PETALING JAYA: Tiada kerjasama dan berkongsi kepakaran antara agensi-agensi penguatkuasaan dalam menangani ancaman siber menjadi kekangan utama Malaysia membanteras jenayah berkenaan yang semakin berleluasa.
Agensi-agensi terlibat ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Cyber Security Malaysia (CSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, masalah jenayah siber dapat dibanteras jika semua agensi yang terlibat berganding bahu dalam berkongsi kepakaran dan teknologi menangani jenayah tersebut.
“Kita tidak boleh meletakkan beban pada PDRM semata-mata kerana banyak lagi agensi bertanggungjawab untuk membanteras isu ini. Dalam menangani isu ini, semua pihak perlu bersama-sama, kita tidak boleh bergerak sendiri.
“Jika kita berkongsi kepakaran, maklumat dan teknologi sudah tentu perkara ini dapat ditangani,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Musa berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai kekurangan pakar serta teknologi lapuk termasuk perkakasan pihak penguatkuasaan ditakuk lama antara punca jenayah siber bermaharajalela sehinggakan tiada penyelesaian.
Dilaporkan
Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Datuk Ahmad Noordin Ismail dilaporkan berkata, mengikut data 2018, Unit Jenayah Siber dan Multimedia di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman ketika itu didakwa hanya mempunyai 75 pakar teknologi siber.
Oleh itu, Ahmad Noordin berkata, dalam situasi seperti itu hampir mustahil untuk agensi penguat kuasa kerajaan seperti polis bersaing dengan scammer yang bukan sahaja ramai malah memiliki teknologi canggih.
Selain itu, Musa berkata, PDRM sendiri perlu memperkuatkan jabatan komersial dengan menambah kekuatan anggota dan pegawai serta alat-alat berteknologi tinggi selari dengan ancaman jenayah siber yang semakin banyak.
Menurut beliau, anggota dan pegawai PDRM perlu dihantar menjalani kursus dan latihan bagi memantapkan pengetahuan tentang selok-belok penipuan siber dalam mengenal pasti modus operandi scammer yang berubah-ubah.
“Malah, institusi perbankan juga perlu meningkatkan keselamatan sistem mereka ekoran banyak kes-kes berkaitan duit simpanan tiba-tiba hilang dalam akaun.
“Jika didapati disebabkan kecuaian bank, pihak terbabit boleh diambil tindakan atau disaman pelanggan,” kata beliau.- UTUSAN










