MARAN: Sebuah jambatan perlu dibina merentasi Sungai Pahang dari Kampung Lubuk Paku, dekat sini yang menghubungkan Kampung Kuala Wau di sempadan daerah Pekan bagi ‘menghidupkan’ kampung tradisi di situ yang hampir pupus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd. Sofian Abd. Jalil berkata, antara faktor kampung terbabit ditinggalkan penduduk asal dan generasi baharu adalah kerana masalah lokasi dan lojistik yang terpinggir dari arus pembangunan.
“Sebagai contoh Kampung Lubuk Paku ketinggalan dari segi pembangunan kerana lokasinya berada jauh daripada jalan utama Kuantan-Temerloh.
“Bagaimanapun, kampung itu berpotensi dibangunkan semula jika sebuah jambatan baharu dibina merentas Sungai Pahang dari Lubuk Paku ke Kampung Kuala Wau seberang sungai,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 10 kampung yang terletak antara Jambatan Paloh Inai dan Kampung Lubuk Paku sejauh kira-kira 50 kilometer di pesisir Sungai Pahang bakal pupus ekoran kehilangan tarikan ekonomi disebabkan penerokaan hutan dan perlombongan hingga menjejaskan ekosistem terutama di Tasik Chini.
Setakat ini sejak dari tahun 1960-an 15 buah kampung di kawasan terbabit telah disahkan lenyap daripada peta dan 10 buah lagi bakal menyusul jika kecenderungan generasi muda berpindah dan enggan bermastautin berterusan.
Mohd. Sofian berkata, cadangan pembinaan Jambatan Lubuk Paku disuarakan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dua tahun lalu.
“Jambatan Lubuk Paku akan menghubungkan kampung-kampung di Seberang Sungai Pahang dengan Bandar Maran dan laluan terdekat untuk ke Pekan dan ke Bera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Lubuk Paku, Jamaluddin Md. Amin, 58, berkata, sebuah jambatan diperlukan bagi memberi nilai tambah kepada nilai tanah sekali gus menarik generasi muda kembali menduduki kampung nenek moyang mereka.
Menurutnya, akibat kesukaran perhubungan dan kemudahan asas maka, tidak hairanlah beberapa kampung hampir pupus seperti Kampung Papai, Mentenang, Kampung Sungai Duri, Kampung Melayu, Kampung Kinchir dan Kampung Salong.
“Saya sangat teruja jika jambatan dapat dibina bagi mengembalikan kegemilangan Kampung Lubuk Paku di pinggir Sungai Pahang pada era 1950-an hingga 1970-an yang dahulunya sebuah pelabuhan darat penting sebagai pusat perdagangan dan hentian untuk ke daerah lain di negeri ini,” katanya.
Katanya, Kampung Lubuk Paku adalah pekan kecil yang menjadi tumpuan pedagang tempatan dan luar kerana terdapat pekan sehari seusia dengan pekan sehari Kuala Semantan, Temerloh tetapi kini sepi.
Ketua Kampung Senggora, Huzaimi Abd. Manan, 56, yang berjiran dengan Kampung Lubuk Paku pula berkata, jambatan dicadangkan itu dapat ‘menghidupkan’ juga bandar Maran.
Ini kerana ujarnya, penduduk di seberang Sungai Pahang seperti Kuala Wau, Pejing, Pesagi, Kampung Sungai Duri dan lain-lain lebih mudah berurusan di bandar Maran.
“Sebagai contoh bagi penduduk Kampung Kuala Wau jika mereka mahu berurusan penting di Pejabat Tanah dan Daerah Maran, mereka memerlukan lebih satu jam berbanding hanya 20 minit jika ada jambatan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengkaji Sejarah Pahang, Omar Azman Mohamad, 82, berpendapat, sudah sampai masanya kerajaan Pusat dan negeri mengkaji dengan serius sebuah jambatan menghubungkan kampung yang dipisahkan oleh Sungai Pahang.
Menurutnya, banyak manfaat diperoleh dari segi pembangunan dan sosioekonomi jika sebuah jambatan dapat dibina dalam tempoh terdekat kerana negara semakin maju tetapi kemudahan untuk rakyat masih di takuk lama. – UTUSAN










