PETALING JAYA: Pengerusi dan ahli Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar pendatang asing tanpa izin di Wang Kelian, Perlis tidak boleh mendedahkan hasil laporan tersebut kerana tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengerusi RCI, Tun Arifin Zakaria berkata, terserah kepada kerajaan untuk mengumumkan hasil penemuan RCI itu kepada umum berhubung laporan dan syor yang dibuat suruhanjaya berkenaan setelah memanggil 48 saksi.
Penubuhan RCI telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari 2019 dan sesi pendengaran berlangsung bermula April tahun sama di Kementerian Dalam Negeri selepas memanggil 48 saksi termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

RCI itu dianggotai bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai selaku Timbalan Pengerusi; bekas Ketua Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Noobahri Baharuddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abd Rahman.
Selain itu, bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain; bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Dr. Tan Seng Giaw manakala Setiausaha Bahagian, Bahagian Keselamatan, Kementerian Dalam Negeri (ketika itu), Yusran Shah Mohd Yusof bertindak sebagai Setiausaha RCI.
Pada awal 2020, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) memaklumkan Kabinet akan membuat keputusan sama ada laporan RCI mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian didedahkan kepada awam atau sebaliknya.
Beliau berkata, hasil RCI itu juga telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada awal September 2019.
Penemuan kem dan kubur yang menempatkan 139 mayat di kawasan itu dibongkar media tempatan dan terdapat 28 kem yang menempatkan mangsa pemerdagangan orang dijumpai di sekitar kawasan bukit berbatu di sepanjang sempadan Thailand di Bukit Wang Burma di Wang Kelian dan lebih 100 rangka manusia juga ditemui di kawasan kubur itu, dipercayai etnik Rohingya.
Kelmarin, Seng Giaw mendakwa, permainan politik didakwa menjadi antara punca RCI yang ditubuhkan itu terus ‘senyap’ dan tidak didedahkan kepada umum.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, siasatan yang dilaksanakan suruhanjaya itu sudah lengkap dengan beberapa dapatan dikenal pasti berhubung isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.
Selain itu katanya, RCI yang ditubuhkan berhubung kes berkenaan juga sudah membuat beberapa syor termasuk tindakan yang perlu diambil untuk memperketatkan kawalan terutamanya di sempadan negara.
“Tetapi suasana politik sekarang mungkin ini (isu di Wang Kelian) tidak membawa kejayaan kepada undi. Maksudnya dalam pilihan raya umum akan datang, ia bukan satu perkara yang dapat menarik perhatian, itulah masalah ahli politik mahu dapat undi.
“Adakah (dapatan siasatan) RCI boleh membawa undi? Mungkin tidak kerana dianggap sebagai satu isu yang terlalu lama (sebab itu tidak didedahkan sampai sekarang).
“(Namun itu mungkin) sangkaan kita. Kita hanya boleh berharap kerajaan dapat menerangkan kepada masyarakat bagaimana kerajaan menguruskan hal seperti itu,” katanya. – UTUSAN










