Sampai bila nak hantar makanan?

Sampai bila nak hantar makanan?

rider
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMANGAT Mat Kilau, ramai yang masih membara semangat kemelayuan selepas menonton filem Mat Kilau. Tetapi berapa ramai rasa mahu berubah selepas menonton cerita Mat Kilau?

Semangat Mat Kilau bukanlah terletak pada pakaian, pada tengkolok, pada keris semata-mata tetapi jati diri sebagai Melayu untuk bawa perubahan.

Namun realiti kehidupan ramai anak muda zaman sekarang, tidak ramai yang pentingkan pendidikan. Kita terlalu selesa dapat pelbagai bantuan segala dan akhirnya jadi kurang agresif serta lambat membuat perubahan.

Berbanding bangsa lain berusaha untuk majukan diri. Kita kurang jati diri dan keinginan untuk mengubah nasib. Ubah nasib anak bangsa, ubah nasib anak cucu.

Dahulu, perjuangan pahlawan perlu bertikam darah untuk memperjuangkan kemerdekaan. Tetapi kini perjuangan dari segi intelek, dari segi pendidikan. Kita marah orang kata Melayu malas, harap bantuan semata-mata. Tapi itulah realitinya.

Kurang usaha untuk majukan diri sendiri. Ada segelintir anak muda yang tidak majukan diri. Kerja penghantar makanan itu sementara. Pernahkah bayangkan jika suatu hari nanti anda kehilangan upaya, tidak boleh menunggang motosikal? Apa lagi yang boleh anda buat pada waktu itu?

SPM

Kalau seorang anak muda selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah mula buat kerja hantar makanan sepenuh masa untuk lima hingga tujuh tahun, bayangkan dia akan ada kemahiran terhad yakni hanya pandai menunggang motosikal (limited skill) dan sekiranya tidak mampu lagi menjadi penunggang atas sebab-sebab tertentu, maka amat rugilah kerana tiada kemahiran sokongan (back up skill) – diploma. ijazah, sijil kemahiran, pengelaman kerja, pendedahan industri.

Ekonomi gig hanya untuk tempoh terhad. Bukan tidak boleh, tapi kena fikirkan kemahiran sokongan. Daftar kursus dalam talian. Dapatkan ijazah sekurang-kurangnya atau teruskan pengajian dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET). Dengan pendidikanlah boleh mengubah nasib kita. Tahukah anda kemiskinan bukan penghalang ubah nasib kita?

Buktinya, saya juga datang dari keluarga miskin yang tidak sempurna. Tuhan sahaja tahu betapa perit dugaan yang saya tempuh waktu muda untuk capai ke tahap sekarang. Tetapi saya sematkan dalam minda, jangan putus berharap, jangan mengalah kerana saya mahu ubah nasib hidup. Tak mahu hidup saya, anak cucu miskin selama-lamanya.

Kalau saya boleh lakukan, anda juga pasti boleh. Zaman dahulu lagi mencabar, tiada kemudahan telefon bimbit, internet tiada. Semuanya manual, hidup dalam serba kepayahan.

Tetapi anak-anak zaman sekarang lebih beruntung, banyak bantuan, kemudahan. Jadi, peluang itu lebih mudah berbanding zaman dahulu. Cuma dengan kemudahan itu, mereka lebih rela melayan media sosial, Tik Tok daripada mencari dan mendalami ilmu. Tengok video Tiktok lagi bagus daripada membaca bahan ilmiah. – UTUSAN

Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar ialah Naib Canselor Unitar International University.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×