Pentas pertandingan mungkin sudah melabuhkan tirai. Namun bagi duo adik-beradik, Adam Nazmie, perjalanan sebenar mereka dalam industri seni baru sahaja bermula selepas dinobatkan sebagai Naib Juara Big Stage Rocketfuel, baru-baru ini.
Kejayaan tersebut bukan sekadar melonjakkan nama mereka, malah menjadi titik permulaan kepada fasa baharu yang menuntut persediaan lebih rapi untuk berhadapan dengan realiti industri yang tidak pernah ketandusan bakat baharu.
Bagi Adam Malek dan Nazmie Malek, peningkatan perhatian yang diterima selepas pertandingan itu hadir bersama tanggungjawab untuk membuktikan mereka bukan sekadar produk program realiti, sebaliknya mempunyai kemampuan untuk membina perjalanan seni dalam tempoh panjang.
“Alhamdulillah, kami merupakan duo adik-beradik yang sedang aktif dalam industri ketika ini. Bagaimanapun kami tetap ada kerisauan.
“Mungkin tahun ini boleh dikatakan tahun kami sebagai duo adik-beradik. Tetapi kita tidak tahu, mungkin rancangan realiti akan datang mengetengahkan pula bakat duo yang lain.
“Sebab itu, kami perlu bermula dari sekarang untuk memastikan diri terus konsisten dan relevan. Apa sahaja peluang yang datang, kami perlu manfaatkan sebaik mungkin,” kata Adam.
Bagi memastikan mereka tidak tenggelam selepas pertandingan, penyanyi lagu Terus Terang itu mahu menggunakan media sosial secara lebih terancang untuk membentuk identiti mereka sebagai penyanyi.
“Kami mahu orang mengenali Adam Nazmie sebagai penyanyi. Walaupun kami menghasilkan pelbagai kandungan di media sosial, selepas ini kami mahu lebih banyak menghasilkan kandungan berbentuk nyanyian dan cover. Kami mahu lebih menonjolkan sisi artistik kerana mungkin masih ada yang belum mengenali kami walaupun kami datang daripada Big Stage,” kata Nazmie.

Tambah Nazmie, dia dan abangnya turut terbuka untuk menceburi cabang seni selain bidang nyanyian andai ada pihak yang mempelawa demi mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri hiburan tanah air.
“Bagi saya, saya tidak kisah. Tetapi keutamaan tetap kepada nyanyian. Kami berdua sudah berjanji kerana orang mengenali kami sebagai duo. Sayang kalau selepas ini saya bergerak solo.
“Tetapi kalau ada peluang menjadi pengacara, saya juga berminat ke arah itu. Kalau diberikan peluang, saya akan ambil cabaran tersebut,” jelasnya.
Dalam mengejar impian, Adam dan Nazmie sedar populariti bukan jaminan untuk bertahan lama, sebaliknya disiplin, sikap serta kesungguhan menghasilkan karya menjadi ukuran sebenar kelangsungan seseorang anak seni.
Justeru, Nazmie memilih untuk berpegang kepada prinsip tidak mudah berpuas hati meskipun mereka kini berada pada fasa yang baik selepas berjaya menjejakkan kaki ke dalam industri muzik tanah air.
“Prinsip saya adalah jangan pernah berpuas hati dalam berkarya dan jangan sesekali berputus asa. Walaupun ketika ini kita berada di atas, jangan terlalu cepat berasa selesa kerana roda sentiasa berputar.
“Kalau terlalu awal berpuas hati, kita akan hilang keinginan untuk mencapai sesuatu yang lebih besar. Sebab itu, kami mahu terus konsisten dan sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri,” jelas Nazmie.
Adam pula memilih sikap merendah diri sebagai pegangan utama, selain sentiasa mengingati pesanan keluarga agar tidak berubah hanya kerana mula mengecap populariti.
“Prinsip saya, jangan berputus asa dan jangan meninggi diri. Walaupun berada di atas, kita perlu sentiasa merendah diri. Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
“Ibu juga sentiasa berpesan supaya jangan lupa kawan-kawan, jangan lupa keluarga dan jangan sombong. Itu nasihat yang sentiasa kami pegang sampai sekarang,” ujarnya.










