MARI kita terus bimbangi betapa cacarmarba politik Melayu kita hari ini.
Kombinasi warga Bangladesh, Indonesia dan China di tanah air ini terlalu ramai. Saya sebut jumlahnya sejuta orang lebih, tetapi angka sebenarnya dalam sistem Imigresen, tiada. Daripada jawapan bertulis di Dewan Rakyat Selasa lalu, dilaporkan daripada 7.17 juta warga China yang tiba di Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021, lebih 1.2 juta dikesan tidak keluar dari negara ini. Ke mana mereka?
Dalam sistem kementerian sumber manusia pun ‘tak cukup’ senarainya, jadi macam mana mereka masuk? Ini macam cerita Rom.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, mungkin orang Melayu akan hilang mereka punya pegangan disebabkan orang luar sudah terlampau ramai. Nampak orang Melayu `tak reti’ basuh kereta sendiri atau tanam kacang pun tak boleh. Saya gerun memikirkan hal ini.
Di selatan Thailand sana, minyak masak peket subsidi kita dijual banyak. Ada ketika boleh difikir sejenak: “Sesetengah kementerian tak patut pun ada”. Berfungsikah kementerian berkisar kepenggunaan? Khuatir jika kementerian itu tenggelam punca. Keduanya, kementerian yang satu lagi, tiada pula dasar makanan kebangsaan dan dasar penimbal. Ingat! ini bukan zaman untuk bereksperimen.
Itu sebabnya kerajaan perlu fokus pada fungsi-fungsi serta sifat kenegaraan di zaman moden ini. Seolah-olah yang tampak hari ini kriteria untuk menjadi negara maju tidak diprinsipkan dalam pentadbiran kerajaan sendiri oleh kerana beberapa punca termasuk sistem perundangan lemah.
PEMBINAAN BANGSA
Orang Melayu yang seharusnya seperti orang di tanah Jawa wajib mengetahui kuasa mutlak bangsanya. Tapi sayangnya Melayu tak sedar. Ibarat ‘Malaysia akan diambil alih oleh Bangladesh’ – bukan dengan kapal terbang tapi dengan orangnya.
Mungkinkah kelemahan orang Melayu kerana tidak buat perancangan. Ya, pelannya. Kita boleh sebut sahaja tidak cukup pekerja atau kekurangan tenaga manusia. Soalnya, anda tidak buat latihankah untuk anak tempatan? Tidak ada latihan di bawah akta tenaga manusia yang sewenang-wenangnya dimansuhkan. Jadi, bermakna kita punya pembinaan bangsa tidak ada.
Dan oleh kerana korupsi, salah guna kuasa, jabatan-jabatan utama berteras keselamatan dikhuatiri tidak dinilai mengikut kehendak undang-undang. Jadi, semua ini dibimbangi menyumbang kepada failed state atau negara gagal.
Ramai barangkali akan sanggah pendapat ini. Tetapi perhatikan di sekitar kita dengan kewangan Malaysia terus jatuh dan jatuh. Bila itu berlaku, negara tidak lagi dihormati dunia. Orang kita hendak import tak mampu, lagi disebabkan nilai ringgit tidak sampai ke tahap pertengahan pun. Sekarang dollar Singapura sudah cecah RM3.22. Apa kita nak buat? MoU, MoU, MoU?
Ini semua harus ada perubahan cepat dan perubahan itu hanya boleh berlaku jika Melayu bersatu dalam tenaga politik. MoU macam ini, macam itu sahaja tak boleh. Pilihan Raya Umum (PRU) mesti disegerakan, selewat-lewatnya November tahun ini.
Namun mampukah PRU menyelesaikan kemelut semasa negara ini? Beralih ke sistem parlimen pula, kelihatan sang speaker asyik menolak usul. Itu menyebabkan pemerhati pun pening. Tidak boleh dibahas kerana sebilangan wakil Dewan tak berfikir. Dia fikir politik diri sendiri sahaja. Bercelaru bercakap.
Sekali lagi saya gusar melihat keadaan ini. Kalau diamati pun, wakil-wakil pembangkang tidaklah hebat sangat. Namun muncul di benak fikiran ini, mereka akan ada `banyak peluru’ boleh digunakan menjelang PRU.
Tekan butang,
mana suis?
Di seberang sana pula, gaya politik PKR atau timbalan presidennya, Rafizi Ramli adalah tentang ‘pukul dan menang’.
Mungkinkah orang PKR lebih senang dengan Rafizi disebabkan dia berani mengemukakan isu yang rakyat tertinggal.
Di kalangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan yang lainnya, mereka kelihatan tidak pandai menggunakan isu. Semua yang DAP kemukakan pula tidak menjadi. Bila tekan suis, suis tak ada. Tekan butang, tak ada butang. Lagipun Bersatu sendiri tidak ada akar umbi seperti mana UMNO.
Mahu tak mahu, BN ada peluang untuk menang PRU15. Tetapi bukan disebabkan pilihan, tetapi kerana tiada pilihan. Dalam keadaan itu, politik Melayu kita tidak nampak orang Melayu itu peduli pasal politik bangsanya. Ini disebabkan pencampuran nilai tadi sudah terlampau banyak.
Malah, orang Melayu pun sudah mula berfikir macam orang Cina.
Hari ini dianggarkan 100,000 murid Melayu belajar di sekolah vernakular Cina. Tak pernah seramai itu sebelum ini. Ada Kementerian Pendidikan buat analisis hal ini?
Masalah keduanya pula, kita tidak bersandar pada realiti ekonomi. Tidak mahu belajar dari Singapura misalnya yang tiada getah, tiada ladang atau kebun sawit, tetapi mencanak naik.
Kita ada Labuan tetapi tidak dibangunkan sebagai pusat kewangan. Kita ada Langkawi, tetapi tidak dimajukan sebagai pusat kewangan. Kenapa tidak? Hal-hal semacam ini kita sebenarnya mengharapkan pemimpin, tetapi kelibat wibawa belum muncul.
Apa rahsia Singapura? Gunakan rule of law iaitu penguatkuasaan undang-undang yang tegas. Mereka tidak pilih bulu. Menolak rasuah. Bila itu berlaku, semua peluang terbuka kepada semua pihak. Mereka jadikan Singapura sebagai pusat pelaburan kewangan macam kita di Labuan, tetapi tidak pula dibuat di Labuan. Apa gunanya kita mempunyai akta persisir kewangan Malaysia?
Kita tak mahu meniru benda yang baik? Sekarang, Singapura tidak dapat kita `duduk sama tinggi, berdiri sama rendah’ dengan republik itu. Ya, duit dia sudah tiga kali ganda lebih duit kita.
Bagaimana dengan Indonesia hari ini yang sudah pun meningkat dan memasukkan orang-orang yang cerdik ke dalam Kabinet? Kita?
Mengenai hutang negara yang mencapai RM1 trilion lebih (RM1.045 trilion setakat Jun 2022), menteri kewangan menyatakan “kita masih ada fundamental” tetapi bila sudah cecah 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar nanti, itu seperti mengulangi nasib Sri Lanka. Juga, angka ini kena ‘berjaga-jaga’. Untuk 1MDB sahaja dalam setahun kita perlu bayar lebih RM20 bilion. Baki komitmen untuk hutang ini adalah RM32.08 bilion setakat 30 Jun lalu. Petronas pula peruntukkan kepada kerajaan RM32 bilion setahun. Bayangkan jika tidak ada Petronas, Malaysia barangkali akan bankrap. Bukan susah sifirnya.
Boleh bertahankah atau survive kita? Melainkan dilakukan satu perubahan besar-besaran. Dan itu terserah kepada Melayu. Muafakat kita tigo tungku sajarangan.
Buruk baik macam mana pun wakil-wakil Dewan Rakyat di masa-masa tertentu, Parlimen adalah nukleas dan punca kuasa tigo tungku sajarangan – Parlimen, Eksekutif dan Kehakiman. – MINGGUAN MALAYSIA










