Tanpa sedar minda, budaya kita ‘dijajah’

Tanpa sedar minda, budaya kita ‘dijajah’

PENJAJAHAN pada era ini bukan sahaja secara fizikal melalui peperangan dan pencerobohan, sebaliknya penjajahan minda, budaya dan gaya hidup yang melalaikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN Ogos dan September cukup sinonim dengan sambutan hari kemerdekaan negara dan Hari Malaysia atau lebih dikenali sebagai sambutan Bulan Kebangsaan. Antara tujuan utama kita merayakan dan memperingati semula detik-detik bersejarah bagi negara pada setiap tahun adalah untuk sama-sama memugar kembali dan menyegar semula semangat patriotisme atau keperluan untuk terus menanam rasa cintakan negara. Tuntasnya, setiap tahun kita diberi peluang untuk memperbaharui ikrar, aku janji dan tanggungjawab sebagai warganegara terhadap bumi bertuah ini.

Hakikatnya, antara persoalan sering diperdebatkan ialah apakah kayu ukur sebenar nilai patriotisme yang ada pada setiap warganegara? Misalnya, apakah cukup sekadar mengibarkan Jalur Gemilang baik di halaman rumah mahupun di pejabat sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan atau apakah cukup sekadar berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang? Tepuk dada tanya minda masing-masing.

Walaupun masing-masing mungkin ada cara tersendiri untuk menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada negara, namun secara prinsipnya kita perlu ada beberapa ciri khusus yang perlu dihayati dan diamalkan oleh setiap warganegara sebagai bukti penzahiran semangat patriotisme yang tulen, jujur dan ikhlas.

Antara ciri penting yang perlu dimiliki ialah semangat dan kesanggupan untuk terus mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Kita tidak boleh leka dan lalai serta beranggapan merdeka sekali akan kekal bebas selama-lamanya kerana mempertahankan kemerdekaan itu menjadi lebih sukar daripada memperolehnya.

Justeru, setiap generasi yang bersilih ganti perlu sedar dan berwaspada bahawa negara sentiasa terdedah kepada ancaman dari pelbagai sudut dan aspek. Misalnya, penjajahan pada era ini bukan sahaja secara fizikal melalui peperangan dan pencerobohan atau menggunakan kekuatan tentera dan senjata, sebaliknya banyak berlaku dalam keadaan tidak sedar melalui penjajahan minda, budaya dan gaya hidup yang boleh melalaikan kita sehingga pada akhirnya kedaulatan dan kebebasan dinikmati tergadai begitu sahaja.

Setiap seorang daripada kita juga perlu memiliki dan mengamalkan konsep tasamuh atau toleransi dalam kehidupan harian seperti dianjurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Keperluan utama di sini ialah amalan sikap dan budaya menghormati orang lain untuk melaksanakan hak-haknya sebagai seorang warganegara. Hakikatnya kita perlu sedar, sebagai sebuah negara majmuk berbilang agama dan bangsa, tunjang dan tonggak utama yang mendukung jambatan perpaduan ialah semangat toleransi atau bertolak ansur.

Kesanggupan untuk mengetepikan kepentingan peribadi atas semangat tasamuh pasti akan terus memperkasakan perpaduan nasional.

Hal ini sangat penting kerana tahap perpaduan pada ketika ini cukup membimbangkan apabila ada segelintir anggota masyarakat cuba bermain api dengan menyentuh isu-isu sensitif berkaitan agama dan bangsa. Provokasi yang dicetuskan serta tindak-tanduk tidak bertanggungjawab mula menggoncang jambatan perpaduan yang ada. Justeru, sudah ada keperluan untuk kita kembali memugarkan semangat perpaduan agar Keluarga Malaysia yang ada ini akan kekal teguh bersama bagi mengharungi segala cabaran mendatang sekali gus membina sebuah negara aman, selamat dan bersatu padu.

RASUAH

Pada masa sama, kita juga perlu mematuhi dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara yang berfungsi menjaga dan memelihara hak serta kepentingan setiap kelompok masyarakat secara adil dan saksama. Semangat patriotisme boleh diterjemahkan dengan cara tidak mempertikaikan apa yang terpateri kemas dalam perlembagaan khususnya perkara berkaitan agama, bangsa dan institusi diraja. Perlu diingat, apa yang terkandung dalam perlembagaan mencerminkan manifestasi pengorbanan dan semangat pengorbanan yang tertinggi oleh generasi terdahulu, maka tidak wajar ia dipertikai sebaliknya kita perlu berganding bahu mempertahankannya.

Selain itu, semangat patriotisme seseorang individu itu juga boleh diukur melalui nilai integriti dan amanah dimilikinya. Sebagai warganegara, kita sepatutnya menghayati dan mengamalkan nilai integriti dan amanah yang tinggi dalam setiap kerja dan aktiviti harian. Ironinya, kedua-dua nilai ini bukan sahaja mampu melahirkan warganegara bertanggungjawab dan jujur, malah boleh membantu membangunkan negara sekali gus merintis kesejahteraan rakyat.

Namun, malangnya pada ketika ini negara sedang berhadapan dengan masalah defisit integriti dan amanah cukup serius apabila semakin ramai individu yang diberikan kuasa, pangkat dan kedudukan untuk membantu rakyat dan memulihkan negara mula menyalahgunakan kedudukan demi kepentingan peribadi. Data rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang sering didedahkan oleh pihak berkuasa serta tangkapan dilakukan membuktikan keadaan cukup serius dan kritikal. Jujurnya, tindak tanduk individu seperti ini banyak membazirkan dana awam sehingga menjejaskan perancangan dan inisiatif yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan bagi memulihkan kehidupan rakyat. Jadi, jika benar kita sayangkan negara dan rakyat, perkasakanlah nilai integriti dan amanah dalam diri masing-masing.

Akhirnya, apa diharapkan ialah setiap seorang daripada kita khususnya golongan muda perlu memiliki nilai jati diri yang kental. Ciri ini sangat penting dalam usaha membina dan membangunkan Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan berdaya tahan untuk mengharungi cabaran mendatang. Misalnya, kita mahukan belia yang boleh mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara, menghayati dan mengamalkan kelima-lima prinsip Rukun Negara sebagai panduan hidup, memantapkan nilai hidup berpaksikan budaya Timur dan terus memperkasakan perpaduan antara kaum.

Kita tidak mahu anak muda yang menjadi harapan negara dan bangsa ini hanyut dalam dunia globalisasi sehingga lupa asal usul dan mudah terpengaruh dengan budaya luar yang kurang sihat. Ringkasnya, golongan belia tidak boleh menjadi hamba kepada budaya penjajahan baharu yang sedang dipelopori oleh anasir luar.

Gunakanlah kesempatan merayakan sambutan Bulan Kebangsaan ini untuk memugar kembali semangat patriotisme serta memperbaharui semula ikrar sebagai warganegara yang akan terus mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara atas semangat Keluarga Malaysia. Selamat menyambut Bulan Kebangsaan. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×