“DAN ibu-ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin menyusui secara sempurna. Dan kewajipan ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih dari kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kerana anaknya dan jangan pula seorang ayah menderita kerana anaknya.”
Firman Allah SWT dalam ayat 233 surah al-Baqarah ini mewajibkan para bapa untuk menyediakan nafkah buat anak-anaknya. Antara perihal utama yang perlu difikirkan oleh seorang lelaki sebelum menikahi suri hati pilihannya ialah kesediaan dan kemampuan dari sudut ekonomi dan emosi, selain ilmu kekeluargaan mencukupi bagi memastikan hak isteri serta anak-anak terpelihara.
Ibu bapa berperanan penting dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pengukuhan akidah dan akhlak di samping dihiasi penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Selain tanggungjawab membekalkan makan, minum, pakaian serta tempat tinggal, seorang ayah dan ibu wajib mendidik seluruh ahli keluarga mereka menjadi insan yang beriman dan beramal soleh.
Masyarakat perlu memahami peri penting kehadiran ibu bapa dalam menentukan perjalanan hidup anak-anak sedari bayi sehingga mereka cukup kuat untuk menapak di atas dunia yang penuh onak duri ini.
Namun, cabaran paling hebat buat pasangan suami isteri adalah ketika mana mereka ingin membincangkan perihal nafkah atau pencarian rezeki yang sering kali menjadi perbahasan bahkan perdebatan lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin berpisah.
Lebih menggerunkan, antara punca penceraian dan pengabaian hak anak-anak yang direkodkan mahkamah sejak sekian lama adalah disebabkan ketidakmampuan ketua keluarga dalam melunaskan nafkah anak-anak serta sikap culas golongan suami untuk menanggung perbelanjaan seharian. Apatah lagi dengan peningkatan kadar inflasi di seluruh dunia, kos sara hidup dalam setiap keluarga turut terkesan. Dalam pembinaan sebuah rumahtangga bahagia, kedua-kedua suami isteri perlu saling bekerjasama tanpa perlu bertikam lidah atau memeluk tubuh tatkala persoalan mengenai hak perbelanjaan anak diutarakan.
Berkait dengan isu di atas, sidang Dewan Rakyat pada 9 Ogos 2017 dan sidang Dewan Negara pada 21 Ogos 2017, suatu rang undang-undang bagi pindaan Akta Pembaharuan (Perkahwinan, Perceraian) 1976 atau dikenali sebagai Akta 164 diluluskan dengan pindaan dibuat terhadap enam seksyen dalam akta tersebut. Antara yang menarik perhatian saya ialah pindaan terhadap Seksyen 95 yang meningkatkan tempoh kebertanggungjawaban seorang ibu atau bapa terhadap anaknya dari umur 18 tahun sehingga anak itu tamat pengajian tinggi.
Undang-undang baharu ini secara tidak langsung menetapkan bahawa seorang bapa diwajibkan membayar nafkah untuk anak-anak mereka sehingga ke peringkat pendidikan tertiari. Sedangkan dalam peruntukan Seksyen 78 dan Seksyen 79 dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur 18 tahun, tetapi mahkamah boleh atas permohonan melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkan munasabah bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan di peringkat lanjut.
PAKAIAN
Tambahan, Seksyen 73 Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 terlebih dahulu memperuntukkan kewajipan menanggung nafkah anak jatuh kepada bapa sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan memperuntukkan mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.
Undang-undang negara jelas memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan seseorang menanggung nafkah anak dan ia perlu dipatuhi dan dilaksanakan sewajarnya. Apabila berlaku ketidakpatuhan terhadap perintah nafkah yang dikeluarkan mahkamah, tindakan penguatkuasaan perlu dimulakan bagi memastikan kepatuhan si pemberi nafkah dapat dikembalikan. Sebarang ketidakpatuhan atau pengabaian terhadap perintah nafkah boleh mengakibatkan mahkamah antara lain mengeluarkan perintah penahanan pendapatan atau potongan gaji bagi yang berpendapatan tetap dengan mengarahkan bayaran terus ke dalam akaun bank anak-anak atau isteri; atau mengenakan hukuman penjara ke atas pihak yang sengaja tidak mematuhi perintah nafkah tersebut.
Misalnya pada 2020, seorang buruh dijatuhkan hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu setelah didapati bersalah kerana gagal membayar nafkah anak-anaknya sebanyak RM11,000 kepada bekas isterinya menurut peruntukan Seksyen 181 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu).
Oleh yang demikian, pembaharuan dalam perintah penjagaan dan nafkah anak di bawah Seksyen 95 Akta 164 dan peruntukan sedia ada dalam undang-undang syariah negara sedikit sebanyak mencerminkan tugas hakiki seorang bapa yang sememangnya berkewajipan dalam memberi nafkah terhadap anak-anaknya selagi mana anak tersebut belum berkahwin. Malahan, penambahbaikan baharu dalam proses pelaksanaan perintah mahkamah juga dapat menjamin kedudukan kewangan anak-anak yang mengikuti pendidikan formal sejak usia remaja sehingga melepasi umur 18 tahun.
Perhatian juga perlu diberi terhadap ramalan pengkaji ekonomi yang menjangkakan kos yuran pengajian tinggi bakal melambung naik pada masa hadapan. Sehubungan itu, ibu bapa bukan sahaja perlu sedar akan kepentingan kewujudan tabung pendidikan buat anak-anak sedari kecil, namun lebih utama, memaknai peranan dan fungsi mereka sebagai nakhoda sebuah institusi keluarga yang kukuh lagi mapan.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Belia & Media Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).











