Bangkit semula asabiyah orang Melayu

Bangkit semula asabiyah orang Melayu

PADA pandangan penulis, filem Mat Kilau berjaya membangkitkan semula semangat orang Melayu. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK ditayangkan di pawangan pada 24 Jun lalu, filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof telah membangkitkan semangat yang boleh dikatakan luar biasa dalam kalangan orang Melayu. Filem berunsur sejarah yang turut digarap dengan unsur fiksyen ini mengisahkan perjuangan seorang tokoh pahlawan Melayu berjuang menentang campur tangan British di Pahang.

Filem penuh aksi persilatan ini dibintangi barisan pelakon handalan seperti Datuk Adi Putra yang memegang watak Mat Kilau, Fattah Amin sebagai Awang dan Beto Kushairy sebagai Wahid. Pelakon-pelakon handalan lain seperti Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan dan Namron yang masing-masing memegang peranan watak pembesar Melayu turut menjadikan filem Mat Kilau menarik untuk ditonton. Tidak dinafikan kehadiran pelakon aksi terkenal dari Indonesia, Yayan Ruhiyan sebagai watak antagonis turut menjadikan filem ini disukai ramai.

Saya tidak berhasrat mengulas keseluruhan filem arahan Syamsul Yusof itu, sebaliknya ingin mengulas kesan filem Mat Kilau yang dilihat berjaya membangkitkan semangat orang Melayu untuk kembali melihat sejarah perjuangan tokoh-tokoh pejuang bangsanya suatu ketika dahulu, khususnya pada zaman penjajahan British yang telah membangkitkan semboyan jihad fi sabilillah di beberapa negeri Melayu seperti Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu serta Naning di Negeri Sembilan.

Impak Mat Kilau yang digambarkan sebagai pejuang bangsa yang berprinsip atau berpendirian, kuat dan teguh jiwa, mental dan fizikal, mahir dalam persilatan Melayu, berpegang teguh kepada adat serta memiliki ilmu agama yang baik cukup berkesan dalam menghidupkan kecintaan penontonnya, khususnya orang Melayu terhadap keseniaan warisan bangsa seperti seni persilatan, busana tradisional dan seni bahasa.

Semua unsur warisan ini wajar dipelihara dan dihidupkan kembali kerana ia mempunyai nilai tersendiri dan menjadi identiti bangsa Melayu. Namun, kesan lebih mendalam ialah filem ini seolah-olah berjaya membangkitkan semula semangat orang Melayu yang pada hemat saya berunsur asabiyah. Bagaimanapun, saya melihat unsur semangat asabiyah itu dalam bentuk positif, iaitu kencintaan untuk kembali bersatu bagi membina kekuatan bangsa di zaman yang penuh cabaran ini.

Persoalannya, kekuatan yang bagaimana harus dibina hasil daripada menghayati filem Mat Kilau? Kita mahu kebangkitan semangat Mat Kilau harus diletakkan pada kedudukannya yang betul dalam konteks cabaran masa kini. Dalam menghadapi cabaran masa kini, bangsa Melayu perlu membangunkan kondisi akal dan jiwa supaya menjadi kental dan mantap. Kedua-dua kondisi itu penting untuk membentuk satu ketahanan keperibadian bangsa yang kuat.

Mengapa perlu membangun akal dan jiwa? Jiwa adalah komponen diri yang berperanan sebagai kubu dan pusat al-iradah al-hadhariah untuk maju dan bergerak ke depan secara dinamik bagi memajukan diri dan bangsa. Ia juga penting dalam membentuk suatu kebangkitan yang besar dan berterusan bagi menjayakan agenda kemajuan bangsa.

Akal pula komponen penting yang mendorong kemampuan dan kekuatan berfikir, meneroka, mengkaji dan mencipta sesuatu yang dapat membangunkan ketamadunan bangsa. Daripada kekuatan jiwa dan akal fikir inilah lahirnya hasil-hasil pemikiran dalam pelbagai bidang kehidupan seperti ilmu reka cipta, sains, kesusasteraan, falsafah, perekonomian dan pelbagai bidang lain.

ESTETIKA
Umat Melayu-Islam di negara ini harus membuat penilaian sendiri terhadap tahap pencapaian bangsa dalam kehidupan bernegara. Apakah perubahan dan kemajuan yang dicapainya itu dinamik atau bersifat statik dalam erti kata hanya bergantung harap kepada nasib atau takdir atau hanya bergantung kepada bantuan-bantuan yang dihulurkan oleh pihak pemerintah. Seharusnya jika akal dan jiwa kuat dan kental, kita sepatutnya sudah mencapai satu tahap di mana kebanyakan pencapaian itu adalah hasil daya usaha dan akal fikiran bangsa yang dinamik.

Kekuatan bangsa itu harus terbangun di atas rantaian susunan yang besar merangkumi ilmu, mantik, falsafah. pandangan hidup (world view), akal rasio, akhlak, estetika, nilai kepercayaan (agama) dan amali (practical logic). Dalam konteks ini, segala adat warisan dan pengamalan sosial yang tidak sesuai atau menjadi penghalang kepada kemajuan bangsa seperti taklid, khurafat dan fatalisme, iaitu menyerah kepada nasib atau takdir semata-mata hendaklah dibersihkan daripada lingkungan kebudayaan atau kehidupan bangsa.

Hala tuju bangsa harus diletakkan di atas garis-garis yang objektif bertunjangkan asas-asas pemikiran saintifik dan empirik, namun jangan sampai mengetepikan sendi-sendi agama asas (fundamental) yang menjadi tunjang kepada kekuatan akidah kita. Kita tidak boleh melakukan sebarang tahrif (perubahan) atau tabdil (penukaran) dalam perkara asas agama kerana ia akan menghancurkan ketinggian dan kesuciaan Islam itu sendiri dan merendahkan martabat kehidupan manusia.

Hakikatnya, kita tidak boleh dibuai dengan semangat dan nostalgia perjuangan Mat Kilau semata-mata. Yang perlu kita lakukan ialah bagaimana kekuatan dan kehebatan keperibadian Mat Kilau itu harus kita salurkan dengan betul mengikut konteks perjuangan membangun bangsa hari ini.

Ingatlah antara amanat atau pesan Mat Kilau ketika memperkenalkan dirinya di Masjid Kampung Pulau Tawar, Jerantut pada 27 November 1969, beliau berpesan kepada anak bangsanya agar mengaji dan belajar bersungguh-sungguh, kasihkan bangsa, agama dan tanah air, hidup bermuafakat dan jangan berkelahi sesama sendiri.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×