PASARAN teh berkembang secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini selaras dengan perubahan tingkah laku pengguna terhadap teh. Hari ini, penggemar teh lebih berminat dengan produk teh berkualiti tinggi yang memberi manfaat khususnya kepada kesihatan tubuh badan. Teh hijau dan teh hitam merupakan antara kegemaran ramai. Tidak dinafikan teh merupakan salah satu minuman yang digemari oleh rakyat Malaysia.
Menurut Statista pada 2021, teh merupakan minuman kedua tertinggi penggunaannya selepas kopi iaitu sebanyak 60.12 peratus. Trend terkini menunjukkan penggemar teh berminat dan lebih memilih kombinasi perisa yang berinovatif, punyai keaslian rasa dan penceritaan di sebalik sesuatu jenama.
Campuran teh dengan sumber semula jadi seperti halia, kunyit, jintan manis dan halba mendapat perhatian utama peminat teh dan terbaharu, teh campuran keju menjadi fenomena yang kian mengasyikkan dan sangat popular di Asia seperti Malaysia, Taiwan dan China.
Namun, bagi memenuhi permintaan teh yang kian memuncak di negara ini, tahukah anda bahawa kita merupakan pengimport terbesar dunia bagi produk teh dan China merupakan negara yang berjaya menjuarai pasaran teh di Malaysia?
Tanaman teh di Malaysia bermula sejak 1929 dengan penglibatan pelbagai syarikat bukan sahaja di tanah tinggi Cameron Highlands, malah di kawasan tanah rendah seperti di Selangor dan Johor. Terdapat juga kawasan tanaman bersaiz kecil di Sabah dan Sarawak. Sehingga kini, perindustrian teh di Malaysia menunjukkan perubahan yang tidak ketara ke atas pengeluaran dan perusahaan. Walaupun permintaan terhadap teh semakin meningkat, namun industrinya dilihat tidak mempunyai sebarang perubahan terutama dari segi pemprosesan dan pengeluaran.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan industri teh berkembang dengan kadar perlahan. Antaranya masih berintensifkan buruh dan kurang sambutan daripada pemain industri.
Penutupan syarikat-syarikat yang mengusahakan ladang teh di Pahang, Selangor dan Johor didorong oleh masalah untuk mendapatkan tenaga buruh. Majoriti buruh terlibat adalah warga asing. Rakyat tempatan terutama belia tidak berminat untuk menceburkan diri dalam industri perladangan yang memerlukan mereka berhujan panas. Jalan terbaik adalah mengupah warga asing yang menelan perbelanjaan besar untuk tujuan kemasukan mereka.
Selain itu, perubahan cuaca tidak terkawal seperti hujan dan panas yang ekstrem menyebabkan penurunan hasil pengeluaran teh bermula sekitar 1999.
MARDI
Kini, China merupakan negara yang mendominasi pasaran teh dunia bermula 2004. Menurut kajian oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), China berjaya mendahului India sebagai pengeluar teh terbesar dunia dengan menghasilkan sebanyak 2.79 juta tan metrik setahun pada 2019.
Peningkatan pengeluaran teh di China dipengaruhi oleh pertambahan keluasan penanaman daripada 1.29 juta hektar pada 2007 kepada 3.1 juta hektar (2019) menjadikannya pendominasi terbesar pengeluaran teh di dunia. Selain China, Malaysia turut mengimport teh dari Indonesia dan Vietnam.
Malaysia juga merupakan antara pengeluar teh dunia dan mengeksport ke beberapa destinasi utama seperti Singapura, Vietnam, Indonesia dan Thailand. Malaysia berada di kedudukan ke-25 dunia bagi pengeksport terbesar menjadikan teh sebagai produk ke-45 dieksport oleh negara pada 2019. Namun begitu, pengeluaran teh yang dihasilkan tidak mampu untuk menampung permintaan domestik yang kian meningkat.
Malaysia mengimport teh sebanyak RM718 juta, menduduki tangga ke-16 terbesar pengimport teh di dunia menjadikan teh sebagai produk ke-219 paling banyak diimport di Malaysia. China merupakan negara pengimport utama teh bagi Malaysia dengan jumlah RM504 juta, diikuti Indonesia (RM55.3 juta) dan Taiwan (RM22.65 juta).
Malaysia mengimport dua jenis teh utama iaitu teh hitam dan teh hijau bagi menampung permintaan domestik. Hubungan dagangan yang wujud antara Malaysia dan China melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) memudahkan proses import teh.
Permintaan terhadap teh dijangka terus meningkat kerana kesedaran tentang kesihatan yang diperoleh menjadikannya sebagai minuman utama dalam kalangan rakyat Malaysia. Pasaran teh di negara ini sememangnya terkenal sejak beberapa dekad dengan kepelbagaian pengenalan seperti pelancongan teh, pameran teh dan ekspo teh yang berlangsung sepanjang tahun.
Justeru, pasaran teh di Malaysia harus diberikan nafas baharu dari segi pengeluaran dan pemasaran bagi membolehkan industri tempatan berada setaraf dengan industri teh lain di dunia.
Pengenalan kepada teknologi terkini amat diperlukan bagi memudahkan proses pengeluaran teh terutama dari segi perladangan. Satu inovasi harus dilakukan bagi memudahkan proses penanaman, memetik daun teh dan membawanya ke pusat pengumpulan tanpa menggunakan tenaga buruh yang terlalu banyak. BRI yang wujud seharusnya dimanfaatkan dengan menjadikan China sebagai penanda aras dalam pengusahaan teh. Malaysia boleh mempelajari sistem mahupun teknologi yang digunakan oleh China sebagai negara pengeluar teh berjaya dan terbesar di dunia.
Namun begitu, perdagangan Malaysia-China ini harus dikekalkan bagi memastikan kelangsungan perdagangan terus berlaku untuk melengkapi permintaan produk terutama sumber makanan dan minuman di negara ini. – UTUSAN
DR. NUR Fatihah Shaari ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat.










