KEMANGKATAN Ratu Elizabeth II pada 8 September lalu di Istana Balmoral, Scotland pada usia 96 tahun menarik perhatian antarabangsa termasuk rakyat Malaysia. Sesungguhnya, Malaysia mempunyai pertalian sejarah yang erat dengan Britain kerana negara kita merupakan bekas jajahan British suatu ketika dahulu.
Ratu Elizabeth II sendiri pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali, iaitu pada 1972, 1989 dan 1998. Baginda mempunyai jalinan persahabatan yang rapat dengan Malaysia. Didorong oleh sifat peribadinya yang humanistik, kebanyakan rakyat Malaysia merasakan baginda sentiasa dekat di hati.
Nama penuh baginda ialah Elizabeth Alexandra Mary. Baginda anak perempuan sulung kepada raja United Kingdom, King George VI. Pada 6 Februari 1952, sewaktu baginda puteri melawat Kenya, Afrika, ayahandanya tiba-tiba mangkat kerana penyakit barah. Maka baginda terpaksa berkejar pulang ke England untuk mewarisi takhta. Pada 2 Jun 1952, baginda ditabalkan sebagai Ratu United Kingdom di Westminster.
Pada waktu itu, Tanah Melayu merupakan salah sebuah negara jajahan Empayar British. Oleh hal demikian, rakyat Tanah Melayu turut meraikan secara besar-besaran dan penuh kemeriahan pada hari pertabalan Ratu Elizabeth II.
Pada hari tersebut di ibu negara, satu perarakan besar-besaran diadakan dari Bangunan Sultan Abdul Samad menghala Jalan San Peng (Sekarang Jalan Loke Yew. Jalan Loke Yew terdahulu diubah menjadi Jalan San Peng sekarang).
Seorang penulis dan pekamus veteran, Lai Choy menceritakan semula detik itu kepada saya baru-baru ini. Pada 2 Jun 1952, pukul 6 petang, dia berjalan kaki dari Jalan Chan Sow Lin ke Jalan San Peng untuk menyaksikan perarakan tersebut secara menyeluruh dari cerun bukit Stadium Merdeka sekarang.
Ceritanya, perarakan diketuai anggota tentera dan polis, diikuti kontinjen pelajar. Para pelajar dari empat buah sekolah menengah Cina dan beberapa sekolah menengah Inggeris di Kuala Lumpur mengambil bahagian dalam perarakan itu.
Persembahan pancaragam Sekolah Menengah Perempuan Kuen Cheng menarik perhatian para penonton. Pancaragam itu dianggotai kira-kira 100 pelajar perempuan berpakaian baju seragam serba putih dan dipimpin oleh dram major yang menggerakkan baton dengan cukup terlatih. Persembahan yang mempesonakan itu meraih tepukan gemuruh.
Perarakan disusuli persembahan tarian singa dan naga mewakili beberapa pertubuhan Cina. Kenderaan berhias bunga-bungaan yang diwakili oleh kumpulan muzik Melayu, India dan lain-lain turut memeriahkan majlis.
BUKIT PETALING
Pada keesokan hari, kira-kira 6,000 pelajar berkumpul di Sekolah Methodist Church, Bukit Petaling bagi menyambut pertabalan Ratu United Kingdom. Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu pada waktu itu, Datuk Thuraisingham (1898-1979) dalam ucapannya berkata, pertabalan ratu menandakan kesediaan dan komitmen baginda untuk kesejahteraan semua rakyat di negara-negara Komanwel.
Di Ipoh, sambutan pertabalan Ratu Elizabeth II diadakan di Padang Besar Ipoh pada sebelah pagi, 2 Jun 1952. Sambutan itu dihadiri Raja Muda Perak, anggota tentera British dan Malaya, pasukan polis, wakil pelajar dan badan beruniform, pemimpin masyarakat berbilang kaum serta orang awam.
Raja Muda Perak memeriksa perbarisan tentera dan polis. Kemudian 21 das tembakan meriam dilepaskan. Lagu kebangsaan Britain dimainkan dan bendera Britain dinaikkan sebagai penghormatan tertinggi kepada baginda.
Selain itu, penduduk awam Ipoh mendirikan pintu gerbang bagi meraikan baginda. Kedai-kedai berdekatan Sungai Kinta dihiasi lampu berwarna-warni. Pada waktu malam, persekitarannya terang-benderang memperlihatkan kemeriahan tidak terhingga.
Satu majlis sambutan meriah turut dianjurkan Dewan Perniagaan Cina Perak di Ipoh. Perayaan diakhiri dengan nyanyian lagu kebangsaan Britian, God save the queen.
Oleh sebab Malaya merupakan salah sebuah tanah jajahan terpenting bagi Britain, maka sultan dari empat negeri Tanah Melayu, iaitu Johor, Perak, Selangor dan Kelantan turut diundang mengunjungi Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham pada 4 Jun 1952.
Segala aktiviti yang dijalankan baik di pekan mahupun bandar di seluruh Tanah Melayu seperti pembinaan pintu gerbang oleh majlis tempatan dan masyarakat setempat dengan meletakkan ayat Long Live The Queen dan bendera Britain dikibarkan adalah sebagai tanda penghormatan buat Ratu Elizabeth II.
Ratu Elizabeth II memerintah selama tujuh dekad sejak baginda bertakhta pada 1952. Sepanjang tempoh itu, baginda menyaksikan sendiri kegemilangan dan pengakhiran empayar British, serta naik turun pengaruh politik British di seluruh dunia.
Menurut undang-undang British, institusi beraja tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran Britain memandangkan kerajaan tersebut mengamalkan dasar raja berperlembagaan.
Namun, baginda memainkan peranan dalam beberapa perkara penting termasuklah usaha mengekalkan kestabilan dan perpaduan anggota-anggota negara Komanwel.
Sesungguhnya, mendiang Ratu Elizabeth II akan dikenang atas dedikasi luar biasanya yang menumpukan seluruh hayatnya untuk berkhidmat kepada Britain, kerajaan beraja dan Komanwel. Baginda dilihat berjasa dalam menegakkan budi pekerti British dan memelihara memori kolektif yang manis dalam kalangan rakyat di Empayar British di merata tempat di seluruh dunia.
Bagi rakyat Malaysia, komitmen baginda yang tidak berbelah bahagi kepada Komanwel menjadi kebanggaan negara dan usahanya untuk menggalakkan hubungan lebih kukuh antara United Kingdom dengan Malaysia akan diingati selama-lamanya. – UTUSAN
PENULIS ialah penulis biografi, pengkaji sejarah tempatan dan penerbit buku.










