selesa dengan suasana sekarang. Aman, damai dan tenang.

Bagi menikmati ketenangan sama, pelancong luar sejak kebelakangan ini mula memilih Perlis sebagai destinasi untuk bercuti. Minggu cuti persekolahan baru-baru ini, Perlis sesak.

Pelancong berpusu-pusu datang ke Perlis. Difahamkan sepanjang musim cuti persekolahan tersebut, tempahan di kebanyakan inap desa di negeri ini juga penuh.

Alhamdulillah, kemasukan pelancong secara tidak langsung memberi limpahan ekonomi kepada rakyat khususnya yang berniaga makanan, penginapan, tempat pelancongan dan sebagainya. Jika sebelum ini, sering kali dikaitkan hanya sebagai lokasi transit untuk pelancong ke Pulau Langkawi, kini stigma itu boleh dibuang jauh-jauh memandangkan Perlis sudah menjadi antara lokasi tumpuan utama pelancong yang datang dari seluruh negara.

Langkah drastik kerajaan negeri termasuk swasta yang melakukan penambahbaikan di lokasi-lokasi pelancongan selain promosi berterusan, membantu kepada perkembangan tersebut.

Malah, lokasi-lokasi berdasarkan keindahan alam semula jadi dan aktiviti menarik serta pelbagai lagi tarikan baharu yang diketengahkan hasil inisiatif penduduk sendiri turut membantu menarik perhatian pengunjung ke Perlis.

Selain Padang Besar dan Kuala Perlis, lokasi-lokasi berlatarkan keindahan alam semula jadi seperti Taman Eko Rimba Bukit Air, Tanah Tinggi Wang Kelian, Tasik Timah Tasoh, Bukit Jernih dan banyak lagi turut dipenuhi pengunjung dari seluruh negara. Antara lokasi lain turut menjadi tumpuan ialah Gua Kelam, Galeri 3D, Taman Eko Rimba Batu Pahat, Taman Eksotik Batu Pahat, Superfruit Valley Chuping selain pelancong luar dilihat mengunjungi kawasan-kawasan kampung bagi menikmati keindahan alam semula jadi.

MEDIA SOSIAL

Penduduk di negeri ini juga banyak memainkan peranan apabila inisiatif mereka mengetengahkan lokasi menarik berlatar belakangkan keindahan alam semula jadi sering kali tular di media sosial dan secara tidak langsung menarik minat orang ramai bertandang ke situ. Antaranya Balbuk Haus, iaitu sebuah kafe yang terletak di tengah sawah di Kampung Balik Bukit, Chuping, Padang Besar. Kafe berkenaan diusahakan oleh pasangan suami isteri, Ahmad Soffi Abdul Manah, 33, dan Majidah Syamila Jasmi, 32. Dikelilingi sawah padi menghijau dengan berlatar belakang Bukit Chuping, kafe berkonsepkan kesenian, alam dan budaya itu mempunyai keunikan tersendiri yang menggamit orang ramai berkunjung ke situ.

Begitu juga hasil inisiatif sekumpulan anak muda dari Kayak Dahagi dan Kayak Nakawan Perlis yang mengusahakan aktiviti kayak menelusuri terowong di Kampung Wai, Kuala Perlis.

Sebelum ini, kawasan terusan tersebut agak terpencil namun di sebalik itu, lokasi berkenaan sebenarnya mempunyai keindahan cukup memukau dengan airnya yang kehijauan dan kebiruan selain panorama sekitarnya menyajikan keindahan bukit batu kapur berusia lebih 500 juta tahun dan sawah padi. Ia secara tidak langsung menjadi tarikan baharu pelancongan.

Begitu juga inisiatif penduduk negeri ini yang mewujudkan inap-inap desa cukup unik seperti di dalam kawasan kebun harumanis yang menjadi tarikan baharu pengunjung ke Perlis.

Jika dahulu orang sering kata Perlis tidak ada apa-apa, namun kini Perlis sudah menjadi antara destinasi utama tumpuan pelancong. Bak kata seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Hisham Ismail, 40, dahulu dia hanya ke Perlis apabila ingin menaiki feri ke Pulau Langkawi melalui Kuala Perlis. Kini, dia melihat Perlis khususnya dalam sektor pelancongan sudah jauh berubah. Banyak tempat cantik dan menarik di sini. Perlis juga terkenal sebagai ‘syurga makanan.’

Bagi orang luar yang ingin menikmati kedamaian dan ketenangan, mai-lah melancong ke negeri ini. Segala kekusutan di sebalik kesesakan ibu kota hilang apabila menikmati keindahan alam semula jadi yang memukau. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×