PEKAN: Kesan pencemaran Tasik Chini, di sini menjejaskan pendapatan pemandu bot pelancong di perkampungan pesisir Sungai Pahang, yang satu waktu dahulu mendapat limpahan daripada sektor ekopelancongan tasik tersebut.
Seorang bekas pemandu bot pelancong yang ditemui di Kampung Belimbing, berhampiran Tasik Chini, Ridzwan Abdul Mubin, 50-an berkata, terdapat dua fasa limpahan ekonomi tasik itu dinikmati penduduk di perkampungan berkenaan.
“Pada 1986, ada sebuah persidangan antarabangsa iaitu Persidangan Tahunan Ke-35 PATA (Pacific Asia Travel Association). Waktu itu, Kampung Belimbing cukup meriah, ramai pelancong yang datang untuk naik bot dari jeti dan mudik ke Tasik Chini.
“Dari 1986 sehingga 1995, keadaan cukup baik bagi penduduk setempat. Dalam sehari, pemandu bot pelancong boleh dapat sehingga tiga trip dari Kampung Belimbing ke Tasik Chini.
“Namun pada 1995, sebuah empangan dibina di pangkal Sungai Chini. Pada waktu itu, ia dibina terlalu tinggi. Kesannya, tebing sungai mula runtuh, sebab itu bukan kawasan paya bakau, pokok-pokok hutan tidak boleh bertahan untuk terendam dalam air. Jadi, pokok-pokok mula tumbang. Maka berlaku mendapan sehingga mengakibatkan air tercemar, ikan-ikan mula kurang dan warna air sungai mulai keruh,” ujarnya.
Katanya, selepas itu empangan tersebut direndahkan semula dan pelancong khususnya luar negara kembali bertumpu ke Kampung Belimbing untuk mudik ke Tasik Chini.
“Sekitar tahun 2000 ke atas, ramai pelancong China datang, kadangkala dua hingga tiga bas sehari datang, ini sebelum 2010. Pelancong China, Singapura datang. Masa itu, Tasik Chini masih elok,” katanya.
Bagaimanapun, bermula sekitar 2015 pencemaran mula berlaku di tasik itu, dan kesannya dirasai oleh pengendali bot pelancong di Kampung Belimbing.
“Kemudian bila ada pokok ekor kucing di Tasik Chini, langsung dah kurang (pelancong). Yang ketara tiada pelancong, masuk 2015 ke atas paling kurang. Sebab jadi macam itu, ada yang kata promosi ke Tasik Chini kurang sangat, malah air tasik pun dah tercemar, pokok-pokok banyak tumbang. Mulai itu pokok ekor kucing dah ada.
“Bila hujan, air dari bukit sekitar tasik jadi merah. Maknanya, waktu itu mana-mana pelancong yang memang minat kepada Tasik Chini, mereka masih datang lagi, mana-mana yang pernah datang sebelum itu. Dari Jerman dan Perancis,” katanya.
Sejak 2015, dia berasakan bahawa sektor pelancongan di Tasik Chini mulai suram, sehingga pemandu bot di Kampung Belimbing tidak boleh cari makan dan keadaan menjadi lebih parah apabila resort di tasik tersebut mulai ditutup pada 2019.
“Selepas 2015, apabila pelancong berkurangan dengan mendadak, perasaan saya rasa malas nak bawa pelancong kalau tengok gaya macam itu. Tak padan dengan usaha, kadangkala dapat kadangkala tidak. Masa itu, dalam sebulan nak dapat sekali pelancong pun payah. Sampai sekarang, bila resort di Tasik Chini dah tutup sejak 2019, lagilah pelancong tak datang.
“Bila tak ada pelancong, saya buat kerja inilah, cari ikan. Tapi air dah tercemar, usaha lebih untuk dapat ikan. Pasang jaring, buat rawai dan menajur untuk menangkap ikan. Kena ada banyak cara nak cari ikan,” katanya.
Untuk rekod, Kampung Belimbing adalah perkampungan pesisir Sungai Pahang yang pernah menjadi pusat sosioekonomi setempat kerana mempunyai satu-satunya laluan sungai ke Tasik Chini melalui Sungai Chini yang berjarak 4.8 kilometer.
Semalam, akhbar ini melaporkan bahawa bahana kerosakan Tasik Chini memberi kesan kepada habitat di sekelilingnya termasuk hampir 10 perkampungan tradisional Melayu di sepanjang pesisir Sungai Pahang dalam daerah Pekan yang dikhuatiri pupus dan lenyap daripada peta Malaysia. – UTUSAN











