Penduduk pesisir pantai bimbang ancaman hakisan

Penduduk pesisir pantai bimbang ancaman hakisan

PENDUDUK kampung melewati sebahagian daripada 20 chalet yang dalam pembinaan dan runtuh akibat hakisan di Pantai Telaga Papan, Setiu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Penduduk yang tinggal di kebanyakan kawasan di pesisir pantai di negeri ini mula bimbang dengan ancaman hakisan memandangkan musim tengkujuh bakal tiba kira-kira tiga bulan lagi.

Setiap kali musim tengkujuh dari Oktober hingga Februari, lebih 30 kawasan pesisir pantai dikenal pasti berisiko dengan ancaman tersebut berikutan ombak besar boleh mencapai ketinggian lebih empat meter.

Kawasan yang dikesan terjejas antaranya Pantai Teluk Lipat dan Teluk Gadong di Dungun; Pantai Rhu Rendang; Pantai Rusila; Pantai Rhu Renggeh dan Pantai Rhu Dua di Marang serta Pantai Maras dan Tok Jembal di Kuala Nerus.

Pesisir pantai di negeri ini dianggarkan sepanjang kira-kira 244 kilometer.

Antara kampung yang terjejas mengalami hakisan teruk dalam kejadian Disember tahun lalu hingga Januari lepas ialah Kampung Telaga Papan di sini.

Seorang penduduk, Adnan Nor Alias Md. Chik, 39, berkata, kejadian hakisan yang berlaku pada hujung tahun lalu adalah paling teruk apabila kawasan pesisir pantai sejauh kira-kira 100 meter telah terhakis.

Menurutnya, dalam kejadian beberapa tahun lalu, pesisir pantai di kampung ini hanya terhakis kira-kira tiga hingga lima meter sahaja.

“Dalam kejadian hakisan itu, sebanyak 20 buah chalet yang dalam sedang pembinaan berdekatan pantai tersebut mengalami kerosakan dan runtuh.

“Selain itu, jalan ke chalet itu sepanjang 300 meter juga runtuh dan tertimbus serta tidak dapat dilalui lagi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali Ramli, 52, berkata, sebuah pangkalan nelayan yang terletak di pantai itu juga lenyap ditenggelami laut dalam kejadian hakisan tersebut.

Menurutnya, pangkalan nelayan itu menjadi tempat nelayan di kampung ini mendaratkan hasil laut dan meletakkan bot mereka.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Teluk Lipat, Dungun, Zulkifli Abdullah, 60, pula berkata, dia berasa lega apabila kawasan pesisir pantai di kampung ini telah dibina benteng selepas mengalami hakisan pada awal tahun ini.

Menurutnya, kedudukan rumahnya hanya kira-kira 100 meter dari pantai dan keluarganya berada dalam ketakutan pada setiap kali musim tengkujuh.

“Dalam hakisan sebelum ini, terdapat sebahagian jalan di pesisir jalan turut runtuh dan telah baiki oleh pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×