PERKATAAN ‘sejahtera’ tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia, terutama semasa pandemik. Aplikasi MySejahtera telah memperluaskan penerimaannya di seluruh negara sama ada mahu atau tidak kerana serangan koronavirus yang mendadak. Hanya aplikasi tersebut berupaya membantu untuk membantutkan serangan berkenaan sebagai ‘penghubung’ yang berkesan.
Pelbagai bentuk maklumat yang penting boleh diperoleh serta dihantar dalam menangani isu Covid-19. Walaupun sebelum itu perkataan tersebut pernah digunakan, tetapi agak terhad.
Yang lebih ironi mengikut kajian, ‘sejahtera’ tidak terdapat dalam pantun, mahupun puisi dan syair dari dahulu lagi. Begitu juga peribahasa serta pepatah dan simpulan bahasa. Ini membangkitkan pelbagai persoalan, dari mana terbitnya perkataan ini? Ataupun apa asal usulnya?
Maka setakat ini apa yang jelas adalah sumbernya mungkin daripada bahasa Sanskrit, bukan secara langsung. Hanya secara kaitan dan pautan kepada makna tertentu yang agak positif dan merata. Lambat-laun ia membawa makna tersendiri khususnya kepada budaya serta nilai Nusantara amnya. Malah mencakupi erti termasuk damai dan tenang dari satu sudut. Makmur dari sudut yang lain pula.
Oleh itu, kegunaannya sebagai penyampai salam adalah lebih lumrah serta diterima ramai. ‘Salam sejahtera’ misalnya sebagai mengganti ‘assalamualaikum.’ Ada juga yang diertikan sebagai cogan ‘Sejahtera Malaysia’, ‘Kedah Sejahtera’ dan lain-lain. Di beberapa tempat terdapat pula ‘Tandas Sejahtera!’
Dari segi dokumentasi sebagai sumber rujukan rasmi, setakat ini ia agak memeranjatkan bahawa hanya sektor pendidikan yang mencatatnya. Itupun dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) pada 1988, buat pertama kalinya. Kemudian Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) pada 1996.
Sektor lain baik sosial, ekonomi atau politik mahupun agama tiada terkesan sama sekali. Mengapa? Masih kurang jelas. Yang nyata adalah bukan sahaja istilah tersebut mempunyai maksud yang berlapis-lapis tetapi juga berbaur pendidikan selaras inti pati FPN/FPK. Yakni bertitik tolak dengan aspirasi terhadap seorang ‘insan sejahtera’ sebagai matlamat akhirnya. Iaitu seorang yang sahsiahnya menyeluruh terawal sebelum berjaya menjadi itu dan ini seperti tafsiran semasa. Ini lebih mirip dalam penggunaan istilah ‘modal insan’ yang berleluasa dan lebih menjurus kepada usaha untuk ‘mempermodalkan’ seorang individu dan tidak semestinya mendapat ‘kesejahteraan diri’ sebagaimana nukilan FPN/FPK.
Perbezaan ini amat penting kerana FPN/FPK mengutarakan nilai-nilai mutlak bagi mencorakkan sanubari insan yang tidak boleh dipermodal atau diperdagangkan sama sekali! Yakni jauh menyimpang daripada matlamat sempit konsep modal insan.
SIMPOSIUM
Bermula pada 2002 di Universiti Sains Malaysia (USM), simposium 20 Tahun Sejahtera ini mengingatkan semula tentang bezanya pendidikan dengan latihan atau kemahiran semata-mata untuk tujuan desakan pasaran yang agak dangkal. Hatta kebolehpasaran yang gegak gempita dicanangkan sejak ‘modal insan’ diseludup masuk ke dalam pendidikan tanpa disedari sejak awal 2000 sekali gus merasuk kemurniaan pendidikan negara khususnya dalam kerangka FPN/FPK.
Sayugia ditegaskan bahawa istilah itu tidak langsung wujud dalam FPN/FPK, malah asing kepada falsafah yang dibawa. Ulang tahun ke-20 Sejahtera ini juga bertujuan memurnikan semula FPK dan serentak menjernihkan semula fahaman Sejahtera yang bukan sembarangan sahaja seperti yang kerap berlaku sekarang. Ini adalah antara kemelut utama yang sasaran FPK menjadi songsang, kalaupun tidak menjahamankannya sama sekali.
Di antara pertimbangan besar yang perlu diselesaikan, di mana letaknya insan seimbang dan harmonis yang taat dan patuh kepada Tuhan serta mendapat kesejahteraan diri sebagai tuntutan FPK tanpa kompromi sama sekali? Jawapan yang diperoleh nanti akan menunjukkan betapa kepincangan ‘pendidikan’ bermula sejak bangku sekolah lagi. Mungkin lebih awal semasa prasekolah lagi.
Misalnya jika ‘s’ dalam Sejahtera sekadar ‘seronok’ tanpa ‘seimbang’ seperti dalam FPK, maka ia juga boleh dibaca sebagai ‘seks’ (serupa seronok) apabila tidak seimbang dalam pengertian FPK. Apatah lagi, apabila ‘r’ sekadar ‘rasional’ dan tandus ‘rohani’ yang mengakari hati sanubari, bukan hanya otak minda.
Lebih teruk lagi, jika ‘a’ terakhir dalam Sejahtera terhad kepada ‘artikulasi’ (bahasa Melayunya apa?) dan bukannya ‘akhlak’ sebagai matlamat paling akhir dalam semua pendidikan yang sejahtera lagi berjaya.
Ini belum lagi masuk bab Tuhan untuk ‘t’ dalam Sejahtera yang seolah-olah sengaja dicicirkan menyalahi FPK. Tanpa faham Tuhan, seronok, rasional serta artikulasi sering menghantui apa yang disangka ‘pendidikan’ selama ini. Buktinya sudah agak jelas.
Pendek kata, kita kini lebih mengarah kepada kesengsaraan diri (bukan kesejahteraan diri) yang rakus sifat serta amalnya. Maka siapa pula yang akan bertanggungjawab apabila generasi sengsara ini muncul kelak tatkala ‘pendidikan’ gagal membentuk generasi seimbang (serupa sederhana), rohaniah serta taat Tuhan dan tinggi akhlaknya mengikut kerangka FPK yang mantap?
20 Tahun Sejahtera menuntut satu renungan pantas berbalik ke pangkal jalan sebelum terlambat. Mudah-mudahan. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










