SEBAGAI seorang manusia biasa, kita tidak lari daripada membuat dosa sama ada kecil atau besar, dan dalam sedar mahupun tidak sedar. Namun, walau sebanyak mana pun dosa kita itu, pastinya setiap insan bergelar manusia akan menyimpan satu niat ingin berubah menjadi Muslim yang lebih baik. Tetapi pada peringkat manakah seorang insan itu boleh digelar sebagai insan atau Muslim terbaik? Adakah dengan tidak meninggalkan kewajipan ibadahnya sudah cukup untuk dikatakan sebagai Muslim yang baik?
Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Riwayat Thabrani dan Daruqutni).
Berdasarkan kepada hadis ini telah dibuktikan bahawa Islam adalah agama yang syumul (menyeluruh), yang lengkap merangkumi segala aspek kehidupan. Dalam surah at-Taubah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah daripada kemungkaran, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana.”
Berdasarkan kepada hadis dan ayat di atas, jelas dinyatakan bahawa umat Islam tidak hanya dituntut untuk beramal semata-mata, bahkan turut diperintah untuk tidak melakukan kezaliman, bersikap keji dan menyakiti orang lain sama ada melalui tindakan mahupun percakapan serta turut diperintah untuk membantu orang sekeliling dengan mencegah sebarang kerosakan atau keburukan daripada berlaku. Atau dalam erti kata lain, setiap umat Islam harus turut menyumbang ke arah kesejahteraan sosial secara keseluruhan.
Bersabda Nabi Muhammad SAW dalam hadis lain yang bermaksud: “Perumpamaan seorang mukmin adalah bagaikan pohon kurma. Bahagian manapun yang engkau ambil, maka akan bermanfaat untukmu.” (At-Thabari).
Jelas berdasarkan hadis ini, Nabi Muhammad SAW telah menjelaskan bahawa seorang Muslim bukan hanya berharap kepada manfaat yang diberi dan diterima daripada orang lain, malah perlu sentiasa berusaha untuk memberi manfaat dan menyebarkan kesejahteraan kepada insan lain.
Bagaimana peranan seorang Muslim kepada orang sekeliling boleh ditunaikan? Adakah terhad kepada penganut agama Islam sahaja? Bagi menjawab persoalan tersebut, mari kita kembali kepada kitab suci al-Quran yang mana Allah SWT telah menyebut kalimah-kalimah yang berasal daripada istilah ‘aman’ sebanyak 789 kali bagi menekankan bahawa betapa keamanan itu sangat dititikberatkan dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama semua umat Islam untuk sama-sama berusaha menjaga kesejahteraan dan keamanan masyarakat sekeliling tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.
TAKSUB
Keamanan dan kemakmuran saling berkait rapat dalam memastikan sesebuah masyarakat kekal sejahtera. Kita boleh mengambil iktibar daripada doa Nabi Ibrahim a.s kepada Allah SWT untuk kota Mekah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berdoa: Wahai Tuhanku, jadikanlah negara ini negara yang aman sentosa dan berikanlah rezeki daripada buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian.” (Surah al-Baqarah, ayat 126)
Dengan melihat doa Nabi Ibrahim a.s tersebut, baginda telah mendoakan keamanan buat kota Mekah sebagai perkara utama yang ingin dipohon sebelum menyebut perkara lain. Ini membuktikan bahawa keamanan dan kemakmuran dalam sesebuah tempat begitu penting bagi menjaga kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Dewasa ini, melalui media sosial sahaja kita boleh mendapatkan berita peperangan yang telah merosakkan kemakmuran di sesebuah tempat. Syukur, negara kita masih aman daripada peperangan. Mengkaji kepada bagaimana terjadinya perkara tersebut, terdapat pelbagai faktor yang menjadi punca keamanan dan kemakmuran terhapus daripada sesebuah komuniti dan tidak dinafikan ia turut berpunca daripada individu-individu yang begitu taksub dengan ajaran terpesong, namun mengaku sebagai Muslim dan melakukan pelbagai kekejaman dan kejahatan atas nama Islam. Pengaruh daripada media massa yang melaporkan perkara yang tidak benar dan lengkap ini telah menyebabkan masyarakat luar bertindak melayan umat Islam dengan kejam dan tidak wajar lalu menyumbang kepada keruntuhan kemakmuran sesebuah kawasan.
Hidup di negara ini amat beruntung kerana masih terpelihara daripada keganasan yang biasa kita dengar daripada negara-negara luar lain. Namun, perlu diingat bahawa jika keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan tidak sudah menjadi keutamaan, tidak mustahil apa yang berlaku di negara luar itu akan berlaku di negara kita. Manusia akan mula pentingkan diri, sombong dan hilang sifat kemanusiaan dalam hidup bermasyarakat. Sehubungan itu, adalah penting bagi kita untuk sama-sama berganding bahu mengekalkan kemakmuran dan keamanan negara bagi menghapuskan sebarang penyebab yang boleh menarik nikmat hidup bermasyarakat ini.
Semoga tahun baharu ini, kita teruskan memperbaiki diri ke arah lebih baik dan sentiasa bersyukur kepada Allah SWT di atas nikmat keamanan dan kemakmuran yang kita alami sekarang serta sentiasa ingat bahawa jika kita tidak berusaha untuk mengekalkannya, tidak mustahil suatu hari nanti kemakmuran itu hilang. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT memelihara negara ini dan mengurniakan kita kekuatan dan ketabahan dalam berusaha ke arah menyempurnakan kemakmuran secara menyeluruh. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).











