BSN sedia pembiayaan perumahan khas untuk kakitangan SSM

BSN sedia kemudahan pembiayaan perumahan khas untuk kakitangan SSM

JAY Khairil (dua, kanan) dan Nor Azimah Abdul Aziz (dua, kiri) menunjukkan dokumen kerjasama pembiayaan perumahan khas yang dimeterai antara BSN dan SSM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Panel Kemudahan Pembiayaan Perumahan melalui Skim Penyumberluaran (Outsourcing) Pembiayaan Perumahan khas untuk kakitangan SSM.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid.

SSM pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz dan disaksikan oleh Pengarah Bahagian Kewangan dan Akaun SSM, Zarina Abdul Samad.

Melalui kerjasama itu, kakitangan SSM dapat menikmati skim pembiayaan perumahan yang menarik seperti margin pembiayaan 110 peratus termasuk yuran guaman dan yuran penilaian, kadar pembiayaan rendah berserta subsidi.

Jay berkata, sebelum membeli rumah, perancangan kewangan yang sesuai penting agar keupayaan untuk membayar balik ansuran tidak membebankan pembeli.

“Atas dasar itulah, kami bekerjasama dengan SSM menawarkan pembiayaan khas kepada kakitangan SSM dengan pelbagai kemudahan yang menarik. Kami sentiasa komited untuk menyediakan platform perkhidmatan perbankan yang mudah diakses bagi pelanggan kami,” katanya.

Nor Azimah pula berkata, jalinan kerjasama itu amat bertepatan bagi meneroka peluang memperluaskan perkhidmatan serta membina jaringan kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“Menerusi MoU ini, diharapkan ia menjadi titik tolak untuk ruang kerjasama yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, BSN telah menjalankan kerjasama strategik korporat dengan lebih 200 buah syarikat terpilih dalam usaha memberikan kemudahan perbankan menyeluruh bertepatan dengan visinya, ‘Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×