Bahaya puak pelampau agama - Utusan Malaysia

Bahaya puak pelampau agama

UNIVERSITI al-Azhar al-Syarif telah mengibarkan panji Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak berkurun lamanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bekas Mufti Mesir, Prof. Dr. Aliyy Jum’ah adalah antara ulama terkemuka peringkat dunia yang banyak mengetengahkan idea bernas. Namun kadang kalanya panas dalam memandu umat Islam terutama bagi mengelakkan mereka terjebak menyertai golongan pelampau dalam beragama sehingga agama Islam dilihat sebagai satu agama yang menakutkan dan begitu menyempitkan.

Antara karya beliau yang penting dihalusi dalam memahami ciri-ciri golongan pelampau agama adalah al-Mutasyaddidun Manhajuhum Wa Munaqosyah Ahamm Qodhoyahum (Golongan Pelampau; Manhaj Mereka Dan Kritikan Terhadap Isu-Isu Terpenting Mereka).

Karya ini menggariskan 17 isu utama yang telah dijadikan oleh golongan pelampau agama sebagai dasar utama mereka iaitu:

Pertama: Mensifatkan Allah Dengan Lokasi, Kedua: Mencemuh Golongan Asya’irah, Ketiga: Menolak Mazhab-Mazhab Fikah Yang Muktabar, Keempat: Memberikan Fatwa Tanpa Memiliki Keahlian Dalam Berfatwa, Kelima: Meluaskan Kefahaman Terhadap Erti Bidaah Sehingga Mereka Membidaahkan Kebanyakan Orang Islam.

Keenam: Mengharamkan Tawassul Dengan Rasulullah SAW Sehingga Tawassul Dianggap Syirik, Ketujuh: Mengharamkan Solat Di Masjid Yang Mempunyai Kubur, Kelapan: Menganggap Mengambil Keberkatan Daripada Tinggalan-Tinggalan Rasulullah SAW Dan Orang-Orang Soleh Adalah Syirik, Kesembilan: Mengharamkan Perayaan Maulidur Rasul Dengan Anggapan Bahawa Ia Adalah Bidaah.

Kesepuluh: Mengharamkan Ziarah Rasulullah SAW, Kubur Para Nabi Dan Orang-Orang Soleh, Kesebelas: Menuduh Orang Yang Bersumpah Dengan Nama Nabi Muhammad SAW Sebagai Syirik, Kedua Belas:

Menghukum Kedua Ayah Bonda Rasulullah SAW Sebagai Ahli Neraka, Ketiga Belas: Menolak Bahawa Si Mati Menyedari Kedatangan Orang Yang Menziarahi Pusaranya, Keempat Belas: Menolak Kebanyakan Zikir-Zikir Dan Wirid-Wirid.

Kelima Belas: Menganggap Bahawa Menggunakan Tasbih Adalah Bidaah, Keenam Belas: Berbeza Dari Sudut Pakaian dan Ketujuh Belas: Merasakan Bahawa Para Penceramah Layak Untuk Menjawab Hukum-Hakam.

Siapa Golongan Salafi
Menurut Prof. Dr. Aliyy, kalimah salaf dari sudut istilah para ulama merujuk kepada golongan terdahulu yang hidup pada tiga kurun terawal umat Islam iaitu golongan sahabat, golongan tabiin dan tabi tabien.

Istilah ini berasaskan hadis daripada Abdullah (Mas’ud), daripada Nabi SAW, baginda bersabda: Sebaik-baik kurun adalah kurunku. Kemudian (golongan) yang datang selepas mereka. Kemudian (golongan) yang datang selepas mereka. Kemudian akan datang kumpulan-kumpulan yang penyaksian salah seorang daripada mereka akan mendahului sumpah mereka dan sumpah mereka akan mendahului penyaksian mereka. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun istilah salaf akhirnya dirosakkan dengan penggunaan istilah salafi (pengikut salaf) yang hanya merujuk kepada satu kumpulan yang mendakwa merekalah satu-satunya pengikut salaf yang sebenar.

Akhirnya golongan ini membidaahkan ramai ulama muktabar dengan alasan pegangan para ulama tersebut berbeza dengan pandangan golongan yang mendakwa mereka adalah salafi.

Menurut Prof. Dr. Aliyy lagi, salafi pada hakikatnya adalah orang yang berpegang dengan kaedah dan prinsip pemikiran golongan salaf dan bukannya berpegang dengan hukum fikah yang dipegang oleh golongan salaf. Ini kerana jika kita meneliti pandangan fikah yang dipegang oleh para sahabat, tabiin dan tabi tabien, kita akan temui kepelbagaian pandangan fikah dan kepelbagaian persoalan cabang dalam ilmu akidah.

Berdasarkan pengertian sebenar kalimah salafi, membolehkan kita katakan masyarakat muslim yang berpegang dengan mazhab-mazhab fikah yang muktabar sekalipun berlaku perbezaan pandangan fikah sesama mereka adalah salafi.

Bahaya Pemikiran Golongan Pelampau
Prof. Dr. Aliyy menggariskan tiga bahaya yang akan terjadi apabila pemikiran golongan pelampau berjaya meresapi masyarakat Islam seperti berikut:

Pertama: Dunia seluruhnya akan membenci orang Islam. Ini akan mengakibatkan penentangan demi penentangan terhadap umat Islam dan agamanya.

Kedua: Berlaku tindakan balas umat Islam terhadap penentangan dunia kepada mereka. Penentangan dalam bentuk tindak balas ini akan berlaku dalam dua bentuk; membunuh orang yang tidak beragama Islam dan membunuh orang yang murtad yang fasik.

Membunuh mereka yang tidak beragama Islam di sisi golongan pelampau bererti membunuh sesiapa sahaja yang tidak mengucapkan dua kalimah syahadah manakala membunuh orang yang murtad bererti membunuh sesiapa sahaja yang mengucapkan dua kalimah syahadah tetapi mempunyai pemikiran yang bersalahan dengan pegangan puak pelampau.

Ketiga: Pemikiran golongan pelampau akan membawa pengikutnya untuk tidak bersependapat dengan pandangan umum masyarakat Islam. Mereka akan membebaskan diri daripada terikat dengan institusi lalu. Akhirnya mereka mempunyai tindakan tersendiri dan akan mengasingkan diri daripada cita-cita umat.

Lalu mereka sentiasa berasa pihak lain mengintai peluang untuk membahayakan mereka sehingga segala yang berlaku dianggap sebagai konspirasi untuk melenyapkan mereka.

Menurut Prof. Dr. Aliyy di dalam kitab al-Mutasyaddidun; masanya sudah tiba untuk kita sama-sama membenteras pemikiran ekstrem dalam beragama dengan cara kembali kepada manhaj yang dibawa oleh institusi al-Azhar al-Syarif yang telah mengibarkan panji Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sejak berkurun lamanya.

Mereka yang berpegang dengan akidah ASWJ akan mengiktiraf seluruh para sahabat tidak seperti Syiah yang hanya mengiktiraf Saidina Ali dan beberapa yang lain sebagai sahabat Rasulullah SAW.
Maka dari sudut akidah, al-Azhar membawa masyarakat Muslim kepada akidah yang diimani oleh majoriti umat Islam iaitu akidah al-Asy’ariyyah.

Al-Azhar juga mengajar masyarakat agar berpegang dengan mazhab-mazhab fikah aliran ASWJ iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali dalam masa yang sama al-Azhar turut mendidik umat agar tidak menolak ijtihad fikah oleh individu tertentu atau institusi tertentu yang berkelayakan mengeluarkan pandangan fikah.

————
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×