KOTA KINABALU: Usaha mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak akan merumitkan urusan persempadanan di seluruh negara sekali gus menjejaskan kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, keadaan itu akan menyebabkan jumlah kerusi Parlimen di Semenanjung berkurang jika kerajaan mengekalkan 222 kerusi keseluruhan dan 35 peratus daripadanya milik Sabah dan Sarawak.
“Ini satu langkah tidak wajar, kurang bijak dan tidak adil untuk kawasan-kawasan Parlimen di Semenanjung kerana yang mahu tambahan kerusi ialah Sabah dan Sarawak. Maka, tidak perlu ganggu kawasan di Semenanjung.
“Ini juga menyebabkan kerja semakin sukar sebab urusan persempadanan melibatkan seluruh negara, sedangkan dalam Perlembagaan sudah membenarkan urusan persempadanan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak boleh dilakukan secara berasingan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jumaat lalu, Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dilaporkan memperakui langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
Perakuan itu menyaksikan kedua-dua negeri bakal memiliki 78 daripada 222 kerusi Parlimen. Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak (24) dan Singapura (15) (sebelum meninggalkan Malaysia) yang mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen ketika itu. Baki 65 peratus atau 104 kerusi milik Tanah Melayu.
Terkini, 166 atau 75 peratus daripada 222 kerusi Parlimen di Semenanjung, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi untuk negeri-negeri Borneo iaitu Sarawak (31) dan Sabah (25).
Kata Wan Ahmad, sebagai solusi, SPR perlu membuat syor kepada Parlimen Malaysia berkaitan urusan persempadanan dan jumlah kerusi tambahan antara ketiga-tiga kawasan yang boleh dilakukan berasingan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, jika SPR tidak membuat syor, Parlimen boleh menetapkan jumlah kerusi tambahan namun ia perlu dibahas dan diluluskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat, kemudian diserahkan kepada SPR untuk melaksanakan urusan persempadanan seperti ditetapkan.
Beliau berkata, ini bermaksud keseluruhan kerusi Parlimen sedia ada kekal dan akan berlaku pertambahan melebihi kadar tersebut setelah Parlimen menetapkan kerusi tambahan bagi ketiga-tiga kawasan.
“Dalam Perlembagaan memang telah ditetapkan sejumlah kerusi Parlimen iaitu 222, jadi, ini akan memerlukan pindaan kepada Perlembagaan (Rang Undang-Undang pindaan Perlembagaan).
“Namun, ia tidak semudah disangka kerana setiap urusan pertambahan kerusi mesti melalui proses undang-undang di bawah Perlembagaan, iaitu Perkara 46 dan Jadual ke-13,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pertambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak tidak akan berlaku sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana kekangan masa selain parti politik perlu menyediakan pusat daerah mengundi, jentera dan penaja pilihan raya baharu.
“Pertambahan kerusi Parlimen ini hanya untuk tempoh jangka panjang. Tidak sesuai jika tujuannya untuk pilihan raya umum kali ini. Kena tunggu PRU-16,” katanya. – UTUSAN










