Teknologi siber lapuk punca scammer menjadi-jadi - Utusan Malaysia

Teknologi siber lapuk punca scammer menjadi-jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Teknologi la­puk termasuk perkakasan pihak penguatkua­saan di­ta­kuk lama antara punca utama kes-kes jenayah siber terus bermaharajalela dan sehingga ini belum nampak jalan pe­nyelesaian.

Lebih menyedihkan, Malay­sia masih berdepan dengan ke­kurangan tenaga pakar untuk mengendalikan isu-isu ber­kai­tan jenayah siber.

Mengikut data 2018, Unit Jenayah Siber dan Multimedia di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman ketika itu didakwa hanya ada 75 pakar teknologi siber.

Kerenah birokrasi dalam ba­nyak perkara terutama melibatkan perolehan perkakasan ke­selamatan siber juga menye­babkan teknologi diguna pakai di sektor penguatkuasaan tidak berubah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), SAC (B) Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, dalam situasi ini, hampir mustahil untuk agensi pe­nguat kuasa kerajaan seper­ti polis bersaing dengan scammer yang bukan sa­haja ramai malah memiliki tek­­nologi lebih canggih.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman berkata, jika isu asas tersebut tidak dipeduli, polis akan berterusan menerima laporan orang ramai ditipu scammer.

Menunggu

“Daripada pengalaman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menunggu sekurang-kurangnya dua tahun sebelum satu-satu perolehan perkakasan dan sistem yang mengawal keselamatan siber diluluskan oleh kementerian dan seterusnya diterima.

“Kita terlampau banyak red tape bila mahu melaksanakan satu-satu perolehan membabitkan sistem atau perkakasan untuk mengawal ekosistem keselamatan siber.

“Contoh, katakanlah hari ini, ada satu agensi memerlukan satu sistem atau perkakasan berkaitan kese­lamatan siber RM5 juta. Untuk mendapatkan barangan itu, terpaksa tunggu satu, dua tahun. Itu maksudkan sebagai red tape.

“Bila tempoh menunggu itu lama sangat, sedar tak sedar teknologi semakin ke hadapan dan menjadi lebih kompleks. Sedangkan barang atau sistem yang dipesan itu sudah lama, sudah menjadi lapukkata beliau yang berpendapat teknologi dan kepakaran polis langsung tidak menakutkan scammer.

Kata beliau, sepanjang bertugas dalam PDRM sehingga tahun 2018, polis terpaksa mela­lui bermacam-macam tapisan di pelbagai peringkat agensi dan kementerian, sebelum satu-satu sistem itu diterima.

Memantau

“Katakan PDRM mahu membeli satu perkakasan atau sistem bagi memantau jenayah siber. Apa prosesnya? Pertama ia akan pergi kepada sistem dalam PDRM, akan ada me­syuarat tertinggi dan menganalisis, patutkah dibeli perkakasan ini? Kemudian apabila pihak tertinggi PDRM meluluskan, okey kita perlu ada. Katakanlah perkakasan itu bernilai RM10 juta.

“Kemudian perlu pula pergi kepada Unit Perancangan Ekonomi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Mereka akan duduk berbincang dan mereka putuskan bahawa perkakasan itu memang perlu ada. Jadi, usul pembelian itu akan balik semula kepada PDRM. Mereka kena siapkan kertas kerja pula.

“Kemudian, usul tersebut pergi ke peringkat KDN. Menteri akan duduk dan berbincang dengan pihak atasan kementerian, untuk menilai kepentingan perkakasan atau sistem itu terletak di nombor berapa,” katanya.

Selepas mesyuarat peringkat KDN, jelas Ahmad Noordin, permohonan tersebut perlu melalui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dan MAMPU pula akan duduk bermesyuarat dengan Jawatankuasa Pemantauan Projek ICT Sektor Awam (JPPI).
“Mereka akan berbincang untuk memantau, sama ada sistem atau perkakasan itu patut ada atau tidak.

“Kemudian balik semula ke KDN, balik semula ke PDRM. Jadi, memang panjang proses keseluruhannya. Paling cepat pun, dua tahun. Itu zaman saya, sekarang saya tak tahu, sebab saya pun sudah pencen empat tahun,” katanya.

Selain itu, dakwa beliau, PDRM berdepan cabaran kekurangan tenaga pakar bidang keselamatan siber, justeru menyarankan agar bilangannya ditambah bagi memenuhi keperluan yang semakin mendesak.

“Dalam jabatan saya dulu, iaitu Jenayah Siber dan Multimedia, di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, yang ada kepakaran mengenai teknikal hanya 75 orang.
Sekarang saya tak tahu jumlah pakar IT, tapi zaman saya dulu hanya ada 75 pegawai dan anggota jenayah siber,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×