Yayasan Peneraju lahir 50,000 modal insan bumiputera

Yayasan Peneraju lahir 50,000 modal insan bumiputera

ISMAIL Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) berjaya membangunkan hampir 50,000 modal insan bumiputera melalui lebih 370 program dalam tempoh 10 tahun penubuhannya.

Kejayaan tersebut dilaporkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Ahli Yayasan Peneraju.

Menurut Yayasan Peneraju, pihaknya merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang berperanan untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan bumiputera secara sejagat dan berterusan selaras dengan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

Yayasan Peneraju katanya akan meneruskan mandat meningkatkan kualiti, kuantiti, keberkesanan modal insan bumiputera supaya golongan ini mampu menempatkan diri dalam industri dan pasaran kerja berpendapatan tinggi.

“Ini termasuk mewujudkan modal insan yang mendaya kebolehpasaran dan mampu berdepan cabaran lanskap ekonomi yang semakin kompetitif dan bersaing secara kompetitif hingga ke peringkat global.

“Bagi 2022, Yayasan Peneraju menyasarkan melahirkan seramai 8,400 penerima faedah ‘future proof’ baharu melalui 180 program pembangunan dalam lima teras utama iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil, Peneraju Profesional, Peneraju Teknologi dan Peneraju Spesialis,” katanya, semalam.

Sementara itu, Yayasan Peneraju berkata, kumpulan sasaran penerima faedah tersebut termasuk golongan lepasan sekolah sehingga golongan bekerja dan tidak bekerja, kumpulan B40, M40, luar bandar dan kumpulan terpinggir.

Jelasnya, antara sektor pembiayaan adalah dalam industri automotif, teknologi komunikasi maklumat (ICT), kejuruteraan, kewangan, maritim, minyak dan gas, pendidikan,penjagaan kesihatan, perakaunan dan telekomunikasi.

“Yayasan Peneraju juga telah memperkenalkan program khas iaitu Peneraju Profesional Training Initiative with Industry (PERTIwI) yang memberikan peluang kepada para penerima faedah sedia ada untuk mendapat pendedahan dan pengalaman bekerja di luar negara.

“Selain itu, program IMPAK untuk kumpulan sasaran baharu termasuk orang kurang upaya, juvana, pelajar huffaz, wanita B40, tenaga kerja gig, belia NEET (Not in Education, Employment or Training) dan juga pelajar B40 peringkat sekolah rendah di Sabah, Sarawak dan miskin bandar,”ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×