Inflasi Indonesia 4.94 peratus, tertinggi dalam tujuh tahun

Inflasi Indonesia 4.94 peratus, tertinggi dalam tujuh tahun

RAKYAT Indonesia membeli barangan harian di sebuah pasar. Kenaikan harga makanan antara faktor mendorong peningkatan inflasi ke paras tertinggi di negara berkenaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Inflasi Indonesia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, melebihi julat sasaran bank pusat, manakala inflasi teras kekal dalam sasaran, sekali gus mencetuskan gesaan untuk kenaikan kadar faedah.

Menurut data rasmi kerajaan semalam, kadar inflasi pada Julai sebanyak 4.94 peratus, tertinggi sejak Oktober 2015. Ia mencerminkan kenaikan harga makanan, bahan api isi rumah, tambang penerbangan dan kenaikan beberapa tarif elektrik.

Berdasarkan tinjauan Reuters sebelum ini, kadar inflasi Indonesia dijangka pada purata 4.82 peratus, meningkat daripada 4.35 peratus Jun lalu.

“Kadar inflasi teras Julai, yang menghapuskan harga dikawal kerajaan dan harga makanan yang tidak menentu, secara kasarnya sejajar dengan jangkaan pada 2.86 peratus, meningkat daripada 2.63 peratus sebulan sebelumnya,” jelas data berkenaan.

Bank Indonesia (BI) sebelum ini menyasarkan inflasi antara 2 hingga 4 peratus, tetapi pembuat dasar berkata, mereka lebih suka menentukan kadar pengetatan monetari dengan melihat kadar inflasi teras.

Bank pusat itu telah menaik­kan nisbah keperluan rizab bank, menjual beberapa pega­ngan bonnya dan mengurangkan lebihan mudah tunai menggunakan operasi pasaran terbuka tahun ini, dalam langkah melepaskan beberapa rangsangan pandemik Covid-19.

BI telah mengekalkan kadar penanda arasnya pada rekod rendah 3.50 peratus sejak Februari 2021, menjadikannya antara bank pusat paling kurang hawkish (agresif) di dunia. Inflasi Indonesia secara relatifnya terkawal kerana subsidi kerajaan yang tinggi untuk tenaga.

Pakar ekonomi berpendapat, kenaikan kadar faedah akan berlaku.

“Walaupun inflasi teras di­selia oleh penggubal dasar, kadar benar negatif dan keperluan untuk menambat jangkaan inflasi mungkin mendorong tumpuan dasar ke arah kenaikan tambahan menjelang akhir suku ketiga,” kata Radhika Rao, ahli ekonomi di DBS.

Ketua Ekonomi di BCA, David Sumual pula berkata, BI mungkin bertindak menaikkan kadar faedah sama ada 25 atau 50 mata asas pada 22 atau 23 Ogos ini.

“Inflasi keseluruhan hampir 5 peratus, ia nampaknya akan melepasi 5 peratus tahun ini. Jadi, saya berpendapat perlu ada pelarasan,” katanya.

Ahli ekonomi Maybank Indonesia, Myrdal Gunarto berkata, BI masih boleh mengekalkan kadar faedah bulan ini, memandangkan tekanan terhadap kadar pertukaran rupiah telah berkurangan.

“Bagaimanapun, bank pusat itu patut menaikkan kadar pada September untuk mengecilkan jurang antara kadar faedah Indonesia dan Amerika Syarikat (AS),” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×