TAPAH: Mayat juruterbang helikopter Eurocopter EC120B yang terhempas di Hutan Simpan Chikus di sini kelmarin ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.
Ketika ditemukan, Tsz Kin Richard Chan, 58, berada di bahagian kokpit sebelum dibawa keluar pada pukul 10.12 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mangsa adalah warganegara Hong Kong dan bekerja dengan syarikat swasta penerbangan berkenaan.
Mohd Yusri berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemukan lokasi nahas di Hutan Simpan Chikus pada pukul 9.30 pagi sebelum bantuan helikopter tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa keluar menaiki helikopter dan dihantar ke padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
“Krew TUDM memaklumkan mangsa disyaki telah meninggal dunia di lokasi nahas,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Balai Polis Bidor, di sini, semalam.
Mohd. Yusri turut memaklumkan keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai tragedi berkenaan dan pihaknya akan menunggu laporan bedah siasat.
“Mangsa dibawa ke hospital dan kita menunggu laporan forensik untuk tahu tahap kecederaan dialami mangsa,” katanya.
Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan CAAM mengesahkan sebuah helikopter jenis Eurocopter terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara di Kuala Lumpur pada pukul 12.16 tengah hari.
Menurut Ka Siong, helikopter berkenaan dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pada pukul 11.37 pagi sebelum terputus hubungan 39 minit kemudian dengan menara kawalan udara.
Sementara itu, dua helikopter milik pasukan penyelamat yang berlegar di lokasi sama menjadi petunjuk kepada bekas pegawai kanan bomba untuk mengenal pasti lokasi helikopter yang terhempas di Hutan Simpan Chikus, kelmarin.
Bekas Timbalan Ketua Pengajian Penyelamat di Akademi Bomba dan Penyelamat Bomba Wilayah Tengah, Mohamad Yunus Abu itu merupakan antara kumpulan orang awam yang tiba awal di lokasi nahas sekitar pukul 9.50 pagi.
Menurut Mohamad Yunus, 48, dia masuk ke dalam hutan simpan tersebut menaiki kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa kira-kira sejam untuk perjalanan lima kilometer dari jalan utama.
Katanya, turut bersamanya dalam operasi itu adalah Penghulu Mukim Bidor, Ahmad Fahmie Othman serta ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chegar dan lima pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Kami masuk hutan berpandukan pergerakan dua buah helikopter, milik polis dan TUDM yang dilihat berlegar beberapa kali di kawasan sama.
“Berdasarkan pengalaman dan kemahiran saya semasa berkhidmat dalam pasukan bomba selama 16 tahun, keadaan itu adalah isyarat daripada unit udara bahawa ada sesuatu yang berlaku di bawah.
“Dalam situasi itu, kita tidak boleh berkomunikasi dengan orang atas jadi helikopter itu akan bagi petunjuk kepada kita dengan berpusing-pusing di lokasi kejadian.
“Kami yang menaiki pacuan empat roda pada awalnya tersasar tetapi berpandukan pergerakan helikopter itu, kami ambil keputusan untuk mencari jalan sehampir mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurutnya, ekoran keadaan lokasi kejadian merupakan hutan berpaya, dia dan pasukan terpaksa meredah laluan antara 500 meter ke satu kilometer dengan berjalan kaki
“Bila sampai ke lokasi, kita dapati ada pegawai TUDM telah bersedia berhampiran helikopter yang terhempas dan berada di celah pokok,” katanya. – UTUSAN










