Mustapha Kamal pejuang bangsa

Mustapha Kamal pejuang bangsa

MUSTAPHA KAMAL ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA saya bertugas di Arab Saudi dari 2005 hingga 2008, setiap tahun dalam bulan Ramadan saya dijemput oleh tokoh hartanah dan ilmuwan, Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar. Saya menemui beliau di hotel yang menjadi tempat tinggalnya di Mekah mengerjakan ibadah umrah setiap bulan Ramadan.

Terkenal sebagai tokoh hartanah, beliau juga tokoh ilmuwan dan kerohanian yang unggul dan amat dikenang sebagai penjana ilmu terutama ilmu agama dan perkembangannya yang dinamik di Malaysia sendiri sebagai sebuah negara Islam yang pesat membangun.

Arwah yang meninggal dunia pada 25 Julai lalu merupakan seorang pejuang bangsa dan agama, juga pewaris hartanah yang terkenal dengan bangunan dan penerokaan tanah yang bermanfaat untuk jumlah terbesar rakyat Malaysia sehingga kini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menganugerahkan banyak tanah pembangunan kepada beliau selalu berpesan agar dapat mewarisinya untuk diteruskan membangun kekayaan ekonomi dan kekayaan negara kepada keluarga sendiri agar tidak terlepas kepada peniaga yang hanya mementingkan diri sendiri semata-mata.

Arwah menunaikan harapan Perdana Menteri apabila pada masa ini kita dapat menyaksikan banyak pembangunan hartanah dan kediaman bermutu.

Saya menerima dorongan yang amat kuat dan memberangsangkan ketika menjadi Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pertama dari 1991 hingga 2002 yang sering diminta olehnya untuk berkongsi maklumat terutama dalam pembangunan ekonomi negara termasuk kerjasama dengan semua kaum di negara. Beliau menjemput saya memberikan pandangan tentang pembangunan ekonomi dan perpaduan negara di pejabat dan perhimpunan dianjurkan olehnya.

Arwah amat bersemangat untuk perkongsian ekonomi dan pembangunan kekayaan di antara pelbagai kaum di negara kita, malah amat kuat sekali mendorong saya terus menulis terutama melalui akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia untuk tujuan baik ini.

BUKU

Kemuncaknya pada 2005, arwah melaksanakan cita-cita besarnya untuk penerbitan ilmiah kumpulan hasil karya saya yang merupakan sebuah buku, Yang Tersirat Dalam Negara Islam

Membangun terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengandungi 70 artikel yang menyentuh tema pembangunan fizikal dan kerohanian untuk negara ini.

Arwah sebagai penaja buku ini menulis di antara lainnya dalam kata pendahuluan, “Saya dengan ikhlas memanjat kesyukuran kepada Allah SWT yang mendorongkan saya untuk melakukan kebajikan dengan menaja penerbitan buku ilmiah ini untuk bacaan orang awam dari semua peringkat umur. Marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan amal jariah yang kecil ini diterima oleh Allah SWT.”

Arwah amat iltizam dengan pembangunan akal fikiran dan kerohanian, serta budaya bangsa dan negara yang sihat ketika itu.

Mungkin semangat, dorongan dan pemikiran Allahyarham Mustapha Kamal Abu Bakar akan kembali dikenang dan diingati oleh anak bangsa bagi meneruskan segala produktiviti ilmiah dan ekonomi, jasmani dan rohani sebagai pusaka hamba Allah yang amat unggul ini. – UTUSAN

TAN Sri Dr. Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×