Usah terlampau rasa mahu menang - Aisha Retno - Utusan Malaysia

Usah terlampau rasa mahu menang – Aisha Retno

AISHA Retno
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA, hampir setiap minggu ketika Aisha Retno bertanding di pentas Big Stage musim keempat, kami banyak menjalin pertemuan secara tidak sengaja.

Beberapa kali berkesempatan menemu bual, dapat disimpulkan penyanyi berbakat besar ini amat mudah menguntumkan senyuman, walaupun kali pertama bersua dan bertegur sapa.

Jadi, apabila muncul dakwaan mengatakan dia sombong, hampir sahaja penulis tertawa kerana ia langsung tidak seiring dengan gambaran peribadi penyanyi ini secara realiti.

“Betulkah ada yang dakwa saya begitu?” tanya Aisha ringkas sebelum mula menyusun butir bicara lanjut.

Menganggap ia sebagai dakwaan yang lucu, Aisha mengaku tidak sedikit pun tersinggung.

“Semua orang bebas beri pendapat dan hadir dengan persepsi.Kalau ada yang menganggap saya ini sombong, biarlah. Mungkin dia tidak mengenali saya. Macam ayat yang biasa kita dengar, tak kenal maka tak cinta.

“Saya rasa, mungkin juga kerana saya memiliki raut wajah begini, maka orang fikir saya sombong. Tidak apalah, tidak kecil hati pun. Kalau boleh berjumpa dan lepak sekali, mungkin dari situ mereka boleh menilai sendiri,” katanya.

Tenang memberikan jawapan, Aisha juga membuka bicara mengenai sikap dengki sesetengah orang kita yang adakalanya sukar untuk dibuang jauh.

Malah, kalau mengaitkan unsur itu dengan laluan kerjaya seni sebagai artis atau selebriti, kata Aisha, ia tentunya wujud. Bahkan, sudah seakan lazim dek persaingan sesama sendiri demi memastikan ‘akulah nombor satu’.

“Sifat dengki-mendengki dalam industri, bagi saya, adalah senjata yang bahaya. Saya tidak mahu mengatakan tentang siapa sebab kalau tidak datang daripada orang lain, kita juga tidak mahu perasaan itu wujud dalam diri dan hati.

“Kalau ada sifat itu dalam diri, di situlah bahaya akan datang. Kita tidak tahu perasaan dengki itu akan ‘menyerang’ dari mana. Ia mungkin boleh datang daripada orang industri, netizen, artis atau mana-mana pihak.

“Tetapi, jika berlaku, apakah ia menjadi asbab untuk kita menghentikan apa yang sudah kita usahakan (kerjaya)? Apa pun, teruslah berjalan ke hadapan. Bagi saya, lebih manis, kalau kita balas keburukan itu dengan kejayaan,” katanya.

Kongsi gadis berusia 22 tahun ini, selama tiga tahun bertapak dalam industri seni, tentu sahaja dia pernah melalui pengalaman pahit mengaitkan perihal hasad dengki manusia.

“Tetapi, apa yang boleh saya katakan, lama-lama, diri sudah jadi lali. Bukan fatal, tapi ia fasa perasaan yang sudah boleh terima. Namun, tidak dinafikan, dulu ada juga rasa sedih bercampur anxiety.

“Tetapi, saya beruntung kerana ibu banyak berikan nasihat. Dia dulu merupakan penyanyi dan pernah melalui pengalaman sama.

Menginspirasi bukan menyaingi

Mengajaknya bercakap mengenai kelangsungan kerjaya seninya yang kini semakin menampakkan perkembangan positif, Aisha mengaku, terharu apabila dikatakan antara penyanyi generasi baharu yang mampu menjadi pelapis seperti Ernie Zakri dan Aina Abdul.

Dilihat memiliki vokal yang berpotensi dan mampu mengejar populariti yang diraih kedua-dua penyanyi hebat era baharu, Aisha berkata, sejak awal lagi telah menjadikan Ernie dan Aina sebagai sumber inspirasi.

“Kebetulan, kedua-duanya merupakan artis yang saya sangat kagumi. Baik Ernie mahupun Aina, kedua-duanya memberi semangat untuk saya jadi lebih baik dalam muzik. Saya juga banyak belajar dengan artis senior lain.

“Saya tengok bagaimana mereka boleh kekalkan momentum, cara pembawakan diri dan sebagainya. Kalau orang puji dan anggap saya boleh jadi pelapis mereka, tentunya saya berbangga.

“Cuma agak ‘seram’ sedikit apabila orang letak jangkaan tinggi. Ia sebenarnya cabaran buat diri ini.Tapi, tak mahulah fikir lebih-lebih. Anggap saja ia benda yang positif dan boleh jadi pembakar semangat saya,” ujarnya.

“Ia juga membuatkan saya banyak belajar. Anasir jahat yang datang ini sebenarnya mengajar saya jadi orang yang lebih matang,” katanya.

Turut meminati Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor, Aisha bagaimanapun menegaskan, menginspirasi bukan bermakna dia mahu menyaingi artis lain.

“Dari aspek perbendaharaan kata, ia sudah memberi makna yang berbeza. Menginspirasi bermakna kita lihat seseorang itu, kita rasa dia dan muziknya memberi impak terhadap kita.

“Menyaingi, dengar saja sudah dapat rasa aura yang bersifat kompetitif. Malah, mungkin terselit sifat dengki atau iri yang kemudiannya melahirkan suasana yang tidak sihat.

“Bagi saya, bukan tidak boleh bersaing, tetapi buatlah secara sihat. Kalau boleh, kita sebagai artis mahu mencipta suasana yang bagus dan saling menyokong. Ia membuatkan kita lebih bersemangat,” katanya.

Tambah Aisha, perasaan atau gejolak keinginan untuk selalu menang dalam apa jua situasi sebenarnya boleh membawa gambaran negatif.

Malah, impak negatif ada kalanya lebih menghimpit si empunya diri berbanding orang lain.

“Usahlah terlampau memasang impian hendak menang dalam apa juga keadaan. Ia sangat tidak sihat. Memanglah dalam dunia seni, masing-masing perlu bersaing.

“Tetapi, tengoklah atas landasan apa. Kalau kita tidak dapat capai apa yang disasarkan, kita akan murung dan kecewa, akhirnya putus asa untuk teruskan sesuatu perkara. Inilah yang saya tidak mahu terjadi pada diri.

“Selagi boleh, saya cuba elak perasaan seperti itu wujud sebab tidak mahu ia memakan diri,” katanya.

Eksperimental Aisha

Mengukir profil seni yang mengagumkan meskipun masih baharu, Aisha sebenarnya sangat gemar untuk bereksperimentasi dengan teknik vokal dan muzik yang dihasilkan.

Buktinya, lihat sahaja buah tangan terbarunya, Sutera yang dilancarkan awal bulan lalu.

Memiliki nuansa jiwa yang segar, lagu tersebut dihasilkan Aisha sebagai perkenalan buat pendengar dan peminat, bahawa dia tidak cuma boleh menyanyi lagu balada.

“Saya terinspirasi untuk bereksperimen dengan lagu ini setelah seringkali melakukan pelbagai percubaan baharu semasa berada di pentas Big Stage. Jadi, saya mahu hasilkan sesuatu yang boleh diingati semua orang.

“Biarpun ada yang kata, awal sangat untuk saya bereksperimen, tetapi sampai bila tidak mahu jadi berani? Lagipun, saya boleh menyanyi lagu berbeza genre. Tidak cuma balada semata-mata,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aisha juga sedar, tidak semua telinga pendengar mampu menerima muzik bernuansa baharu atau terlalu eksperimental kerana ia dianggap luar dari kebiasaan.

“Tetapi dari satu sudut, saya fikir, tidak mengapalah. Mana tahu, jika saya menjadi pemula dan selepas ini akan ada lebih ramai lagi yang terinspirasi dengan genre baharu dan segar.

“Ia menarik sebab memberikan suasana halwa telinga yang berbeza. Walaupun orang kata lagu kedengaran pelik, kita semarakkan seni kreatif dengan karya yang lebih bermutu dan segar,” katanya.

Aisha berkata, selain bidang nyanyian, penulisan lirik dan gubahan lagu, beberapa tawaran lain juga rancak diberikan kepadanya, terutama dalam bidang pengacaraan.

Pun begitu, mengaut kesemua keuntungan pada satu masa bukan sasaran utamanya memandangkan muzik tetap akan menjadi cintanya yang pertama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×