MUKADIMAH
SUDAH kedengaran pelbagai jangkaan terhadap pertumbuhan ekonomi tahun depan yang menimbulkan banyak kebimbangan.
Malah, dengan kenaikan tiga kali Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun ini dan kejatuhan nilai ringgit sudah semestinya menambah tekanan pelbagai pihak sama ada rakyat dan pemain industri.
Justeru, pembentangan Bajet 2023 bulan depan ditunggu-tunggu bagi melihat sejauh mana kerajaan serius dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi yang mapan.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Penasihat Kanan, Institut Penyelidikan Khazanah, PROFESOR EMERITUS DR.JOMO KWAME SUNDARAM bagi mendapatkan perspektif beliau.
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah Bajet 2023 melibatkan peruntukan kewangan yang tinggi dengan menjadi ‘belanjawan pilihan raya’ walaupun di sebalik ketidaktentuan geopolitik dan gangguan pertumbuhan ekonomi global?
PROF DR. JOMO: Sukar meramalkan apa yang akan dibentangkan nanti. Saya tertarik dan bersetuju dengan permohonan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang mahu peruntukan perbelanjaan kesihatan awam ditingkatkan kepada lima peratus.
Sebab apa? Jika kita lihat jangka hayat penduduk di negara ini terus meningkat. Masalahnya walaupun umur panjang tetapi penuh dengan penyakit yang semestinya memerlukan rawatan susulan di hospital. Jadi di sinilah betapa pentingnya kemudahan dipertingkatkan dan diberi tumpuan khusus untuk rakyat.
Selain itu, jika dahulu kita perlu berdepan dengan masalah penularan pandemik dan fasa pemulihan Covid-19, kini kita juga perlu berdepan dengan masalah baharu iaitu kemelesetan ekonomi yang sedang berlaku di peringkat dunia. Malah, masalah inflasi juga berlaku dalam masa sama. Paling dibimbangi sekiranya berlaku stagflasi sebagaimana tahun 70-an dahulu.
Jadi, di sini apa penyelesaiannya? Kita bimbang kerana masalah dengan pemerintahan sejak tempoh dua ke tiga tahun sebelum ini, mereka tidak mahu kenakan cukai. Kita dapati sesetengah harga barang eksport melambung tinggi seperti minyak sawit dan sarung tangan. Syarikat terlibat untung sudah banyak. Tapi pemerintah enggan mengenakan cukai terhadap mereka sebagai contoh cukai durian runtuh. Sebab itulah saya katakan kerajaan tiada usaha serius untuk gandakan hasil pendapatan.
Maksudnya di sini kerajaan perlu melaksanakan cukai tertentu termasuk cukai ‘durian runtuh’ kepada syarikat besar menerusi Bajet 2023 nanti?
Kita boleh kenakan cukai tapi bukanlah pada semua pihak. Saya pasti kerajaan tahu siapa dapat untung besar atau sebaliknya. Malah dalam tempoh 12 tahun ini tiada usaha untuk meningkatkan cukai terhadap orang kaya. Selain itu, kita dapati daripada segi cukai atau perbelanjaan, ia berat sebelah kepada orang berada sahaja. Kita dapati bahawa tiada strategi yang berubah mengikut keadaan dan masalah yang dihadapi.
Sekiranya kerajaan mahu melaksanakan cukai apa sahaja termasuk cukai durian runtuh, saya rasa tiada one size fit all (satu saiz untuk semua). Di Amerika Syarikat (AS) dahulu, kadar cukai yang tertinggi pernah dikenakan kerajaan di sana sebanyak 90 peratus. Jadi daripada pendapatan tambahan, kerajaan ambil 90 peratus. Sebab ia bukan kerana usaha, tetapi kerana nasib dia.
Cuma jangan salah faham. Saya bukan kata 90 peratus dalam semua keadaan. Saya cuma nak katakan hanya kerajaan yang berani pernah kenakan cukai yang cukup tinggi.
Sekiranya kerajaan mahu melaksanakan, janganlah terlampau tinggi sehingga pengilang tidak mampu keluarkan barang dan ia tidak mempunyai standard dengan dengan kadar sama kepada semua pengeluar.
Sebagai contoh untuk minyak sawit dan petroleum kadarnya mungkin berbeza. Jadi kita mesti peka terhadap keadaan yang berubah dan jangan kenakan satu cukai dalam satu keadaan sahaja. Cukai mesti berubah-ubah ikut situasi.
MAHU GST
Seolah-olah ada percanggahan antara Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd. Shahar Abdullah dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) yang bersetuju dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak 4 peratus.
Saya rasa soal ini besar dan tidak menghairankan syarikat dan pengilang mahukan semula GST kalau dibanding dengan cukai pendapatan atau cukai durian runtuh. Tapi apa berlaku sekarang GST dihapuskan dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) digantikan. Sebenarnya kedua-duanya cukai penggunaan dan cukai tidak langsung. Kita tahu cukai tidak langsung kurang adil dibanding dengan cukai langsung, seperti cukai pendapatan, cukai harta, dan sebagainya terutama yang dikenakan secara progresif, bukan sama rata.
Kawan saya Allahyarham Profesor Ismail Salleh pernah berkata agihan pendapatan setelah semua cukai dibayar lebih tidak adil. Justeru, saya amat setuju dengan sistem cukai nilai tambah (VAT).
Sebab apa? Sebab ia boleh dipinda dan menjadi lebih adil. Sistem ini juga boleh mengecualikan barang keperluan, terutamanya makanan rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana. Kadar cukai berlainan juga boleh dikenakan, contohnya, cukai lebih tinggi terhadap perkhidmatan dipakai orang kaya dan cukai lebih rendah terhadap perkhidmatan dipakai orang ramai.
Persoalannya, VAT ini bagaimana kita mahu kenakan pada kadar sama rata dan beberapa barang mungkin perlu dikecualikan? Selain itu, kita juga perlu fikirkan bagaimana mahu mengenakan pada kadar yang jauh lebih rendah. Apabila Pakatan Harapan (PH) mula memerintah saya cadangkan VAT diperkenalkan. Sistem yang sudah ada menerima enam peratus boleh berterusan tapi beberapa pengecualian perlu diberikan. Pada saya secara relatifnya GST lebih berkesan jika dibandingkan SST. Akan tetapi, antara cukai-cukai penggunaan, sistem cukai nilai tambah (VAT) lebih cekap.
Selain itu, dalam isu pengurusan cukai ini saya masih tidak faham mengapa ada dua agensi terlibat iaitu Jabatan Kastam Diraja (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengendalikannya.
Saya kurang setuju apabila JKDM diberi kuasa untuk menguruskan cukai. Sepatutnya cukup satu badan atau agensi sahaja. Sebagai contoh ada LHDN. Kuasa mereka perlu diperluaskan untuk mengurus semua cukai. Sebab apa? Sebab mereka ada maklumat berkaitan. Misalnya, kita nak kenakan cukai kepada syarikat.
Jadi mereka tahu apa yang dijual dan segala macam maklumat. Kita juga boleh tahu sama ada syarikat atau pihak terbabit menipu atau sebaliknya.
Maknanya, apabila VAT atau GST dikenakan, ia perlu diuruskan LHDN. Jangan lupa untuk beri pengecualian terhadap barang tertentu. Kita patut mengimbangkan apa yang sesuai bagi Malaysia.
Contoh kalau kita katakan makanan dikecualikan cukai VAT, adakah stik dari New Zealand yang memang untuk orang kaya juga mahu dikecualikan? Dalam keadaan sekarang ramai hadapi tekanan akibat pandemik dan kenaikan harga. Kerajaan patut peka dengan keadaan ini. Jangan laksanakan satu kadar cukai untuk semua.
Sekiranya dilaksanakan cukai VAT, adakah wajar mengikut negeri atau kawasan tertentu?
Pelaksanaan dengan mengikut negeri hanya boleh buat di Sabah dan Sarawak. Di negeri lain macam tidak adil pula. Sebabnya, saya ambil contoh Perlis. Kalau kita lihat Perlis yang mungkin negeri kecil itu tapi hasil berasnya dari mana? Ada yang diimport dari Thailand dan ia jauh lebih murah.
PEMBERIAN SUBSIDI
Kerajaan membelanjakan RM80 bilion untuk pemberian subsidi setakat ini. Adakah jumlah itu dijangka meningkat selaras hasrat mengutamakan kesejahteraan rakyat dan pembaharuan ekonomi?
Soalnya bukan jumlah pemberian subsidi, soalnya pada siapa dan untuk siapa. Kalau subsidi itu diberi hanya untuk membantu ahli politik bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) itu tak patut.
Bagi mereka yang susah misalnya orang yang hilang mata pencarian sepatutnya perlu ada bantuan tanpa mengira latar belakang mereka.
Saya beri contoh tindakan kerajaan menghentikan eksport ayam ke Singapura baru-baru ini. Awak lihat apa berlaku. Mereka (Singapura) import ayam dari Indonesia yang akhirnya mengakibatkan kita tidak dapat memasuki pasaran ke negara tersebut. Kesannya, bukan sahaja kepada pembekal tetapi kepada pihak lain yang terlibat dalam industri ini. Jadi apa gunanya? Justeru saya berharap kerajaan patut peka kepada seluruh rakyat Malaysia dan memastikan kedudukan ekonomi tidak terjejas.
Pada jangkaan prof, adakah Bajet 2023 akan meningkat?
Saya bukan ahli nujum dan tidak tahu untuk membuat anggaran. Tetapi anda mungkin boleh agak dengan soalan sebelum ini yang memperkatakan mengenai ‘belanjawan pilihan raya’.
Dalam keadaan ekonomi agak perlahan, adakah peruntukan dalam Bajet 2023 berkaitan aspek tertentu perlu dikurangkan? Contoh, pertahanan selepas berdepan dengan kemelut LCS baru-baru ini?
Bagi saya, peruntukan kewangan perlu diberi fokus kepada kepentingan ramai terutama yang berkait rapat dengan perkhidmatan sosial, kesihatan, pendidikan dan latihan upskilling dan reskilling.
Saya mengutuk keras dan kecewa dengan projek kapal tempur pesisir (LCS) dan kita tahu ia bukanlah benda baharu. Jumlah peruntukan kewangan atau perbelanjaan tidak boleh dibuat atau diukur disebabkan ada penyelewengan. Begitu juga kalau ada yang cuba hendak mencetuskan perang. Bagi saya konsep kawasan aman, bebas dan berkecuali (Zopfan) di Asia Tenggara sangat relevan sehingga kini dengan tidak menyebelahi kepada mana-mana negara. Kita perlu lihat kepada soal dasar luar dan kita tidak perlu terikut-ikut dengan negara lain. Jumlah berapa peratus yang perlu diberi kepada aspek pertahanan perlu diteliti secara keseluruhan dan bukan dalam konteks belanjawan sahaja.
Pertumbuhan ekonomi 2023 diramalkan tidak berkembang positif. Adakah akan memberi kesan kepada peningkatan pengangguran ?
Itu sudah tentu berlaku lebih-lebih lagi ada kilang serta perusahaan selepas pandemik tidak pulih sepenuhnya. Malah dikatakan ada perusahaan hotel dan pelancongan juga begitu. Jadi bagaimana dengan yang kerja di sana? Dalam jangka masa akan datang tidak ada cara mudah nak pulihkan sektor seumpama ini dan ia sesuatu yang sukar dirancang.
Adakah kerajaan wajar dan mampu laksanakan subsidi bersasar untuk bantu pulih ekonomi tahun depan?
Soalnya bersasar kepada siapa? Golongan berpendapatan rendah (B40)? Siapa ada data? Teman saya pernah tunjukkan bahawa bagi individu di negara ini majoritinya tiada simpanan yang besar.
Sebenarnya B40 ini satu kategori yang dibuat Bank Dunia (IMF). Semua negara di dunia ada B40nya. Di Malaysia lebih sesuai dipanggil B70.Tapi nak sasarkan untuk golongan B70 sahaja lebih baik pada semua. Penting beri pada semua sebab kita kenakan cukai kepada mereka yang kaya juga.
Subsidi pada prinsipnya diharuskan.Tapi perlu tanya balik apakah bersasar itu terkesan dan mampu selamatkan daripada diseleweng? Masalah penyelewengan ini satu dunia ada.
OPR naik susahkan rakyat
Apakah pandangan Prof berkenaan dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini?
Bagi saya masalah kadar bunga ini kerana ekonomi kita terlalu terbuka. Kalau kita menaikkan kadar bunga, itu susahkan orang yang meminjam. Di Malaysia hampir setiap isi rumah berhutang lebih 80 peratus daripada jumlah pendapatan. Jadi boleh dikatakan rata-rata masyarakat kita hutang keliling pinggang dan terjerat dengan hutang. Jadi nasib orang ramai terjejas bila kita naikkan kadar bunga.
Akan tetapi kalau tidak naik kadar bunga, modal akan lari keluar. Sebab mereka boleh dapat kadar bunga tinggi di tempat lain. Ini menyebabkan sekarang dolar AS kuat.Sedangkan ekonomi negara tersebut lembab. Jadi nilai mata wang tidak mencerminkan kekuatan ekonomi. Untuk pilih kadar bunga yang sesuai bagi ekonomi terbuka bukan mudah.Kita patut fikir apa implikasi kepada orang ramai yang majoritinya hutang keliling pinggang. – MINGGUAN MALAYSIA










