PETALING JAYA: Masyarakat harus bersedia menghadapi keadaan ekonomi yang perlahan tahun depan dengan mengadaptasi pengurusan kewangan yang berhemah dan tidak menambah hutang baharu.
Pakar ekonomi juga menyarankan orang ramai mempelbagaikan punca pendapatan, meningkat simpanan, mengamalkan gaya hidup mengikut kemampuan dan berusaha mengurangkan hutang sedia ada.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, ini berikutan sektor ekonomi terutamanya di peringkat global dijangka berada di bawah tekanan yang tinggi sekaligus memberi kesan kepada negara ini.
Katanya, sektor ekonomi dijangka merudum sekali lagi tahun hadapan sekali gus menyaksikan mereka yang terkesan dalam Covid-19 selama dua tahun sebelum ini, kekal tertekan.
“Pertumbuhan global dijangka lembap kerana pelbagai kejutan seperti tekanan perang, kelembapan ekonomi China akibat perintah berkurung dan peningkatan kadar faedah bank seluruh dunia,” tambahnya.
Beliau berkata, dasar monitari yang ketat itu boleh mengakibatkan pertumbuhan yang perlahan, menyebabkan negara perlu menghadapi kelembapan ekonomi yang mendadak dengan kemungkinan besar berdepan kemelesetan.
“Sektor yang mengalami tekanan teruk ketika pandemik Covid-19 akan terus berdepan cabaran ekonomi global yang perlahan seperti sektor pelancongan, sektor makanan dan minuman (F&B) dan perhotelan.
“Sektor komoditi juga diramal menerima kesan sama apabila kita dapat lihat harga komoditi seperti minyak sawit sudah turun di bawah RM4,000 satu tan berbanding antara RM6,000 ke RM5,000 satu tan tidak lama dulu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kim Leng berkata, cabaran utama Malaysia adalah mempunyai pelan yang lebih bersedia mengatasi sebarang kelembapan mendadak ekonomi global.
Katanya, negara juga perlu mengekalkan permintaan tempatan dan memastikan perbelanjaan pengguna serta pelaburan terutamanya pelaburan langsung asing (FDI) diteruskan.
“Namun, bantuan dan pelan tetap perlu dilaksanakan bagi membantu isi rumah yang berpendapatan rendah terutama yang tinggal di kawasan bandar.
“Walaupun bantuan daripada kerajaan tak ‘sihat’ untuk tempoh jangka masa panjang, kita perlu memastikan mereka yang miskin bandar itu diberikan bantuan pendapatan dengan lebih kritikal lagi,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan, meskipun ekonomi dunia dijangka perlahan tahun hadapan, ekonomi Asia Pasifik terutamanya Asia Tenggara diramal mengalami pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi secara puratanya.
Katanya, ini kerana negara-negara di Asia Tenggara mempunyai beberapa kelebihan dari segi kestabilan politik, potensi pembangunan industri baharu, kemudahan infrastruktur dan tenaga kerja yang kompetitif.
“Namun, masyarakat harus bersedia dengan menguruskan kewangan dengan lebih baik dan tidak menambah hutang baharu.
“Saya harap ekonomi negara akan lebih pelbagai dan tidak bergantung kepada sektor perkhidmatan, perkilangan dan komoditi semata-mata, tetapi menumpukan kepada sektor berteknologi tinggi dan industri yang mampu menjamin sekuriti makanan,” katanya.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, berdasarkan petunjuk ekonomi global ketika ini, 2023 dijangkakan tahun yang mencabar dan Malaysia tidak terkecuali. – UTUSAN










