Masa elemen utama rawat migrain - Utusan Malaysia

Masa elemen utama rawat migrain

Migrain lazimnya melibatkan sakit berdenyut yang menyakitkan pada kepala.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Migrain bukan hanyalah sakit kepala yang teruk. Serangan migrain lazimnya melibatkan sakit berdenyut yang menyakitkan pada sebelah kepala, kadang kala pada kedua-dua bahagian. Dan situasi itu boleh menjejaskan kehidupan seharian penghidapnya.

Pakar Perunding Neurologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Raymond Tan Yen Leong berkata, migrain merupakan gangguan saraf yang tidak bertanda yang berlaku disebabkan pelbagai simptom, seperti penglihatan kabur, loya dan muntah, peningkatan sensitiviti terhadap cahaya, bunyi serta bau.

Keadaan tidak menyenangkan itu boleh berlanjutan dalam tempoh empat hingga 72 jam.

“Ia boleh terjadi kepada lelaki, wanita dan kanak-kanak tetapi ia bukan gangguan peluang yang sama (equal opportunity disorder).

“Namun jika diperhatikan, sebahagian besar individu yang mengalami serangan migrain kronik merupakan wanita,” katanya.

Data Pejabat Kesihatan Wanita mendedahkan, wanita tiga kali ganda lebih cenderung mendapat migrain berbanding lelaki dan merupakan penyebab ketidakupayaan ke empat tertinggi pada wanita.

“Perbezaan antara lelaki dan wanita ini sebahagian besarnya disebabkan oleh perubahan hormon tertentu, iaitu estrogen yang membantu mengawal sistem reproduktif wanita dan mengawal bahan kimia dalam otak yang memberi kesan kepada sensasi sakit.

“Kebiasaannya, serangan migrain berterusan selama lebih 72 jam dan menyebabkan badan menjadi lemah dan kebal terhadap rawatan konvensional.

Sekiranya disertai dengan muntah yang berterusan, ia boleh menyebabkan dehidrasi dan masalah lain yang berkaitan, sehingga mungkin perlu dikejarkan ke hospital untuk dimasukkan cecair intravena dan diberikan ubat-ubatan,” katanya.

Wanita muda yang mengalami migrain terutamanya mereka yang merokok atau mengambil kontraseptif oral, mempunyai risiko lebih tinggi diserang strok dan dalam kes tertentu, boleh menyebabkan sawan.

Justeru katanya, wanita berisiko, dinasihatkan tidak merokok, sebaiknya memilih kaedah kontraseptif lain.

“Sekiranya memerlukan bantuan, jangan berlengah. Jika ingin merawat migrain, masa adalah segala-galanya.

“Membiarkan migrain berlanjutan terlalu lama sebelum menangani gejalanya atau mengambil langkah pencegahan boleh meningkatkan kekerapan ia menyerang dan menyebabkannya menjadi semakin teruk,” katanya.

Ketahui dan elakkan faktor yang boleh merangsang terjadinya migrain, rawat gejala dari awal, dan dapatkan ubatan atau terapi yang paling berkesan untuk melegakan kesakitan migrain.

Meredakan Kesakitan

Migrain merupakan gangguan yang boleh diubah suai dan penghidapnya mempunyai harapan untuk melegakan kesakitan dengan hanya melakukan beberapa perkara mudah.

Perkara paling utama yang perlu dilakukan pada permulaan migrain ialah menghentikan segala aktiviti dan berehat, sebaik-baiknya di dalam bilik atau kawasan yang sunyi dan bercahaya malap.

Pengambilan ubat analgesik seperti Paracetamol pada permulaan migrain biasanya dapat membantu mengawal kesakitan lebih awal.

Menyapu minyak angin pada bahagian kepala juga boleh mengurangkan kesakitan migrain akut, namun kaedah ini tidak digalakkan bagi wanita mengandung atau menyusukan bayi.

Pengambilan ubat-ubatan terbukti dapat merawat dan mencegah migrain.

Walau bagaimanapun, ia tidak dapat menghilangkan migrain sepenuhnya.

Sebaiknya, gabungan terapi atau ubatan perlu disertai dengan perubahan tingkah laku dan gaya hidup bagi meningkatkan kualiti kesihatan secara keseluruhan.

Kaedah ini merupakan cara paling berkesan untuk menangani serangan migrain.

Antara amalan gaya hidup sihat termasuklah pengambilan makanan berkhasiat, memastikan badan kekal hidrat, kerap melakukan senaman dan mendapat tidur yang cukup.

Anda juga boleh mendapatkan nasihat doktor mengenai pengambilan vitamin atau suplemen harian seperti vitamin B atau magnesium.

Walaupun serangan migrain tidak mengancam nyawa dan anggota badan, namun terdapat juga situasi yang mengundang komplikasi apabila ia berlaku.

Wanita Ramai Migrain

Sementara itu Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Sharmina Kamal, berkata penurunan tahap estrogen boleh menyumbang kepada peningkatan sakit kepala kronik atau migrain.

Pada usia kanak-kanak, migrain lebih kerap berlaku kepada golongan lelaki.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja estrogen mula bertindak balas, iaitu keadaan yang lebih lazim berlaku apabila wanita semakin meningkat usia, ia menjadi faktor menyumbang kepada sakit kepala yang lebih kerap dan dalam tempoh yang lama pada wanita berumur antara 20 hingga 45 tahun.

Seiring dengan perubahan hormon, katanya terdapat faktor dan situasi tertentu yang boleh mencetuskan migrain, termasuk kurang tidur atau terlalu banyak tidur, melangkau waktu makan, perubahan cuaca, serta pengambilan alkohol dan kafein.

Stres turut menyebabkan migrain menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kebanyakan wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×