Cari lelaki boleh pegang tanggungjawab, beri ketenangan - Kaka Azraff - Utusan Malaysia

Cari lelaki boleh pegang tanggungjawab, beri ketenangan – Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengalaman lalu membuatkan penyanyi, Kaka Azraff, menasihati  kaum wanita agar memilih lelaki yang bertanggungjawab untuk dijadikan calon suami berbanding rupa fizikal semata-mata.

Menerusi perkongsian dalam podcast ChatterBox Trio, Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff menyifatkan fasa perkahwinan jauh berbeza dengan fasa bercinta yang selalunya hanya memperlihatkan sisi manis seseorang lelaki.

“Tolonglah cari lelaki yang awak boleh nampak dia boleh pegang tanggungjawab. Dalam perkahwinan, ia sangat berbeza dengan fasa bercinta yang mana anda mungkin nampak betapa ‘charming’, ‘gentleman’ atau manisnya dia.

“Dalam perkahwinan, itu semua hanyalah ‘kotak kecil’ sahaja. Perkara paling besar adalah tanggungjawab kepada Tuhan dan tanggungjawab kepada awak yang dia mahu ambil masuk ke dalam hidupnya,” katanya menerusi program audiosiar tersebut.

Mengulas lanjut, Kaka menjelaskan bahawa cara seseorang lelaki melayani ahli keluarganya sendiri merupakan petunjuk utama bagaimana dia akan melayani isterinya kelak.

Katanya, jika seorang lelaki itu mempunyai hubungan yang dingin dengan ibu bapa atau adik-beradik, tidak mustahil perkara yang sama akan berlaku dalam rumah tangga yang dibina.

“Kalau dia jauh daripada keluarga dan adik-beradik, dia akan jauh juga daripada awak sebab dia selalu berada dalam dunianya sendiri.

“Tetapi jika awak nampak dia ambil berat tentang keluarga, emak dan adik-beradik, maksudnya dia akan prihatin tentang awak kerana itulah jati diri dia. Selain itu, lelaki itu perlu ada empati dan kecerdasan emosi yang tinggi,” jelasnya lagi.

Menyentuh mengenai pengalamannya yang pernah melalui fasa perceraian sebelum ini, penyanyi Bukan Hal Aku itu mengakui kini lebih matang dalam menilai erti kebahagiaan.

Menurut Kaka, faktor fizikal bukan lagi menjadi keutamaan dalam memilih pasangan kerana rupa paras tidak mampu menjamin ketenangan jiwa dalam jangka masa panjang.

“Sebagai orang yang pernah melalui fasa perceraian, janganlah putus asa dengan cinta. Cinta itu sebenarnya ada, cuma mungkin belum jumpa lagi.

“Berdasarkan pengalaman, rupa tak menjamin kebahagiaan dan ia tidak membuatkan hati awak rasa tenang. Kebahagiaan mungkin datang dan pergi, tetapi ketenangan itu akan kekal selamanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kaka tidak bersetuju mentaliti lapuk yang menyerahkan segala urusan rumah kepada isteri perlu dihentikan demi kesejahteraan mental keluarga dan anak-anak.

“Lelaki kena buat kerja juga dan bantu kita. Saya tidak suka mentaliti lelaki tidak buat apa-apa dan isteri sahaja yang uruskan semua.

“Sebab itulah mak-mak kita dahulu menjadi ‘bitter’ (pahit hati) dan melepaskan kemarahan kepada anak-anak kerana mereka menanggung semua beban itu seorang diri. Kita kena hentikan perkara ini kerana mahukan masa depan yang lebih baik dari segi mental, emosi dan fizikal,” pesannya.

Untuk rekod,, Kaka dan Adam pernah bercerai pada 28 Oktober 2024 sebelum mengambil keputusan untuk rujuk semula pada awal tahun 2025. Bagaimanapun perceraian kali kedua berlaku pada 4 Jun lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aslan, 7, Aryan, 5, dan Atta Adam yang kini berusia dua tahun. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×