Anwar atau Aminuddin di Port Dickson?

Anwar atau Aminuddin di Port Dickson?

GANDINGAN PM Anwar, MB Aminuddin serlah kekuatan sebenar PH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

Berdasarkan perkembangan semasa, tidak mustahil untuk memberikan bayangan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bakal dipertaruhkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Port Dickson.

Walaupun Aminuddin mengakui khidmat Datuk Seri Anwar Ibrahim masih diperlukan, spekulasi mengenai beliau akan menggantikan Anwar di Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tetap diperkatakan ramai.

Tiada sebarang sebab untuk menghalang Aminuddin sebagai calon PH di Port Dickson.

Beliau merupakan anak kelahiran Port Dickson selain kini menjadi Ketua Cabang PKR Port Dickson. Faktor itu sahaja cukup menjadikan Aminuddin sebagai calon ideal.

Ia ditambah dengan posisi baharu Aminuddin sebagai Naib Presiden PKR sekali gus memperlihatkan sewajarnya beliau perlu diberi peluang kali ini.

Bukan sahaja taraf Naib Pre­siden sebuah parti sepatutnya berada di peringkat Persekutuan malah bertanding di Parlimen bakal menjadi satu anjakan dalam karier politik Aminuddin yang telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat sejak tahun 2008.

Aminuddin beberapa kali ditanya oleh pemberita mengenai perkara itu, jawapannya tetap sama iaitu menyerahkan kepada Anwar selaku Presiden PKR untuk menentukan kedudukannya.
Terbaharu pada 6 September lalu, Aminuddin memaklumkan beliau tiada masalah sekiranya diberikan amanah kali ini untuk mencuba peluang di Parlimen Port Dickson.

Kini semuanya menunggu pendirian Anwar, sama ada beliau kekal mahu berada di Port Dickson, mahupun kembali ke kerusi tradisi keluarganya iaitu di Permatang Pauh ataupun menerima pe­la­waan untuk ke kerusi Tambun.

Anwar semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober 2018, menang dengan majoriti 23,560 undi dalam pertembungan dengan enam calon lain tetapi Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon pada waktu itu.

PRK tersebut dijalankan selepas selepas penyandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusi itu pada 12 September 2018.

Ia bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat sekali gus menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa itu.

Kini, sama ada Anwar atau Aminuddin, Parlimen Port Dickson pada PRU15 tetap akan menjadi kerusi tumpuan ramai.

Walaupun muncul beberapa parti lain, saingan pasti akan terarah di antara PH dan BN yang beriltizam mahu merampas kembali kerusi terbabit selepas kehilangannya sejak Pilihan Raya Umum Ke-12.

Strategi BN tentunya juga dinanti ramai, sama ada kekal mempertaruhkan MIC sebagai wakil tradisi ataupun kali ini membuat kejutan dengan calon UMNO mengambil alih peranan sukar itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×