Memang ada diskriminasi industri seni – Liyana Jasmay

Memang ada diskriminasi industri seni – Liyana Jasmay

LIYANA JASMAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JARANG sekali pelakon wanita hebat, Liyana Jasmay meluahkan kegusaran di dalam hatinya, terutama bersuara tentang industri seni. Mungkin dia lebih suka membuktikan sesuatu menerusi karya yang diterbitkan.

Namun, kali ini dia terbuka bercerita tentang diskriminasi terhadap wanita dalam industri seni. Mungkin dilihat remeh bagi segelintir pihak, namun baginya, kewujudan diskriminasi itu mencacatkan kelestarian industri hiburan tanah air.

“Kalau nak cakap diskriminasi terhadap wanita, di mana-mana industri atau sektor pun wujud. Selaku pemain industri, saya akui diskriminasi itu memang wujud. Kita sering berdepan isu seperti bodyshaming, itu tak cantik dan ini tak cantik.

“Mungkin ada yang anggap itu normal dan sebagai gurauan, tetapi tidak untuk saya. Orang luar mungkin boleh bercakap sesuka hati, itu hak mereka. Kita tidak boleh halang, tetapi boleh memberi kesedaran.

“Cuma, apa yang saya harapkan, sebagai penggerak industri seni, kita kena bersama dan menolak diskriminasi terhadap bukan sahaja wanita, tetapi lelaki juga. Biarlah kelestarian industri kita ini terjaga,” ujarnya.

KEGILAAN, KETERUJAAN

Sebagai seorang yang pernah melalui fasa diskriminasi itu, Liyana berkata, keinginannya untuk menjayakan sesuatu watak disekat lantaran tidak memenuhi syarat dan kriteria yang tidak masuk akal ditetapkan oleh segelintir penerbit.

“Ada watak yang saya mahu sangat, tetapi tidak dapat atas alasan terlalu muda. Ada yang beri alasan, tubuh saya begini, tidak sesuai. Kena berdada besar, kena seksi. Serba-serbi tidak cukup.

“Cuma, saya percaya kepada bakat dan kemampuan sendiri. Bila orang diskriminasi kita, apa yang boleh kita buat adalah bangkit. Jangan sesekali kita mengalah. Buktikan cinta terhadap seni lebih besar daripada itu,” katanya.

Membuka gelanggang bicara tentang filem baharunya, Cikgu vs Hantu, jelas terpancar keterujaan dari relung matanya. Kali pertama duduk di kerusi pengarah, Liyana akui, ia bukan tugas mudah.

Apatah lagi, dia sendiri mengakui, ‘kegilaan’ dan tenaga luar biasanya ketika mengarah mungkin tidak selari dengan kru serta pelakon terlibat. Namun, dia bersyukur, ada yang mampu mengikut rentak gilanya.

“Bila bekerja, saya memang suka letak expectation yang sangat tinggi. Saya suka buat benda lain daripada yang lain. Filem ini adalah satu progres untuk saya perlahan-lahan mencari mereka yang betul-betul boleh bekerja bersama.

“Saya memang ‘gila’. Ada yang kali pertama bekerjasama mungkin pelik, kenapa saya terlalu hyper. Tetapi, itulah Liyana Jasmay. Garang itu subjektif, tetapi saya mahu yang terbaik,” ujarnya.

Menariknya, Cikgu vs Hantu menyaksikan pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 ini mengarahkan guru dan ‘papa’nya dalam filem Papadom, Datuk Afdlin Shauki yang memegang watak Cikgu Daud.

Pastinya ramai tertanya-tanya, bagaimana dia mengarahkan seorang sutradara yang telah membuktikan kehebatan menerusi pelbagai kemenangan? Adakah rasa takut dan gerun menghantui dirinya?

“Takut? Tidaklah. Semasa proses menulis skrip, saya sudah bayangkan watak Cikgu Daud ini untuk abang Afdlin. Personaliti, karakter sehingga ke cara jalan, saya sudah bayangkan hanya dia yang layak.

“Percanggahan idea itu tidak ada. Dia menghormati saya sebagai pengarah. Cuma, dia banyak bertanya. Bagi saya, itu sesuatu yang bagus. Dia adalah guru saya. Bila dia tanya, saya kena jawab.

“Tiada istilah sentap. Bila seseorang yang hebat bertanya, kita kena berhati-hati menjawab. Saya membesar dalam industri dan jumpa ramai orang yang tidak lokek ilmu. Bersyukur sangat,” katanya.

Cikgu vs Hantu menyajikan jalan cerita yang berbeza. Menggabungkan genre seram dan komedi, filem tersebut bakal ditayangkan di Astro First bermula hari ini.

Filem itu membariskan pelakon hebat lain antaranya Khir Rahman, Che Puan Juliana Evans dan Zahiril Adzim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×