SESUATU yang tidak diduga boleh mendatangi seseorang tanpa mengira tempat dan ketika manakala tiada sebarang bantuan atau sumbangan paling berharga selain hadirnya pada saat yang amat diperlukan. Justeru, jangan remehkan sesiapa atau sebarang sumber walau sekecil mana bentuk atau saiznya.
Bayangkan, kereta yang sedang dipandu tiba-tiba mengalami masalah enjin atau terdapat gangguan teknikal lalu terpaksa tersadai di pinggir jalan di tengah hutan. Lebih meresahkan, ketika itu disertai keluarga manakala masa kejadian sekitar lewat senja ditambah hujan renyai-renyai membasahi bumi.
Bersyukurnya apabila di saat getir itu datang seorang pemuda dengan sebuah motosikal usang lalu berhenti dan melakukan sesuatu terhadap kerosakan dialami. Dengan rahmat Allah, dalam tempoh tidak berapa lama kereta itu dapat dihidupkan semula enjinnya dan dapat dipandu kembali menuju destinasi.
Demikian secebis kisah yang cukup ringan tetapi banyak pengajaran boleh dihuraikan. Di saat cemas dan memerlukan pertolongan, sumber atau orang yang boleh datang membantu tidak perlu lagi dilihat pada kelulusan akademiknya, kepetahan bercakapnya, ketampanan personalitinya atau kehebatan latar belakang keluarganya. Yang penting ialah kemampuannya untuk membantu dengan berkesan.
Juga dalam bidang politik, segala sumber adalah berharga. Menjadi pemimpin politik perlu ada pengikut dan penyokong. Jika tidak, mahu pimpin siapa?
Untuk mendapat penyokong, lebih-lebih lagi ketika menghadapi musim pilihan raya umum, liputan persahabatan, kenalan, pengaruh peribadi perlu diperluas dan disebarkan agar meresap ke segenap segmen dan sektor masyarakat. Pendekatannya biar secara jujur dan ikhlas. Makna ‘penyokong’ tidak hanya terbatas kepada orang yang ada di sekeliling seseorang.
Apa yang ingin diutarakan di sini bertolak daripada desas-desus masyarakat yang sering mempersoalkan, “Macam mana individu ini nak menawar diri menjadi calon, sedangkan berapa kerat saja masyarakat sekitar sini yang dia kenal atau sukakan?” Ada yang menambah, “Betullah, nak berkawan dengan kita pun keberatan, asyik dengan kelompok dia ajelah. Dah tu, kelibat ke masjid dan surau pun jarang ternampak.”
Ada risikonya juga apabila seseorang pemimpin itu hanya berkawan secara berkelompok atau geng. Jika ada dalam kalangan ahli kumpulan itu yang berkelakuan tidak baik, imej buruknya akan turut perpalit pada pemimpin berkenaan. Sementara kalau bersikap suka ‘pilih-pilih kawan’, nanti ada pihak yang menyimpan geram atau dendam. Untungnya tiada, ruginya tersimpan.
Jadi, ramaikanlah kawan, elak mencipta musuh dengan sesiapa. Ada juga situasi di mana masyarakat kurang senang dengan pemimpin yang hanya baik dan boleh didekati semasa dalam keadaan sukar dan memerlukan sokongan. Namun, apabila sudah berada di tempat yang selesa seperti memegang apa-apa jawatan, sikapnya mula berubah sehingga ada yang memperlihatkan tanggapan, “Sesiapa yang cuba mendekati dia tentu mahu meminta apa-apa.”
TIDAK BERHARGA
Dalam berpolitik, elak membuat masyarakat umum berasa serik untuk memberi sokongan. Sebaliknya, seseorang pemimpin yang dinamik perlu sentiasa di hati rakyat. Seelok-eloknya biarlah terlahir ungkapan, ‘Ada disenang, tiada dikenang.’
Dalam kalangan pesara kerajaan, swasta memiliki banyak pengalaman setidak-tidaknya dalam urusan tadbir urus dan hal ehwal negara. Ahli-ahli agama tentu boleh berkongsi pengetahuan tentang aspek keagamaan dalam bermasyarakat. Demikian juga anak-anak muda, mereka mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan rakan-rakan sebaya. Semua ini tentunya merupakan sumber yang berharga.
Berbalik kepada mesej daripada cerita tadi, seseorang tidak mampu menjangkakan di mana, bila atau dengan siapa mereka memerlukan bantuan dan pertolongan. Mungkin seseorang yang dipandang remeh dan ‘tidak berharga’ itu memiliki pengaruh yang bukan sedikit di belakangnya seperti ahli keluarga besar atau rakan sahabat yang ramai.
Kalau diikut trend semasa, ada yang mungkin berpengaruh dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp alumni semasa belajar, dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau ramai pengikut melalui kenalan maya (seperti Facebook).
Hal seperti ini lebih-lebih lagi perlu diambil kira oleh sesiapa yang sedang menjadi pemimpin dan masih bercita-cita bertanding untuk terus bergelar sebagai pemimpin. Oleh itu, hargailah segenap sumber yang ada jika mahu menjadi pemimpin yang tegar dan segar.
Islam menggalakkan amalan berbuat baik dengan sesiapa jua. Dalam Islam, berbuat baik itu sedekah. Dan sedekah itu berkat. Semestinya hidup mencari keberkatan. Jika demikian halnya, jagalah tutur kata, tingkah laku biar berhemah, santun budi dipuji, terpaut kasih terkenang di hati.
Kepada pemimpin, rakyat menyandar harapan, bergantung pertolongan untuk menyelesaikan permasalahan umum yang dihadapi. Layanilah keluhan mereka dengan baik, bukan dengan nada bersenda gurau, berbahasa kasar.
Di Kelantan misalnya, rakyat dahagakan bekalan air bersih dan persekitaran kemajuan yang melegakan semua. Tanamlah padi biar menjadi, tumbuhnya lalang tentulah malang. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










