PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetahui nasibnya hari ini dengan empat kemungkinan yang bakal ditentukan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuannya terhadap sabitan kes penyelewengan RM42 juta dana Syarikat SRC International Sdn. Bhd.
Antara kemungkinan yang boleh berlaku ialah:
1. Mahkamah Persekutuan boleh terus memutuskan untuk mengekalkan sabitan salahnya dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau;
2. Mahkamah memutuskan untuk mengekalkan sabitan salah Najib tetapi meminda hukuman penjara dan denda (tempoh pemenjaraan dan denda boleh ditambah atau dikurangkan) atau;
3. Mahkamah melepas dan membebaskan Najib daripada sabitan salah dan hukuman atau;
4. Menangguhkan keputusan rayuan akhir Najib ke satu tarikh lain.
Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun sejak dari awal kes perbicaraannya tetap mendakwa beliau dianiaya oleh musuh-musuh politiknya dengan penyebaran pelbagai fitnah dan tidak terlibat dengan sebarang keputusan untuk menyeleweng dana daripada syarikat tersebut.
Malah, dalam solat Isyak dan hajat bersama kira-kira 100 jemaah di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur, kelmarin, beliau turut membuat pengakuan bersumpah antaranya tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta itu datangnya daripada syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung.
“Sekiranya aku berdusta, di atas sumpah ku ini ya Allah, maka halallah laknat-Mu ke atas diriku. Sebaliknya, jika semua ini adalah fitnah yang telah dirancang oleh musuh-musuh politikku, maka ya Allah, aku memohon sesungguhnya kepada-Mu agar engkau laknatilah mereka dan orang-orang yang bersubahat serta bersekongkol dengan mereka,” katanya.
Sekiranya sabitan salah itu kekal, maka lenyaplah peluang Ahli Parlimen Pekan itu untuk bertanding pada Pilihan raya Umum Ke-15 (PRU15) dan hilang kelayakan untuk menjadi calon selama lima tahun selepas dibebaskan dari penjara.
Sementara itu, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Najib hilang keistimewaan sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pekan sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dan mengekalkan hukuman serta sabitan seperti diputuskan sebelum ini.
“Mahkamah Persekutuan tidak boleh menangguhkan sebarang hukuman dan sabitan meskipun pesalah ingin mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana badan kehakiman itu tidak terlibat dalam proses berkenaan.
“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya.
Daripada gelaran sebagai Bapa Transformasi Malaysia, Najib akan menempa sejarah sebagai Perdana Menteri pertama negara ini dimasukkan ke penjara atas kesalahan korupsi.
Andai kata beliau dibebaskan, maka Najib boleh menguar-uarkan bahawa dirinya adalah mangsa pendakwaan politik dan sememangnya tidak bersalah sejak dari mula lagi.
Pembebasan’ itu juga boleh membantu menaikkan kembali popularitinya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekali gus membantu parti politik itu dalam pilihan raya akan datang. – UTUSAN










