Jangan bergantung kajian Wanita BN sahaja - Utusan Malaysia

Jangan bergantung kajian Wanita BN sahaja

JENIRI AMIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak wajar hanya bergantung kepada laporan kajian sikap oleh Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) dalam menentukan pembubaran Parlimen.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir berkata, data lengkap mengenai pihak lawan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sepatutnya turut diambil daripada sumber-sumber rujukan lain.

“Bagaimana jika hasil kajian sikap Wanita tidak berpihak kepada BN? Apakah kerajaan akan menangguhkan PRU?

“Bagi saya itu bukan langkah tepat kerana PRU15 sudah tidak boleh ditangguhkan lagi dan perlu diselesaikan tahun ini susulan isu inflasi serta kos sara hidup yang dijangka lebih buruk pada 2023,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kelmarin, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen akan dilakukan sebaik sahaja kerajaan memperoleh laporan lengkap daripada Pergerakan Wanita BN yang menjalankan kajian sikap pengundi.

Mengulas kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tentang PRU15 akan diadakan tahun ini dan tidak sesuai dibuat pada tahun depan atas faktor ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat, Jeniri berkata, indikator keyakinan itu didorong oleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di samping kekecewaan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid dan Ismail Sabri selari agar PRU15 dibuat pada tahun ini.

“Bagaimanapun, Ahmad Zahid dilihat lebih berterus-terang mengenai waktu yang sesuai, Perdana Menteri pula nampak berlapik bagi menjaga hati sekutu dalam kerajaan Persekutuan iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×