Kenaikan OPR tidak jejas industri automotif

Kenaikan OPR tidak jejas industri automotif

JUALAN kenderaan April meningkat 21 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik kenaikan kos sara hidup serta pe­ningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan kali ketiga Rabu lalu sebanyak 25 mata asas, jualan kenderaan pada tujuh bulan pertama tahun ini terus melonjak berbanding tempoh sama pada 2021.

Mengikut data dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan dari Januari sehingga Julai 2022 meningkat kepada 380,595 unit berbanding 256,677 unit pada tempoh sama pada tahun lalu ekoran pembukaan sektor ekonomi di samping peralihan fasa endemik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berpandangan, justeru itu beliau percaya kenaikan OPR untuk kali ketiga tahun ini tidak memberi kesan kepada industri automotif memandang­kan peningkatan bayaran pembiayaan kenderaan dijangka hanya minimum.

Kata beliau, pihaknya menjangkakan jumlah kenderaan terus meningkat sebanyak 630,000 unit berbanding unjuran asal 600,000 dengan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang semakin memberangsangkan.

Jelas Aishah lagi, sasaran itu sebenarnya melebihi jualan rekod 508,911 unit seperti dicatatkan semasa 2021 sekali gus menyifatkan kenaikan OPR tidak mempengaruhi industri automotif di samping kesan kenaikan kos sara hidup masa kini.

“Buat masa kini, perkemba­ngan jualan kenderaan adalah positif dengan jumlah jualan tujuh bulan pertama 2022 adalah 48 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lalu.

“Masalah dihadapi industri automotif sekarang bukannya disebabkan kenaikan OPR, sebaliknya penghantaran yang lewat sekali gus menyebabkan pembeli tidak dapat kenderaan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Bank Negara Malaysia menerusi Jawatankuasa Dasar Mone­tari Rabu lalu memutuskan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus, selepas peningkatan pada Mei dan Julai lalu dengan masing-masing sebanyak 25 mata asas.

Menurut Aishah lagi, pening­katan terbaharu OPR kepada 2.50 peratus dilihat masih rendah berbanding sekitar 3.25 pera­tus pada 2018 sekali gus tidak menjejaskan jualan kenderaan walaupun bakal pembeli dikatakan berhati-hati sebelum melakukan pinjaman kenderaan.

“Tidak disebabkan kesan kenaikan OPR. Kalau ada sekali pun, tidak banyak. Dahulu OPR naik sehingga lebih 3 peratus namun tiada kesan. Jadi saya menjangkakan ia tidak berlaku ekoran kenaikan kadar terbaharu ini.

“Namun pembeli dinasihatkan untuk mengambil tahu secara jelas daripada pihak bank sebelum bersetuju melakukan pinjaman kenderaan. Bagaimanapun kadar pembiayaan kenderaan selalunya tetap,” katanya.

Mengulas trend pembelian kereta terpakai, Aishah menjelaskan keadaan itu berlaku sekiranya pembeli tidak mampu membayar kenderaan pertama di samping tidak mahu menanggung beban bayaran bulan terlalu tinggi.

Sebaliknya beliau melihat harga kenderaan keluaran tempatan seperti Proton dan Perodua masih berpatutan berbanding membeli kenderaan terpakai sekali gus mampu dibeli dalam kalangan pengguna.

“Pembeli memilih beli kenderaan terpakai kerana beranggapan harga murah, namun jenama Proton dan Perodua masih lebih berpatutan. Jadi lebih baik beli kereta baharu Proton dan Perodua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×