Cabaran mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi

Cabaran mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANK Negara Malaysia (BNM) pada bulan lalu melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua 2022 meningkat 8.9 peratus, mengatasi unjuran konsensus oleh para penganalisa, iaitu antara lima hingga lapan peratus. Pencapaian ini yang merupakan tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN ditunjangi oleh pengukuhan sektor eksport, pasaran buruh serta permintaan domestik. Untuk rekod, kadar pertumbuhan untuk suku pertama 2022 adalah lima peratus.

Menurut Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus, pembukaan semua sempadan negara menjadi rangsangan utama yang memacu sektor utama seperti perkilangan dan perkhidmatan. Selanjutnya, pertumbuhan ekonomi untuk enam bulan kedua 2022 dan 2023 akan terus diterajui oleh perbelanjaan sektor swasta termasuk sektor pelancongan yang diramalkan kembali ke tahap sebelum pandemik.

Sentimen positif ini turut dikongsi oleh firma-firma penarafan tempatan dan antarabangsa. Agensi penarafan RAM Ratings pada minggu lepas meningkatkan unjuran KDNK kepada 6.8 peratus berbanding unjuran asal 5.8 peratus. Mengikut data oleh Bloomberg pada 11 Ogos lalu, para penganalisa meletakkan sasaran peningkatan KDNK 2022 melebihi enam peratus.

Sebelum itu, pada Jun, S&P Global Rating meletakkan angka 6.1 peratus. Ini merupakan unjuran yang amat sihat kerana kali terakhir Malaysia mencatatkan kadar enam peratus adalah pada 2014.

Pelaburan langsung asing (FDI) juga berterusan mencatatkan perkembangan positif. Pada 2021, jumlahnya meningkat kepada RM48.1 bilion berbanding RM13.3 bilion pada 2020. Bagi tempoh enam bulan pertama 2022 pula, nilai pelaburan yang diluluskan mencecah RM123.3 bilion di mana FDI menyumbang 70.9 peratus atau RM87.4 bilion manakala pelaburan daripada sumber domestik (DDI), 29.1 peratus berjumlah RM35.9 bilion. Ini adalah manifestasi keyakinan masyarakat pelabur asing dan tempatan terhadap kelebihan dan kekuatan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama rantau ini.

Enam bulan pertama 2022 juga menyaksikan beberapa siri pengumuman pelaburan baharu oleh firma-firma teknologi global. Pengilang gergasi Taiwan, iaitu Foxconn memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Dagang Nexchange Berhad (DNex) untuk mewujudkan usahasama membina dan mengendalikan kemudahan cip membabitkan anggaran pelaburan sekitar RM13.2 bilion hingga RM22 bilion. Firma penyedia penyelesaian semikonduktor, iaitu Infineon pula akan melabur lebih RM8 bilion untuk membina modul fabrikasi wafer di Kedah yang akan mencipta lebih 900 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Samsung SDI Energy Malaysia Sdn. Bhd. (SDIEM) turut mengumumkan pelaburan lebih RM7 bilion untuk membina kemudahan tercanggih bagi pengeluaran bateri kenderaan elektrik di Negeri Sembilan.

IMIGRESEN

Kadar pertumbuhan KDNK ini juga meningkatkan permintaan untuk tenaga kerja. Kadar guna tenaga buruh menyaksikan kadar pengangguran pada Jun 2022 menurun ke tahap 3.8 peratus, paling rendah semenjak Februari 2020. Ini menyebabkan para pekerja di negara ini memiliki kuasa tawar-menawar yang lebih tinggi dan menjadi lebih cerewet dalam memilih kerja. Seterusnya ini menyebabkan para majikan berhadapan masalah kesukaran mendapatkan pekerja. Selain itu, perubahan dasar imigresen negara menyaksikan proses kemasukan pekerja asing yang menjadi tonggak utama sektor pembinaan dan perladangan tergendala.

Kekurangan pekerja ini adalah antara ancaman utama yang boleh merencatkan usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara. Sebagai contoh, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menyatakan mereka kerugian lebih RM20 billion apabila buah sawit tidak dapat dipungut kerana kekurangan pekerja. Ada pengilang yang terpaksa mengerahkan eksekutif pentadbiran untuk turun membantu bahagian pengeluaran dan operasi. Beberapa sektor industri berorientasikan tenaga manusia seperti hotel dan restoran terpaksa menolak sebahagian tempahan daripada pelanggan kerana kekurangan pekerja.

Difahamkan, hasil libat urus dan perjumpaan Pejabat Perdana Menteri dengan wakil-wakil pihak industri, kerajaan telah mengenal pasti beberapa cadangan inisiatif baharu membabitkan isu kekurangan pekerja dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada awal Oktober ini. Menurut kenyataan pra-Bajet 2023 oleh Kementerian Kewangan, kerajaan akan menumpukan kepada meneruskan program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula, meningkatkan produktiviti menerusi digitalisasi aktiviti ekonomi dan memastikan gaji yang wajar dalam kalangan rakyat termasuk menerusi semakan gaji minimum.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap menyempurnakan majlis penutup Konsultasi Bajet 2023 beberapa hari lalu menyatakan antara tumpuan utama adalah memastikan pemulihan pasca Covid-19 turut mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

Mengekalkan pertumbuhan tahunan KDNK yang sihat iaitu antara 4.5 hingga 5.5 peratus bagi 2021-2025 akan memastikan Malaysia berada di landasan yang tepat ke arah mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi menjelang 2025. Pertumbuhan sedemikian akan meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita kepada RM57,882 pada 2025, berbanding RM42,503 pada 2021.

Pendekatan inklusif dan pragmatik yang diamalkan oleh kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara ternyata membuahkan hasil positif. Ini perlu menjadi fokus dan disokong oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. – UTUSAN

PENULIS ialah akauntan bertauliah & penganalisa ekonomi bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×