Nekad terjun tinggalkan bot - Utusan Malaysia

Nekad terjun tinggalkan bot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT 14 Feb. – Dua lelaki yang panik dikejar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) nekad terjun meninggalkan bot gentian kaca mereka di Perairan Rengit di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, kedua-dua lelaki dipercayai warga tempatan itu disyaki melakukan kesalahan menceroboh dengan menggunakan peralatan tunda secara haram di perairan berkenaan.

Pengarah Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, pihaknya sedang menjalankan Operasi Satria Selatan di kawasan itu selepas mendapat aduan nelayan tentang kegiatan itu.

Menurutnya, semasa menghampiri bot tersebut, suspek  bertindak cuba meloloskan diri ke pantai berdekatan untuk mengelak daripada diperiksa oleh pihaknya.

“Aset Maritim Malaysia berjaya memintas bot tersebut tetapi awak-awak bot terbabit berjaya meloloskan diri dengan terjun ke kawasan bakau dan meninggalkan bot tersebut.

“Anggota Maritim Malaysia kemudian menunda bot tersebut ke lokasi ia mula dikesan dan berjaya menemukan peralatan modifikasi tunda yang telah dipotong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Bot itu kemudiannya ditunda ke jeti Maritim Malaysia Batu Pahat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×