Menjelang pertengahan Jun lepas masyarakat pengguna di negara ini berada dalam keluh kesah yang panjang. Malah sebahagiannya agak panik. Semuanya berpunca daripada kenaikan harga barang yang mendadak dan ketara susulan pelbagai sebab; daripada kesan kenaikan gaji minimum, krisis politik Russia-Ukraine, ketidaktentuan ekonomi pasca pandemik, gangguan produktiviti sehinggalah kepada kenaikan harga komoditi.
Dalam keadaan itu inflasi menjadi sesuatu yang tidak dapat dielak. Baunya berada di mana-mana, di hampir setiap penjuru dunia. Malaysia tidak terkecuali.
Paling terasa beban kenaikan pada masa itu adalah harga ayam dan telur ayam. Bayangkan harga ayam proses standard tiba-tiba sahaja dijual sehingga RM12 sekilogram. Malah ada tempat-tempat tertentu yang dijual lebih mahal daripada itu.
Menambahkan garam ke atas luka adalah harga minyak masak sawit. Bagi memastikan subsidi benar-benar dapat dinikmati oleh golongan yang disasarkan kerajaan mengambil langkah menghapuskan subsidi ke atas minyak masak jenis itu bagi kemasan botol 2kg, 3kg dan 5kg, manakala subsidi bagi minyak paket masak diteruskan. Bagaimanapun ada golongan peniaga mengambil kesempatan.
Caranya berbagai, antaranya menghilangkan minyak paket dari pasaran sehingga menyebabkan pengguna terpaksa membeli minyak kemasan botol yang dijual dengan harga lebih tinggi daripada sepatutnya. Pada masa sama, ada penjual menjadikan minyak masak paket barang umpama ‘barang tebusan’; untuk membelinya anda perlu membeli barangan lain terlebih dahulu. Selain itu, pada masa sama berleluasa pula kegiatan menyeludup minyak paket bersubsidi ke negara jiran.
Kesimpulannya, hampir tidak ada berita manis ketika itu. Salah satu berita tidak manisnya adalah apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.4 pada Jun 2022 berbanding 123.2 pada Jun 2021, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 sebanyak 1.9 peratus.
Tetapi kerajaan tidak berdiam diri. Perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri bekerja keras bagi memastikan inflasi tidak menjadi beban baharu yang perlu digalas oleh Keluarga Malaysia yang baru sahaja terlepas keluar dari rahang Covid-19. Pelbagai langkah diambil termasuk mengarahkan supaya eksport ayam dihentikan selain mengumumkan dana tambahan RM630 juta kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang akan memanfaatkan seramai 8.6 juta rakyat bagi mengurangkan sebahagian beban dalam membeli barangan keperluan bulanan.
Satu langkah lain yang tidak kurang besarnya, dan terbukti keberkesanannya kini adalah penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diumumkan oleh Ismail Sabri pada 29 Jun 2022.
Objektif penubuhannya jelas, mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi sehinggalah kepada mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien.
Pasukan yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa itu turut dianggotai oleh pelbagai menteri berkaitan. Tentu ramai yang masih ingat bagaimana penubuhan pasukan khas jihad itu disambut sinis oleh sesetengah pihak. Yang meletakkan politik di depan segala-galanya melihat ia tidak lebih daripada gimik kerajaan untuk mengalihkan rakyat daripada isu sebenar; inflasi.
Tidak kurang yang mempertikaikan fungsinya yang kononnya akan bertindan-tindih dengan Majlis Tindakan Ekonomi dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, kedua-duanya dipengerusikan Perdana Menteri serta Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mujurnya kerajaan tidak membuang masa melayan burung tukang-burung tukang yang hanya pandai berbunyi itu. Mujurnya juga pasukan jihad yang diketuai Annuar tidak beralih fokus. Sebaik ditubuhkan pasukan itu terus melakukan apa yang sepatutnya; bertindak.
Pasukan itu bermesyuarat dua kali seminggu; setiap Isnin dan Khamis. Hasil mesyuarat disampaikan kepada media setiap kali ia berakhir. Kaedah komunikasi pantas ini membolehkan maklumat disalurkan terus kepada rakyat dan ia ternyata berjaya membetulkan banyak kecelaruan sekali gus memberi kelegaan kepada masyarakat pengguna.
Pendekatan merentas kementerian yang digunakan oleh pasukan jihad itu juga memberi impak luar biasa. Ia tidak sekadar membolehkan langkah memperkasa mana yang patut, memperbaiki mana yang perlu diambil, tetapi juga memberi ruang kepada pasukan tersebut memainkan peranan mencari penyelesaian di peringkat akar umbi termasuk mengenal pasti punca kenaikan harga barang tertentu yang melampaui batas munasabah.
Turut mendapat perhatian umum adalah pendekatan turun padang yang diambil oleh pasukan jihad itu. Kesediaan pasukan tersebut berada di tempat di mana berlakunya masalah sudah tentulah melegakan pengguna. Ia tidak hanya dapat mewujudkan kerjasama rapat antara pihak berkuasa dengan masyarakat, dan menyediakan ruang kepada pengguna untuk membuat aduan dan memberi pandangan, tetapi juga menyempitkan ruang dan peluang peniaga-peniaga tamak yang selama ini menangguk di air keruh.
Kerja keras pasukan yang diketuai Annuar itu dapat dilihat daripada jumlah pemeriksaan yang melibatkan minyak masak kelapa sawit yang dijalankan dari 1 hingga 15 Julai lalu. Sepanjang tempoh 15 hari itu sebanyak 9,493 pemeriksaan telah diadakan di 3,316 premis dengan nilai sitaan berjumlah RM2.1 juta. Satu jumlah yang bukan kecil.
Hasil kerja keras itulah harga ayam dan telur ayam yang sebelumnya menjadi masalah besar berjaya distabilkan dalam tempoh singkat.
Jika sebulan lalu ayam proses standard dijual pada harga siling RM9.40 sekilogram – dan ada peniaga mengenakan pula upah potong sehingga RM0.80/kg bagi menambahkan untung – kini ayam proses standard boleh dibeli dengan harga antara RM6.90/kg – RM8.50/kg, bergantung pada tempat di mana anda membelinya.
Apa yang lebih menarik adalah pasukan jihad itu telah berjaya meletakkan harga minyak masak kelapa sawit kemasan botol pada harga sepatutnya selepas sekian lama ia dimanipulasi oleh peniaga-peniaga yang tamakkan laba.
Pada 18 Julai lepas, Annuar dalam satu kenyataan berkata, pasukannya menyasarkan harga minyak minyak masak diturunkan 10 peratus lebih rendah daripada harga yang dijual pada masa itu dalam tempoh dua minggu susulan penurunan harga minyak sawit.
Ternyata perkara itu menjadi kenyataan kerana mulai 8 Ogos ini kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga siling minyak sawit botol lima kilogram adalah RM34.70 di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan yang dahulunya mendapat harga yang lebih tinggi berbanding harga di Semenanjung.
Kita percaya iltizam pasukan itu akan membolehkan kita mendengar lebih banyak berita baik selepas ini. Dan sebagai pengguna, membantu mereka sepatutnya kita jadikan kewajipan kerana jihad mereka adalah untuk faedah kita bersama.
Datuk Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Komunikasi dan Multimedia.











