Penyelarasan agensi lemah punca pencemaran air sukar diatasi

Penyelarasan antara agensi lemah punca pencemaran air sukar diatasi

SEORANG pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengutip timbunan sampah sarap di perangkap sampah Sungai Pinang, semalam sekali gus mencerminkan sikap penduduk yang tidak mempedulikan soal kebersihan sumber air. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelemahan penyelarasan dan perancangan antara agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan masalah pencemaran air sukar diatasi.

Pegawai Penyelidik Kanan Sahabat Alam Malaysia (SAM), S, Mageswari berkata, tindakan awal perlu diambil termasuk mewujudkan satu badan berkuasa bagi melindungi sumber air negara.

Katanya, penguatkuasaan terhadap aktiviti tidak bertanggungjawab perlu dipertingkatkan bagi melindungi sumber air daripada tercemar dan terjamin bersih.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah laporkan salah satu punca pencemaran air disebabkan oleh kerja-kerja pembangunan dan penerokaan tanpa henti sehingga berlakunya pemendakan dan memulakan pencemaran bekalan air negara.

“Sungai dan tasik adalah antara sumber air untuk kita, sekiranya pencemaran tidak ditangani walaupun sudah ada peraturan menanganinya, pencemaran akan menjadi lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, sumber air di negara ini terdedah kepada pencemaran ekoran berlaku kegiatan penerokaan tanah untuk pembangunan kawasan perumahan dan perindustrian tanpa kawalan.

Sebanyak 3,933 kes pencemaran air termasuk sungai dan tasik direkodkan oleh JAS dalam tempoh empat tahun sejak 2018 sehingga Ogos lalu.

Daripada rekod tersebut, aduan tertinggi diterima adalah pada 2019 iaitu melibatkan 986 kes direkodkan diikuti 2020 (915 kes); 2021 (862 kes) dan 2018 (673 kes) serta Januari hingga Ogos lalu (497 kes).

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, aktiviti-aktiviti ‘haram’ yang menyebabkan pencemaran dan menjejaskan bekalan air negara perlu dihentikan segera.

“Sekiranya aktiviti ini berterusan berlaku sehingga lima hingga 10 tahun akan datang tak mustahil kita akan mengalami masalah bekalan air. Takkan kita mahu air minuman kita datang daripada air kumbahan yang sudah diproses, sebaiknya kita minum air sungai mahupun tasik.

“Saya juga ingin menyoal bagaimana aktiviti pembangunan yang berpotensi menyebabkan masalah pencemaran dibenarkan? Pihak berkuasa perlu siasat sama ada unsur tidak diingini, bawa mereka ke mereka ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, budaya tidak mengambil peduli tentang pencemaran ini sudah ‘liat’ berada dalam diri masyarakat.

“Budaya ini sudah menjadi amalan atau tabiat buruk sebilangan masyarakat kita, sepatutnya kita sudah mencapai kemerdekaan sekian lama patutnya kita kena buang amalan negatif ni dan ambil amalkan ‘bushido’ budaya samurai di Jepun yang menitikberatkan kebersihan serta disiplin.

“Kita perlu kenakan hukuman atau denda kepada individu-individu yang membuang sampah merata-rata sebab amalan itu sudah sampai ke tahap ini, kadang-kadang malu dengan pelancong dalam negara kita,” jelasnya.

Jelas beliau, bagaimanapun, kesalahan itu tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada masyarakat kerana terdapat sesetengah kawasan yang tidak mempunyai tempat untuk membuang sampah khas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×