TENTU ada yang masih ingat mengenai kontroversi seorang wanita menghambur kata-kata kesat terhadap juruwang di sebuah kedai 24 jam beberapa tahun lalu. Ketika kejadian, wanita itu membuat pengstriman langsung di media sosial miliknya.
Kandungan (content) itu berjaya menaikkan trafik di media sosial untuk menjual produk kecantikan. Tanpa mengendahkan etika dan pekerti, memburu rating menjadikan sesetengah pihak terbabas dan melanggar garis adab, moral dan susila.
Hal itu sebenarnya mala petaka baharu sedang berlaku dalam kegopohan mencipta kandungan media sosial. Segala yang berlaku dalam hidup dipertontonkan tanpa ada rasa malu dan segan. Puncanya untuk meningkatkan rating dan pengikut di media sosial.
Mungkin ada yang sukar mempercayai kewujudan kegilaan itu. Walaupun begitu, ini benar-benar berlaku akibat asakan untuk menjadi pempengaruh. Apabila mencapai tahap pempengaruh, ada nilai ringgit dan sen pada diri. Kebendaanlah yang menjadi titik akhirnya.
Ketika ini pempengaruh dibayar untuk menjayakan kempen pemasaran produk. Kalau dahulu pengeluar produk mengiklan di televisyen dan akhbar, kini beralih ke media sosial. Pempengaruh menjadi tarikan utama. Dianggarkan ketika ini ada tidak kurang 12,000 pempengaruh. Tahap yang paling tinggi adalah pempengaruh mega yang mempunyai sekurang-kurangnya sejuta pengikut di media sosial.
Kerjaya pempengaruh ini lahir daripada kadar penggunaan internet yang tinggi dalam kalangan masyarakat. Statistik terbaru pada Januari 2022 mencatatkan 29.55 juta pengguna internet atau 89.6 peratus daripada populasi penduduk yang terkini.
Daripada penembusan internet yang tinggi ini menyumbang pula pada peningkatan penggunaan media sosial. Facebook misalnya digunakan oleh 21.70 juta pengguna atau 65 peratus daripada populasi. Youtube (23.80 pengguna), Instagram (15.55 juta pengguna) dan Tik Tok (14.59 juta pengguna).
Walaupun begitu, untuk menjadi pempengaruh yang berjaya yakni mencipta kandungan bermanfaat, ada liku-liku tersendiri. Tidak semudah mendengar cerita perihal pempengaruh diberi bayaran tinggi di atas khidmat pemasarannya.
Ada lima tahap pempengaruh – nano, mikro, mid tier, makro dan mega yang paling tinggi. Banyak yang bercita-cita hendak menjadi pempengaruh, tetapi tidak mempunyai ilmu dan pengalaman.
Mereka pun meredah dan asal jadi kandungan sahaja. Walaupun begitu, untuk berjaya dalam bidang ini dan lain-lain juga memerlukan ilmu, pengalaman dan kemahiran sebagai sandaran. Tanpa aspek-aspek itu, kalau mencatat rating tinggi sekalipun, setakat untuk kaut keuntungan sahaja.
Ilmu yang akan membezakan antara seorang pempengaruh dengan yang lain. Berbeza antara yang hanya memburu rating dengan kandungan kosong dan yang memberikan manfaat kepada khalayak. Disebabkan tidak berilmu jugalah menjadi pemangkin lambakan pempengaruh tidak berkualiti.
Untuk itu ilmu, pengalaman dan pemikiran adalah sandaran utama selain peka dengan tata susila dan norma sosial. Sedar akan kewujudan garis-garis tertentu yang tidak boleh dilanggar di atas apa alasan sekalipun.

ARTIS
Sesetengah pihak melihat fenomena kegilaan menjadi pempengaruh ini ada persamaan dengan dunia artis. Tanggapan itu memang ada benarnya. Sebelum ini ada yang menganggap artis adalah kerjaya yang tidak memerlukan ilmu, cukup dengan wajah cantik dan banyak kisah sensasi.
Lantaran itu banyak yang tiba-tiba menjadi pelakon dan penyanyi. Dalam pada itu pula ada yang bernasib baik. Walaupun kualiti menyanyi atau berlakon ‘ke laut’ tetapi popular dan dibayar dengan mahal sekali. Maka yang segelintir inilah dijadikan hujah – tanpa ilmu pun boleh hidup mewah.
Hakikatnya, untuk menjadi sesuatu yang berkualiti tinggi mesti bersandarkan ilmu. Kemudian menggunakan pengalaman yang dikutip daripada penglibatan dalam sesuatu bidang. Apabila ilmu dan pengalaman bergabung, barulah ada potensi untuk memberikan sesuatu hasil berkualiti.
Apabila bercakap mengenai ilmu, tidak semestinya hanya diperoleh melalui pengajian secara formal di universiti. Ilmu dapat dikutip daripada penglibatan dengan individu berkualiti. Selebihnya berdaya fikir tinggi dan iltizam yang tidak mudah tewas oleh kilauan kebendaan.
Ketika ini hanya dengan sebuah telefon pintar, semua orang boleh mengatur langkah pertama menjadi pempengaruh. Wanita yang mengamuk di kedai 24 jam itu pun boleh jadi pempengaruh. Disebabkan banyak yang sekadar ikut-ikutan, maka semua benda yang melintas di depan mata dijadikan kandungan.
Kalau bernasib baik dapatlah sejuta pengikut dan ditabal pempengaruh mega. Walaupun begitu, perlu juga menerima hakikat bahawa pempengaruh mega di negara kita tidak sampai 100 daripada 12,000 orang semuanya. Cuba kira berapa peratusannya?
Di negara kita, kualiti pempengaruh jarang diambil endah. Pengeluar produk akan menggunakan populariti pempengaruh untuk memastikan kempen pemasaran dapat disebar luas. Tidak banyak pengeluar produk yang endah tentang kualiti pempengaruh.
Sama juga dengan artis. Walaupun kita mempunyai banyak artis, tetapi yang mempunyai ilmu dan pemikiran hanya segelintir. Artis berkualiti sangat prihatin terhadap kerjaya. Bagaimanapun yang tidak berkualiti hanya bercakap sekitar diri dan selebihnya sengaja mencipta kontroversi yang basi.
Kandungan dalam konteks media sosial sekarang adalah untuk aplikasi TikTok dan Facebook. Selebihnya menerusi Youtube. Maka tidak hairanah kalau semua perkara hendak dijadikan kandungan TikTok. Tahap paling melampau pernah ada upacara mengkafan jenazah pun dijadikan kandungan TikTok.
Pempengaruh diangkat daripada istilah ‘pengaruh.’ Pempengaruh adalah orang yang berpengaruh dan boleh mempengaruhi. Walaupun begitu, pempengaruh hanya mampu mempengaruh khalayak yang sama tahap pemikirannya. Pempengaruh tidak berkualiti hanya mempengaruhi golongan yang sama sepertinya.
Berbeza dengan pempengaruh berkualiti yang dapat mempengaruhi khalayak lebih tinggi kuasa membeli, status sosial dan pemikiran. Mereka memanfaatkan ilmu dan pengalaman dan sentiasa menjaga etika dalam mencipta kandungan. Seperti bezanya antara lalat dan lebah.
Oleh kerana itu, rating yakni jumlah pengikut bukanlah tanda aras seseorang pempengaruh. Kalau kualitinya rendah, maka khalayaknya hanya berlegar dalam kelompok sama. Ada banyak perbezaannya antara sejuta lalat menghurung selonggok sampah dengan hanya ratusan lebah mengerumuni bunga.
Sampah dan bunga, lalat dan lebah, jauh bezanya.-UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.











