PETALING JAYA: Ringgit dijangka mengukuh pada RM4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) berkata, pengukuhan nilai ringgit itu akan dipacu oleh asas ekonomi yang kukuh melalui permintaan dalam negara, sektor luar yang mantap dan peningkatan harga komoditi global.
Katanya, kadar pengangguran pula di landasan menurun sekitar 3.9 peratus pada Mei lalu daripada 4.5 peratus tempoh sama tahun sebelumnya, tinggi sedikit berbanding 3.4 peratus sebelum pandemik.
“Tekanan inflasi di Malaysia kekal stabil, antara lain disebabkan harga runcit bahan api yang dikawal dan bantuan subsidi lain.
“Di samping itu, kami mengunjurkan inflasi harga makanan yang sederhana pada separuh kedua 2022 di tengah-tengah peningkatan dalam bekalan makanan domestik,” katanya dalam nota penyelidikan, semalam.
Sementara itu, MIDF Research berkata, pengukuhan nilai ringgit tersebut dijangka membantu meringankan tekanan inflasi makanan.
Menurutnya, inflasi makanan negara meningkat sehingga lebih 6.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, peningkatan paling tinggi yang pernah direkodkan.
“Antara makanan yang mengalami inflasi adalah daging iaitu lebih 11.9 peratus berbanding tahun lalu, manakala inflasi buah-buahan dan sayur-sayuran mengalami peningkatan paling tinggi dalam empat tahun.
“Sebagai pengimport makanan, susut nilai ringgit berbanding dolar AS kira-kira 6 peratus dari tahun ke tahun pada Jun 2022 iaitu hampir kepada paras terendah lima tahun turut menyumbang kepada kenaikan inflasi makanan,” ujarnya.
Tambahnya, jangkaan penyambungan semula eksport bijirin melalui pelabuhan Laut Hitam Ukraine boleh mengurangkan tekanan inflasi makanan global dalam masa terdekat dengan inflasi makanan diunjurkan purata 4.5 peratus untuk 2022, naik kira-kira 1.5 peratus berbanding tahun lalu. – UTUSAN










