Pas pilih Bersatu dan UMNO walau dikata ‘macam-macam’

Pas pilih Bersatu dan UMNO walau dikata ‘macam-macam’

muktamar pas
IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Walau dicerca dan diperli dengan pelbagai kata-kata negatif, Pas tetap dengan keputusan memilih UMNO serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tanpa berhasrat meninggalkan salah satu daripada parti tersebut.

Naib Presiden Pas,  Datuk Idris Ahmad berkata, sehingga kini Pas tetap dengan naratif tersebut dan membiarkan rakyat membuat penilaian. 

“Ketika kita nak hadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kita tetapkan naratif yang dibawa iaitu ke arah penyatuan ummah. Pada masa ini kita tidak bercakap tentang masa depan saya, anda atau pimpinan parti yang ada di sini tetapi bercakap tentang masa depan politik anak cucu pada masa akan datang. 

“Kalau cakap tentang perebutan kuasa dan jawatan, maka apa akan terjadi kepada anak cucu kita di masa akan datang? Wartawan selalu bertanya, Pas nak pilih mana satu sama ada UMNO atau Bersatu? Jawapannya kami pilih kedua-duanya dan setakat ini, itulah naratif serta keputusan yang ada.

“Biar rakyat menilai dan walaupun orang nak cerca atau nak perli macam-macam sekali pun, kita tetap nyatakan soal perpaduan ini penting,” katanya ketika berucap pada Ijtimak Jentera Pilihan Raya Pas di Kompleks Pas Kedah, di sini, malam tadi.

Idris berkata, soal perpaduan cukup penting untuk diberi perhatian kerana perpecahan yang berlaku mungkin membawa kepada ulangan keputusan PRU14. 

“Kalau berlaku perpecahan dalam kalangan kita, adakah sudah terhantuk baru terngadah? Fikirkan tentang perkara itu kerana kita tak mahu ulangi apa yang terjadi dalam PRU14.  Bagaimanapun di pihak Pas, hari ini kita lancarkan jentera dan saya percaya, jentera kita telah pun melakukan tugas dalam setiap aspek di semua peringkat,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×